Sejarah Baitulmaqdis jadi rebutan dunia


PALESTIN mempunyai kedudukan strategik, iaitu terletak di bahagian barat benua Asia. Keluasan Palestin kini menjangkau 27,009 kilometer (km) persegi.

Kedudukan geografinya, iaitu di bahagian barat menunjukkan Palestin berada di sebelah perairan antarabangsa dari Laut Tengah dengan jarak sekitar 250km dari al-Nakura di sebelah selatan, sehingga Rafah serta memiliki lokasi di pertengahan negara Arab.

Ia meletakkan Palestin sebagai penjalin antara beberapa benua bagi dunia kuno Asia, Afrika dan Eropah.

Peranan Palestin sebagai pintu gerbang utama bagi perjalanan ke wilayah jiran menjadikannya jambatan penghubung bagi manusia sejak zaman lampau, malah memikat hati yang bernaluri untuk bermukim dalam kemakmuran.

Tidak hairanlah Palestin menjadi pusat kerakusan manusia terdiri pelbagai bangsa dan agama serta ingin berkuasa, bahkan mengeksploitasi keistimewaannya.

Tanah Palestin yang terletak Baitulmaqdis di dalamnya digambarkan Allah SWT sebagai pusat keberkatan atau centre of barakah. Ia menjadikan tanah ini istimewa.

“Allah SWT yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah Al-Isra, ayat 1).

Ibnu Kathir menggambarkan Masjidil Aqsa sebagai Baitulmaqdis yang menjadi pusat sekalian Nabi sejak zaman Nabi Ibrahim. Frasa kata ‘barakna fiha’ muncul dalam al-Quran sebanyak empat kali menggambarkan keberkatan tanah itu sendiri, manakala terminologi ‘barakna hawlahu’ muncul dalam al-Quran membawa gambaran keberkatan yang mengelilingi Baitulmaqdis.

Perdebatan berlaku bagi kedua-dua terminologi ini kerana kedua-duanya membawa makna hampir sama, namun hakikatnya ‘barakna fiha’ membawa makna keberkatan di tempat al-Aqsa itu sendiri, manakala ‘barakna hawlahu’ merujuk keberkatan di sekeliling Masjid al-Aqsa.

Oleh kerana tanah ini diberkati, maka ia dibuka dua kali oleh umat Islam ketika zaman Umar RA dan Salahuddin al-Ayubi.

Menjadi rebutan agama Yahudi dan Kristian adalah sinonim bagi tanah ini, kerana ia menjadi ‘hab’ bagi sekalian Nabi.

Barisan Nabi sebelum Baginda SAW kebanyakan mereka diutuskan ke tanah Palestin, namun bagi umat Islam, di sini bukan sekadar ‘hab’ sekalian Nabi terdahulu, tetapi lokasi Baginda melakukan perjalanan Isra dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa.

Di sinilah juga Nabi Isa AS diutuskan kepada kaumnya sehingga hampir dibunuh sebelum diangkat oleh Allah ke langit.

Oleh kerana tanah ini menjadi hab sekalian Nabi terdahulu, maka perbuatan ‘mendakwa’ bertebaran dengan menyatakan keutamaan sejarah masing-masing sehingga menjadikan Palestin khususnya Baitulmaqdis menjadi rebutan.

Bagi agama Yahudi, Haram as-Syarif atau ‘Temple Mount’, iaitu suatu kawasan berbukit sekitar Baitulmaqdis seluas 35 hektar yang merangkumi tembok ratapan dan ‘The Dome Of The Rock’ menjadi mercu tanda sejarah keagamaan mereka.

Ini dipastikan kerana lokasi itu sinonim bagi Nabi Ibrahim AS yang hampir mengorbankan anaknya. Bagi Kristian, ‘The Church of Holy Sepulcre’ dibina untuk menggambarkan lokasi Nabi Isa AS disalib dan kebanyakan Kristian bahawa di sinilah Nabi Isa AS akan diturunkan semula serta lokasi makam Siti Maryam.

Berbeza dengan Islam, Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah di Makkah. Di sini juga tempat persinggahan perjalanan mulia kekasih Allah ketika Isra dan Mikraj. Di masjid ini juga Baginda melakukan solat bersama dengan sekalian Nabi yang lain.

Justeru, kerana keberkatan dan kepentingan tersendiri, Baitulmaqdis terus menjadi rebutan diselangi pelbagai siri perang salib bagi membebaskan tanah ini. Bagaimanapun, episod rampasan tanah Palestin oleh Zionis secara rasmi pada 1948 dengan menubuhkan negara haram Israel membangkitkan sentimen jihad dalam kalangan rakyat Palestin.

Konflik untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota kepada dua negara serta rampasan tanah Palestin bukanlah antara dua negara semata-mata, tetapi isu yang harus diberi perhatian oleh keseluruhan umat Islam.

Rakyat Palestin bermati-matian untuk membebaskan Baitulmaqdis, berjihad untuk membebaskan tanah milik Umat Islam. Apakah kita sudah menjadi buta dan hanya berpeluk tubuh?

*A R Kasa, Pelajar Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam Universiti Malaya
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget