Kabinet terbubar, terserah kepada Agong buat keputusan - Penganalisis Politik



KUALA LUMPUR: Kabinet Pakatan Harapan (PH) secara automatiknya terbubar selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin, kata penganalisis politik.

Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata mengikut amalan biasa sistem demokrasi, apabila perdana menteri meletak jawatan maka secara tidak langsung jawatan jemaah menteri juga terbubar dan berlaku kekosongan kabinet.

Ditanya apa yang akan berlaku selepas ini, Ahmad Atory berkata ia bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuat keputusan dalam pemilihan pengganti perdana menteri bagi memimpin kerajaan.

"Sekarang ini, tidak boleh ada kekosongan (kabinet) yang terlalu lama. Agong akan memilih ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti iaitu memadai majoriti mudah 112 kerusi di Parlimen untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu.

"Mungkin Agong akan memanggil ketua-ketua parti untuk mengetahui sokongan majoriti memihak kepada siapa dan saya lihat dalam situasi politik hari ini, ada dua pihak iaitu satu pihak menyokong Dr Mahathir dan satu lagi pihak menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.

Ahmad Atory berkata dalam kemelut politik negara ketika ini, beliau berpendapat Pilihan Raya Umum (PRU) tidak diperlukan.

"PRU hanya akan berlaku sekiranya tidak ada individu yang layak untuk dilantik sebagai perdana menteri. Katakan kalau masing-masing parti tidak mahu bertolak ansur (dalam soal pemilihan perdana menteri), barulah Agong akan isytiharkan Parlimen dibubar bagi memberi laluan kepada PRU dan rakyat untuk kembali memilih," katanya.


“ PRU hanya akan berlaku sekiranya tidak ada individu yang layak untuk dilantik sebagai perdana menteri ”
- Ahmad Atory Hussain
Twitter Facebook Email Google Whatsapp


Beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah sesuatu yang baharu yang belum pernah berlaku di negara dan oleh itu perlu tunggu dan lihat akan perkembangan berikutnya.

Senada dengan Ahmad Atory, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata pentadbiran negara kini bergantung kepada kewibawaan Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda seharusnya menasihati apa yang terbaik boleh dilakukan untuk negara dan sekiranya pakatan baharu diwujudkan maka ia seharusnya mendapat mandat yang menunjukkan mereka mempunyai kuasa yang diperlukan dengan jumlah majoriti Ahli Parlimen.

"...dan sekiranya ia kekal dengan (pakatan) lama, ia harus menunjukkan mereka mempunyai konsénsus dan bukannya sekadar mempunyai jaminan dan kekuatan untuk membentuk kerajaan baharu," katanya.

Noor Nirwandy berkata sekiranya ia tidak dapat diselesaikan dengan cara yang mudah kemungkinan satu daripada opsyen adalah mengadakan PRU.

"Ini bagi memastikan sistem demokrasi dalam negara kita terus subur dan terpelihara dan peralihan kuasa ini dapat dijalankan dengan sistematik dan sempurna mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya yang berharap kemelut politik segera diselesaikan memandangkan ketidaktentuan politik boleh menjejaskan imej dan kestabilan negara.


“ Sekiranya kekal dengan pakatan lama, ia harus tunjukkan mereka punyai konsensus untuk bentuk kerajaan baharu ”
- Noor Nirwandy Mat Noordin

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan mengesahkan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin.

“Surat peletakan itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, jika terdapat keperluan mengadakan semula pilihan raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Jemaah Menteri sementara.

Seri Paduka boleh berbuat demikian sama ada dengan memperkenankan Jemaah Menteri yang lepas atau membentuk Jemaah Menteri yang baharu terdiri daripada anggota Dewan Rakyat seperti yang termaktub di bawah Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Jemaah Menteri itu hanya memiliki kuasa terhad bagi maksud untuk menyempurnakan nasihat dalam hal-hal penting sehingga kerajaan baharu dilantik.

Juga dalam tempoh pembubaran Parlimen itu, jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih berfungsi untuk meneruskan dasar-dasar yang dibuat kerajaan sebelumnya.

-- BERNAMA

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post