NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PPSMI: Jangan seperti 'tikus membaiki labu'.


KENYATAAN MEDIA
GERAKAN KEBANGKITAN PENDIDIK KEBANGSAAN(PENDIDIK).

PPSMI: Jangan seperti 'tikus membaiki labu'.

1.Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(PENDIDIK) membantah cadangan untuk melaksanakan semula dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI).

2.Dasar tersebut telah terbukti jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan Kebangsaan 1996 yang telah jelas meletakkan kepentingan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam semua matapelajaran utama di sekolah .

3. Sepatutnya semua mata pelajaran teras atau mata pelajaran utama seperti Matematik dan Sains mestilah diajar dalam Bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara dan bukannya Bahasa Inggeris .

4. Kita bukanlah menolak pembangunan atau sebarang kemajuan tetapi janganlah mengambil sikap seperti 'tikus membaiki labu' kerana dibimbangi ibarat peribahasa Melayu yang menyebutkan ,'yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran'.

5.Dasar PPSMI yang telah menelan kos melebihi 3.6 juta telah dimansuhkan secara rasminya pada tahun 2012 sebelum ini akibat kegagalan yang telah dibuktikan oleh tokoh akademik ,pejuang bahasa malahan ibu bapa dan pelajar turut membantah namun alangkah terkejutnya apabila Perdana Menteri Malaysia merangkap Pemangku Menteri Pendidikan Malaysia mahu meneruskan semula dasar ini.

6. Harus diingat,banyak negara maju seperti Jepun ,Jerman,China dan lain -lain dilihat tegas mempertahankan bahasa rasmi negara mereka dan mereka begitu optimis bahawa bangsa mereka hanya akan maju jika mereka menjaga identiti bahasa ibunda masing -masing.

7. Kita bukan menafikan kepentingan Bahasa Inggeris tetapi sikap terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris sehingga mahu meminggirkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara amat dikesali.

8. PENDIDIK tidak mahu sehingga pelajar dan warga pendidik di Malaysia menganggap diri mereka ibarat 'tikus makmal' yang menjadi mangsa eksperimen semata-mata akibat dasar pendidikan yang tidak konsisten dan bercelaru.

9. Ramai tokoh akademik mengatakan bahawa masa depan mereka semakin gelap akibat sikap pemimpin negara yang dibimbangi kurang cermat dalam menentukan dasar pendidikan negara yang semakin 'caca marba".

10. Justeru, PENDIDIK menyokong penuh solidariti yang bakal diterjemahkan melalui Serahan Memorandum Bantahan Pelaksanaan PPSMI di Masjid Putrajaya pada 7 Februari 2020 jam 2 .00 petang ini untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Malaysia yang ke 7 sebagai tanda keprihatinan rakyat Malaysia terhadap martabat Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara .
"Bahasa Jiwa Bangsa".

Salam hormat:
Normala Binti Sudirman
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(PENDIDIK).
7 Februari 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo