NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teladani politik Rasulullah


oleh: Abdul Muein Abadi

Minggu ini 30 juta rakyat Malaysia digegarkan dengan tsunami elit politik di dalam dan luar kerajaan. Segala-galanya bermula dengan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat lalu; tekanan hebat diberikan PKR dan DAP ke atas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar segera meletak jawatan dan memberi tarikh khusus penyerahan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat yang diakui tegang meskipun berakhir dengan pendirian Tun M tidak akan memberi tarikh khusus penyerahan kuasa selepas Persidangan APEC diikuti beberapa siri tindak balas daripada dalam kerajaan Pakatan Harapan sendiri.

Beberapa parti telah mengadakan mesyuarat serentak di ibu negara; Ketua Menteri Sabah dan Sarawak juga terbang ke Kuala Lumpur. Tan Sri Muhyiddin Yassin Presiden Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan parti Bersatu keluar Pakatan Harapan; Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) telah dipecat daripada PKR; sembilan ahli Parlimen PKR lain mengikuti jejak Azmin meninggalkan PKR atas alasan ingin mempertahankan Tun M sebagai Perdana Menteri; kemuncaknya Pakatan runtuh dan Tun Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertindak cukup tertib lagi cekap demi kelancaran pentadbiran negara, baginda melantik Tun M sebagai Perdana Menteri interim dan mengambil langkah menemubual kesemua ahli Parlimen bagi menentukan ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dalam saat-saat yang kritikal ini, wajar kita renungi sejenak impak perpecahan dan perang sesama sendiri dalam Pakatan Harapan; dari segi ekonomi, Bursa Saham Kuala Lumpur kehilangan RM43 bilion dalam sekelip mata; dari segi kestabilan politik, rakyat berada dalam keadaan keliru.

Namun, ramai juga yang memandang optimis: pengesahan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Mohd Zuki Ali bahawa para Menteri dan Timbalan Menteri Pakatan telah gugur daripada jawatan dan autoriti mereka susulan peletakan jawatan Tun M telah membuka potensi mereka diganti oleh para ahli Kabinet yang lebih berwibawa.Perjumpaan

Buat seketika, optimisme ini disahkan oleh kenyataan Tun M sendiri bahawa beliau telah mengadakan perjumpaan dengan kesemua presiden parti politik utama sebelum 221 ahli Parlimen menuju ke Istana Negara untuk sesi bersama Yang di-Pertuan Agong. Setiausaha Agung UMNO dan PAS Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hasan sewaktu sidang media sebelah petangnya mengakui bahawa Tun M cuba menubuhkan ‘kerajaan perpaduan’ merentas parti.

Saat ini satu lagi kejutan berlaku; UMNO dan PAS yang dituduh ‘gila jawatan kerajaan’ dan ‘terdesak untuk menyelamatkan diri daripada pendakwaan di mahkamah’ sebaliknya bertindak menolak cadangan Tun M itu. Atas prinsip yang cukup jelas, PAS dan UMNO menegaskan bahawa mereka menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan sebaliknya memohon supaya Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Dalam sirah nabawiyah, ada pelbagai peristiwa di mana Rasulullah SAW bertindak demi memelihara perpaduan negara dan kemurnian Islam. Pertama ialah ketika peristiwa peletakan batu Hajarul Aswad selepas Kaabah ditimpa bencana banjir.

Meskipun Baginda terpilih untuk meletakkan batu tersebut ke tempatnya, namun Baginda dengan bijaksana menghampar kain untuk membolehkan kesemua wakil kabilah mengangkat batu Hajarul Aswad bersama-sama.

Kedua ialah ketika Baginda ditawarkan kedudukan pemerintahan bersama kafir Quraisy dengan syarat Baginda tidak menyebarkan dakwah Islam. Baginda menolak sepenuhnya tawaran itu sedangkan dari segi perkiraan kepentingan material dan kedudukan, respons sedemikian pasti dianggap merugikan.Tahniah kepada para pemimpin kita yang menjadikan sirah berpolitik Rasulullah sebagai panduan.

*Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo