NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mat Sabu, roti John dan NATO


oleh: ABDUL MUEIN ABADI | | 20 Februari 2020

MALANG sungguh nasib rakyat Malaysia yang sering dihidangkan dengan berita palsu hingga menenggelamkan fokus yang lebih penting.

Terbaru ialah cubaan mengaitkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (Mat Sabu) dengan kisah memalukan mengenai ‘roti John’. Kisah itu berasal daripada laporan The Star yang mendakwa seorang menteri kerajaan PH bertemu dengan pegawai asing yang berkedudukan tinggi dari luar negara yang bernama ‘John’ untuk berbincang mengenai hal ehwal keselamatan.

Menurut artikel itu, menteri PH berkenaan mengeluarkan kata-kata: “Nama anda John. Di negara saya ada roti John. Jika anda datang ke negara saya, saya akan masakkan roti John untuk anda.” Meskipun Setiausaha Akhbar kepada Mat Sabu iaitu Amin Iskandar telah menafikan penglibatan Menteri Pertahanan dalam kisah itu, namun ia telah menenggelamkan satu perkembangan penting yang melibatkan lawatan Mat Sabu ke Munich, Jerman baru-baru ini.

Pada 14 hingga 16 Februari 2020, Mat Sabu telah menghadiri Munich Security Conference 2020 di Jerman di mana pertembungan antara dua kuasa besar iaitu Amerika dan China seolah-olah tidak terbendung lagi. Hal itu cukup ketara apabila Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo dan Menteri Luar China, Wang Yi saling membidas antara satu sama lain.

Mike Pompeo mengatakan bahawa ‘Barat kini sedang menang’ mengatasi kumpulan bukan Barat yang dikelompokkan sebagai ‘Rusia, China dan Iran’. Wang Yi pula menyelar pembahagian Barat-Bukan Barat tersebut. Apa yang menarik ialah pendirian yang disampaikan Mat Sabu kepada kedua-dua blok berkenaan.

Dalam catatan bertarikh 15 Februari 2020 yang bertajuk ‘NATO hilang arah?’ Mat Sabu mendedahkan sewaktu lawatan beliau ke ke Jerman itu, beliau turut menghadiri majlis makan malam bersama jeneral tentera termasuk dari Amerika Syarikat (NATO) dan pemain industri Eropah. Mat Sabu mendedahkan bagaimana dalam majlis itu, mereka berbincang mengenai Rusia yang ekonominya rendah tetapi kuasa ketenteraannya semakin diperhebat dengan pelbagai senjata termasuk roket baru diperkenalkan Moscow.

Menurut Mat Sabu, ‘Eropah sedang berusaha memodenkan lagi persenjataan untuk bersaing dengan Rusia dan sejak selepas Perang Dunia Kedua, tiada peperangan besar antara Rusia dan Eropah kecuali perang dingin’.



Menariknya, ketika tiba giliran beliau, Mat Sabu memaklumkan bahawa: “Kita turut berbangga dengan kemajuan Eropah dan Rusia.” Bagaimanapun, beliau juga menegaskan bahawa meskipun ‘negara Eropah dan Rusia tidak berperang, namun mereka telah mengalihkan peperangan mereka secara proksi ke Timur Tengah’. Dalam masa sama, Mat Sabu turut mengingatkan kuasa-kuasa besar berkenaan supaya tidak membawa perang proksi ke Asia terutama di kawasan laut China Selatan.

Beliau menegaskan bahawa kita sedar akan kebangkitan China yang sedang muncul sebagai ‘kuasa baru’ dan ‘Malaysia akan sentiasa berbincang dengan mereka’ di samping ‘menyeru negara-negara Eropah untuk bersama berbincang bagi mengekalkan keamanan di Laut China Selatan’.

Meskipun pendirian Menteri Pertahanan kita ini cukup kritis kepada blok Barat – lihat sahaja tajuk kenyataan Mat Sabu yang tertulis ‘NATO hilang arah’ itu – namun pendirian beliau mengenai China masih boleh diperdebatkan.

Umum mengetahui bagaimana perangai China yang semakin hari semakin berlagak imperialis di Laut China Selatan; terbaru, laman Malaysia Military Power melaporkan kapal pengawal pantai China HAIJING5203 menceroboh perairan berhampiran Miri-Bintulu dan dibayangi dua aset kebanggaan kita, KD Jebat (TLDM) dibantu KM Bagan Datuk (Maritim Malaysia).

Pokoknya, rakyat Malaysia seharusnya memberi fokus mengenai pendirian Menteri Pertahanan kita tentang NATO, Rusia, dan China di Laut China Selatan ini, bukannya kisah ‘Menteri Roti John’ yang tidak benar lagi tidak mendatangkan apa-apa faedah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo