NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peguam Negara Masih Belum Bebas Dari Dakwaan Menghina Mahkamah


Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner sebelum ini yang membenarkan bapa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memulakan prosiding perintah komital iaitu dakwaan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah menghina Mahkamah.

Saya percaya bahawa keputusan ini belum membebaskan Peguam Negara daripada dakwaan menghina Mahkamah. Keluarga Allahyarham Adib masih mempunyai peluang untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, jika mereka mendapati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi hari ini adalah khilaf.

Sebelum ini, Tommy Thomas dianggap telah menghina Mahkamah kerana telah mengambil pendirian bahawa punca kematian Allahyarham Adib bukan kerana dipukul sebelum keputusan inkues dikeluarkan. Hal ini dapat dilihat melalui afidavit yang difailkan yang memberi kesimpulan awal bahawa kematian Adib bukan sebab dipukul serta penamatan khidmat Puan Syazlin Mansor sebagai peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak Bomba.

Dalam apa keadaan sekalipun, saya menyeru agar semua pihak terus memberikan sokongan kepada keluarga Allahyarham Adib untuk meneruskan tindakan undang-undang.

Dalam keadaan masih tiada pendakwaan dimulakan terhadap mana-mana suspek, sekurang-kurangnya Allahyarham Adib perlu mendapat keadilan jika wujud campur tangan Peguam Negara untuk melengah-lengahkan pendakwaan dan menentukan keputusan inkues daripada awal lagi.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mendesak supaya siasatan dan pendakwaan kes Allahyarham Adib ini dipercepatkan. Berapa lama lagi keluarga Allahyarham Adib perlu menunggu untuk pesalah dihadapkan ke muka pengadilan? Pihak berkuasa seharusnya sedar bahawa rakyat di negara ini sentiasa mengikuti perkembangan isu Allahyarham Adib dari masa ke masa.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus

Kongsi kenyataan ini dan maklum balas anda di :
https://www.facebook.com/569086473101387/posts/3072449592765050/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo