NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Meriam Singgora : Menjunjung Bahasa Melayu Dengan Teknologi

oleh:Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Terdapat banyak meriam di Hospital Diraja Chelsea, England. Namun hanya selaras meriam sahaja yang diletakkan di tengah-tengah halaman hospital. Meriam itu adalah meriam buatan kerajaan Melayu Singgora dan ia terpilih untuk diletakkan di tengah-tengah halaman hospital kerana keunikan dan keindahannya.

Di atas meriam yang dibuat sekitar tahun 1653 atas arahan Sultan Sulaiman Shah ini tercatatnya syair-syair Melayu yang indah, di mana meriam ini bukan sahaja menjunjung bahasa, malah ia juga menjunjung akidah melalui rangkap-rangkap syairnya. Berikut adalah dua dari lapan rangkap syair yang tertera di atas meriam :-

Meriam diperbuat adalah sudah
Mengucap syukur ke Hadrat Allah
Jadikan tanda meninggalkan manah (pusaka)
Akan membunuh kafir alaihi la’nah (yang dilaknat)

Jahat bebal hamba latihan
Berbuat meriam dihadirkan
Akan kafir syirik zalim ke neraka Jahanam
Akan dipandang sahabat meninggalkan zaman

Maka meriam Singgora ini menjadi bukti bahawa nenek moyang kita dulu meneroka ilmu sains dan teknologi sambil mendaulatkan bahasa. Malah, mereka menggunakan teknologi untuk mendaulatkan agama dan bahasa ibunda. Bukannya mengorbankan bahasa ibunda demi mempelajari sains dan teknologi.

Dengan itu, orang-orang Inggeris kagum dengan pendaulatan bahasa Melayu oleh kerajaan Singgora sehinggakan pada meriam pun diletakkan syair-syair Melayu. Walhal amalan begini tidak dilakukan mereka.

Iktibar dari pembuatan meriam ini, kita sepatutnya giat meneroka bidang sains dan teknologi dengan menjadikan teknologi itu sebagai medium untuk mendaulatkan agama dan bahasa kita. Nenek moyang kita sudah pun menunjukkan contohnya!

Tentang Sultan Sulaiman Shah dan meriam Singgora ini ada saya nukilkan dalam buku terbaru saya, Raudhatus Salatin :Sejarah Sultan-sultan Soleh Di Alam Melayu. Dapatkan di pesta buku antarabangsa akan datang!

Sumber: https://www.facebook.com/hasan.yusof.5/posts/10213082394293205

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo