NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usahasama menghadapi wabak 2019-nCoV


PAS mengikuti perkembangan 2019-nCoV dengan terperinci. 2019-nCOV adalah sejenis virus baru yang telah dikesan kes pertama pada 8 Disember 2019. Namun begitu, WHO hanya mengisytiharkan penemuan ini pada 31 Disember 2019. Kerajaan negara China mengistiharkan darurat pada 14 wilayah baru pada Jumaat 24 Januari 2020.

Masih banyak persoalan tentang cara jangkitan serta gejala-gelaja yang perlu dipantau memandangkan terdapat kes-kes yang dilaporkan pada pesakit yang didapati positif tetapi tidak mempunyai simptom-simptom seperti yang dinyatakan. Dengan informasi yang terbaru ini, menimbulkan tanda tanya adakah saringan awal di lapangan terbang dengan hanya menggunakan thermal detector yang mengesan tanda demam cukup efektif bagi mengawal jangkitan wabak ini.

Jika dibandingkan dengan sejarah wabak seperti SARS dengan kadar kematian sekitar 10 peratus, MERS-CoV pula sekitar 37 peratus dan 2019 nCOV ini hanya dilaporkan sekitar 3.1 peratus. Namun begitu, data ini masih memerlukan pelaporan semasa daripada Kerajaaan China dan negara-negara lain yang turut mempunyai kes-kes positif. Sehingga kini, jumlah mereka yang dijangkiti dan meninggal dunia akibat daripada jangkitan virus ini terus meningkat dengan 80 kematian seperti yang dilaporkan secara rasmi oleh Kerajaan China. Namun begitu, sikap negara ini yang selalu menyembunyikan angka sebenar seperti isu rakyat Uighyur menyebabkan dunia sentiasa skeptikal dengan fakta yang diberikan.

Mengikut jurnal perubatan, setakat ini tiada rawatan yang efektif untuk merawat virus ini. Sepertimana yang kita sedia maklum, kos rawatan dan penjagaan pesakit berjangkit ini amat tinggi memandangkan persediaan PPE, bilik isolasi, 1 to 1 nursing care, dan juga kos pengurusan yang lain. Dengan kadar mobiliti pelancong antarabangsa adalah sangat tinggi terutama dari negara China, boleh menyebabkan penyakit ini dieksport ke negara lain dengan mudah.

Setelah meneliti perkembangan semasa ini, PAS mengambil maklum usaha dan pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam mengawal perebakan jangkitan tersebut di dalam negara dan tanggungjawab yang perlu dilakukan sesuai dengan saranan WHO. Namun yang merisaukan PAS adalah pelbagai kenyataan yangdikeluarkan oleh pelbagai kementerian yang memberikan justifikasi dangkal dalam tindakan mereka. Sebagai contoh, kenyataan yang mengutamakan pulangan ekonomi dalam sektor pelancongan, prospek Tahun Melawat Malaysia 2020 yang akan terkesan serta beban 2 juta pelancong-pelancong dari negara China telah dijadikan sandaran. Ini memberi gambaran seolah-olah kerajaan sedia ada mengutamakan wang ringgit dan sen berbanding dengan kesihatan rakyat dan tenaga petugas-petugas kesihatannya.

Justeru PAS mencadangkan agar pelan menyeluruh yang merentasi pelbagai kementerian hendaklah diwujudkan segera bagi membendung penularan wabak ini secara holistik. Pihak kerajaan perlu lebih bertanggungjawab di dalam memberikan pandangan dan tindakan. Setiap kenyataan haruslah dibuat dengan berdasarkan rakyat didahulukan dan bukan untuk kepentingan yang lain. Jangan pula rakyat disalahkan apabila kenyataan-kenyataan tersebut dianggap tidak wajar malah menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat seolah-olah kerajaan cuba untuk menyembunyikan sesuatu.

Namun begitu PAS menyeru rakyat agar terus bertenang dan memberi kepercayaan dan kerjasama kepada pihak KKM dan kementerian lain dalam menjalankan tugas mengikut SOP yang sedia ada bagi melindungi keselamatan negara. PAS akan terus memainkan peranan untuk memantau dan memberikan pandangan balas bagi pihak rakyat kerana PAS yakin sinergestik dalam tindakan di antara rakyat dan kerajaan adalah penting dalam membendung wabak 2019-nCoV ini.

DR MOHD MAZRI YAHYA ialah Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo