NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu ‘Bin Abdullah’ anak tak sah taraf


oleh: Datuk Zainul Rijal Abu Bakar 

KHAMIS lepas Mahkamah Persekutuan dalam kes yang lebih dikenali sebagai kes ‘Bin Abdullah’ dengan keputusan majoriti 4-3 memutuskan kanak-kanak Muslim tidak sah taraf tidak boleh dibinkan dengan nama bapa biologinya.

Mahkamah memutuskan juga orang Melayu tidak mempunyai nama keluarga oleh yang demikian nama bapa tersebut bukanlah nama keluarga tetapi hanya nama peribadi bapa tersebut. Namun, mahkamah memerintahkan perkataan Bin Abdullah dipadamkan daripada nama anak tersebut kerana ia tidak berkaitan dengan anak tersebut.

Dalam hal itu, mahkamah memutuskan kerana fatwa negeri Johor yang menyatakan anak tak sah taraf hendaklah dibinkan dengan bin Abdullah ataupun mana-mana 99 nama ALLAH yang lain selepas perkataan Abdul belum lagi diwartakan. Oleh yang demikian, fatwa tersebut tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang.

Saya telah dimaklumkan fatwa negeri Johor telah pun diwartakan pada 21 Mei 2018.

Ada negeri-negeri lain seperti Kedah dan Selangor mempunyai fatwa yang diwartakan sedemikian rupa tetapi ada negeri yang masih belum mempunyai fatwa sedemikian dan ada juga fatwa berbeza seperti di Perlis.

Apapun isu hukum syarak sebegini semua pihak perlu merujuk fatwa berkuatkuasa di sesebuah negeri itu.

Apa yang lebih menarik dalam penghakiman majoriti tersebut ialah Mahkamah Persekutuan memutuskan sekali lagi selepas kes Lina Joy bahawa adalah tidak salah bagi Jabatan Pendaftaran Negara merujuk undang-undang negeri khususnya undang-undang Islam bagi membuat pertimbangan dalam sesuatu perkara yang berkaitan agama Islam.

Hal itu memberi impak besar kepada perundangan Islam kerana ramai dalam kalangan yang memperlekehkan perundangan Islam semata-mata kerana ia adalah perundangan yang digubal Dewan Undangan Negeri.

Malah, boleh dikatakan penghakiman itu memartabatkan perundangan Islam dan memperteguhkan konsep federalisme di mana negeri dan Persekutuan saling lengkap melengkapi bukan bersaing di antara mereka.

Isu itu dituntaskan dalam penghakiman Bin Abdullah dan diharapkan tiada lagi hujahan sebegini ditampilkan bagi mengelirukan orang awam.

Berbalik kepada penghakiman kes tersebut, saya sangat mengalu-alukannya kerana pada pandangan saya kita perlu telus di dalam kehidupan berkeluarga. Anak tak sah taraf tidak perlu disembunyikan fakta tersebut tetapi perlu dijelaskan daripada awal lagi.

Namun, ia tidak bermakna akan berlaku penindasan diskriminasi dan kezaliman kepada anak yang tidak berdosa itu. Dengan menzahirkan kasih sayang tidak berbelah bahagi kepada anak tersebut, dia boleh menerima walaupun anak tak sah taraf, dia tidak bersalah dan bapanya tidak mengabaikannya.

Masalah stigma masyarakat ialah masalah pendidikan dan kesedaran bukan masalah perundangan. Sangat pelik jika semata-mata kerana stigma masyarakat kita perlu mengubah hukum yang diterima ramai.

Kita gagal mendidik masyarakat agar tidak memandang rendah kepada anak tak sah taraf. Sesuatu perlu dilakukan. Kita gagal sehingga sekarang mendidik masyarakat menjauhi najis dadah, adakah itu memberi lesen kepada kita untuk menghalalkan najis dadah? Saya sendiri mempunyai beberapa kes anak tak sah taraf menghadapi trauma sehingga terpaksa memutuskan pertunangan kerana baru mendapat tahu dia ialah anak tak sah taraf dan perlu mendapat wali hakim.

Betapa punah hatinya ketika mendapat maklumat tersebut kerana menyangka dia anak sah kepada bapanya. Malah, lebih dahsyat lagi tunangnya beranggapan dia memainkan tunang tersebut dan merahsiakan perkara itu.

Begitu juga anak guam saya yang terkejut apabila mendapati beliau tidak layak mewarisi harta peninggalan bapanya setelah lelaki itu meninggal dunia kerana dia anak tak sah taraf.

Oleh kerana Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, semua pihak hendaklah menghormati keputusan itu.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
( Hide )
  1. Kenapa negara islam lain tak menggunakan bin Abdullah or 99namq al husna nie dato

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo