NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar Patut Nyatakan Jumlah Sokongan


oleh:DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Gombak, Selangor
8 Februari 2020

(merujuk berita SH https://www.sinarharian.com.my/article/69218/BERITA/Politik/Peralihan-kuasa-Dr-Mahathir-Anwar-perlu-isytihar-jumlah-sokongan)

Gesaan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytihar jumlah sokongan yang diterima untuk menentukan sama ada peralihan kuasa perlu dilakukan atau sebaliknya, amat disokong.

Cara berkenaan lebih berwibawa bagi menggambarkan kedudukan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Perkara 43(2)(a) menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Kemampuan Anwar untuk menzahirkan sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli Dewan Rakyat amat penting bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar mewakili semua anggota Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini, terdapat gesaan agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir meneruskan mandat sehingga tamat penggal kerajaan. Bahkan Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Azmin, sendiri menyebut bahawa Dr Mahathir perlu dibiarkan kekal sebagai PM, sehingga selepas tempoh penggal kerajaan bagi memenuhi mandat yang diberikan oleh rakyat.

Oleh kerana wujudnya pandangan-pandangan yang berbeza begini, cadangan Dr. Aziz agar Anwar mengisytiharkan jumlah sokongan dan menyenaraikan nama-nama ahli Dewan Rakyat yang menyokong beliau amat penting.

Kita tidak boleh menyamakan perubahan jawatan Perdana Menteri sekarang dengan perubahan tampuk pemerintahan Tun Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003 dan perubahan daripada Abdullah kepada Dato’ Seri Mohd Najib pada tahun 2009 kerana perubahan tersebut melibatkan pemimpin yang datang dari parti yang sama, serta tidak mempunyai isu pertikaian dari sudut sokongan dan kepercayaan.

Oleh yang demikian, kita amat berharap agar gesaan Dr. Aziz ini diberikan perhatian serius oleh Anwar sebagai satu syarat awal untuk mengambilalih jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo