NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelantikan interim tidak sesuai ketika ini - Penganalisis



KUALA LUMPUR: Pelantikan interim disifatkan tidak sesuai terutamanya dalam kemelut politik ketika ini.

Sehubungan itu, penganalisis politik Prof Dr Hamidin Hamid menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan percaturan sebenar bagi memastikan krisis seumpamanya tidak berlanjutan.

“Interim ini merupakan satu keadaan yang sangat-sangat tidak sesuai untuk negara ketika ini.

"Dan diharapkan ia berjaya diselesaikan dengan cepat untuk kita pastikan krisis politik ini tidak berlanjutan," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau mengulas pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong pada Isnin, selepas menerima peletakan jawatan beliau sebagai perdana menteri.

Selain itu, Dr Mahathir turut mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya merasakan suara yang harus didengar ialah daripada Dr Mahathir sendiri dan percaturannya dalam konteks itu.

“Sejauh mana, contohnya Bersatu, UMNO dan parti lain boleh meyakinkan beliau. Itu persoalan yang terbuka kepada segala pihak,” jelas Hamidin.

Tambahnya, pada ketika ini, sokongan di Parlimen berpihak kepada Dr Mahathir dan beliau merupakan satu-satunya pelari hadapan untuk jawatan Perdana Menteri.

“Kami tidak nampak lagi nama-nama yang diketengahkan yang boleh mencabarnya,” tambahnya.

Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menerima peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, baginda telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-politik/pelantikan-interim-tidak-sesuai-ketika-ini-penganalisis-231623

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo