Isu TH: Ini Bukan Satu Bail-Out

oleh:Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
19 Februari 2020

INI BUKAN SATU BAIL-OUT
(Menjawab Tulisan Dr Zaharuddin Mengenai Tabung Haji Yang Tular Bertajuk “INI SATU BAIL-OUT”)

Saya akan cuba mengulas berkenaan dengan tulisan sahabat saya yang dihormati Dr Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR) yang bertajuk “Ini Satu Bail-Out” yang tular di banyak ruangan media sosial.

Pada mulanya saya enggan mengulas tulisan tersebut memandangkan UZAR merupakan sahabat saya sama-sama dalam industri Kewangan Islam dan mengajar bidang yang sama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia satu ketika dahulu. Namun atas dasar ilmu dan keperluan memperbetulkan beberapa perkara yang disalah tanggapi, saya cuba untuk menulis dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua. (Mohon tidak menyentuh peribadi sahabat saya ini)

(a) Bail-out bermaksud memberi bantuan kewangan kepada syarikat yang mengalami masalah. Jadi adakah Tabung Haji (TH) menerima sebarang bantuan kewangan dari kerajaan? Jawapannya TIDAK.

(b) Kenapa tidak? Bukankah TH diberikan Sukuk (dokumen hutang) untuk mengimbangkan catatan akaunnya?

Sukuk yang diberikan adalah sukuk bertempoh matang 7 tahun dan sukuk 10 tahun. Secara mudahnya, TH pindahkan aset (jual aset berasaskan prinsip ‘true sale’) yang kononnya dikatakan tidak berdaya maju kepada SPV (Urus Harta Sdn Bhd-UJSB), dengannya TH terima sukuk (kertas/dokumen hutang).




Bila Tabung haji akan terima pembayarannya?
Selepas 7 tahun dan 10 tahun dan itu pun TIADA JAMINAN yang TH boleh terima pembayarannya atas sebab Sukuk itu TIDAK DIJAMIN KERAJAAN (Non-Guarantee Sukuk) .

Amalan biasa dalam audit, jika Sukuk/Bond dikeluarkan oleh SPV tanpa dijamin oleh Syarikat Induk, maka nilai Sukuk tersebut sukar dipastikan nilainya dan jika nilainya sukar untuk dipastikan, pembayaran baliknya juga sukar untuk kita pastikan!

(c) Berkenaan jumlah kerugian ekuiti bernilai RM4.2bilion itu, jika ada pihak yang hendak dipersalahkan, Kerajaan PH sekaranglah harus dipertanggungjawabkan. Kejatuhan nilai ekuiti banyak disebabkan dasar kerajaan PH sekarang ini. Sebagai contoh harga saham IJM jatuh hampir 40% selepas PRU 14, begitu juga saham Pintaras Jaya jatuh hampir 35% selepas PRU 14.

(d) Tentang masalah yang dibangkitkan oleh auditor bahawa TH mengubah nilai ambang. Satu perkara yang kita kena tahu , mengikut standard perakaunan catatan rosot nilai (impairment value) perlu dilaksanakan. Walaubagaimanapun bagaimana dilaksanakan tidak ditetapkan secara objektif. Pengurusan lama mungkin mempunyai sebab tersendiri dan mungkin juga dilakukan untuk melindungi kepentingan pendeposit dan pelabur. (Isu ini boleh diperbahaskan baik buruknya, namun tidak sampai menjadi satu kesalahan jenayah).

Jika wujud sebarang salah-laku, skandal ataupun penyelewengan sebagaimana yang didakwa oleh Kerajaan PH terutamanya YB Dr Mujahid Yusof Rawa, kenapa sampai ke hari ini tuntutan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) tidak diendahkan? Lebih pelik apabila Menteri menjawab bahawa salah-lakunya sudah jelas sebab itu RCI tidak perlu dijalankan!

Jika salah-lakunya sudah jelas, kenapa selepas hampir 2 tahun kerajaan Pakatan Harapan ambil alih kerajaan, masih tiada lagi pihak yang didakwa? Yang ada hanyalah mainan persepsi dan olahan media seperti menggunakan label “Bekas Pengerusi Tabung Haji”, walhal setakat hari ini Datuk Seri Azeez Rahim hanya didakwa dalam kes-kes yang tiada kaitan langsung dengan TH.

Justeru, demi kepentingan 9.4 juta pendeposit TH saya menyeru agar dihentikan segera ‘politik murahan’ (istilah YB Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa) dengan hanya menyalahkan Kerajaan BN terdahulu atas kegagalan menguruskan aset dan kepentingan umat Islam terutamanya insitusi TH yang begitu dekat dengan hati rakyat ini!

*Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia



0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post