NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tunai janji PRU14 sebelum Warisan mahu laksana PSS - Mohd Shahar



KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Warisan seharusnya melaksanakan dahulu pelbagai janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebelum melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS).

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Shahar Abdullah menegaskan, pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak harus diberi keselesaan dan kehadiran mereka menjejaskan keselesaan, kemudahan serta hak rakyat Sabah sendiri.

"Kebanyakkan mereka yang ditemui menyatakan kebimbangan pelaksanaan PSS ini kerana memberi kemudahan kepada PATI untuk bergerak sewenang-wenangnya di dalam Sabah.

"Ia bukan keputusan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu. Kita tidak melaksanakannya dahulu kerana mendengar kegelisahan rakyat Sabah. Sebab itu perkara yang diputuskan sejak 2016 masih belum terlaksana.

"Kerajaan PH-Warisan terbukti tidak mahu mendengar keluh-kesah rakyat dan mengambil keputusan untuk tetap melaksanakannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: Rakyat Sabah tidak mahu dengar isu serangan peribadi - Penganalisis

BACA: Kempen PRK Kimanis baru 'panas enjin'

Pada Selasa, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman menyifatkan BN sebagai ‘munafik’ kerana membantah pelaksanaan PSS yang dicadangkan ketika memerintah sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan Warisan hanya meneruskan cadangan berkenaan selepas menyatakan pendirian mengenainya.

Tambahnya, minit mesyuarat jawatankuasa teknikal pengurusan warga asing Sabah pada 2016 yang diwujudkan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan warga asing Sabah sebelum ini ada menyatakan mengenai pengeluaran kad untuk warga asing.

Dalam pada itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar memberitahu, pengundi di Kimanis harus menyatakan bantahan mereka melalui peti undi pada 18 Januari ini bagi menghantar isyarat jelas mereka menolak PSS demi hak rakyat Sabah.

"Kenapa PATI mahu diberi keselesaan? Bukankah kaedah penghantaran pulang merupakan pendekatan yang dibuat sebelum ini? Datuk Seri Anifah Aman antara menteri yang berunding dengan Kerajaan Filipina untuk menerima mereka ketika menjadi Menteri Luar.

"Bagaimana Sabah mahu menampung PATI ini tanpa menjejaskan keselesaan, kemudahan dan hak rakyat Sabah. Kementerian berkenaan juga tidak akan mampu mengurus PATI ini yang dijangka sekitar satu juta orang.

"Soal pelarian yang menjadi perbincangan dunia pun sehingga kini belum ditemukan kaedah untuk mendaftar mereka, inikan pula PATI di Sabah yang jauh lebih ramai ini," katanya.

Mengulas isu berkaitan, Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn menjelaskan, Pilihan Raya kecil (PRK) Kimanis memberi ruang kepada anak muda Sabah untuk menebus kesilapan mereka pada PRU ke-14 yang lalu.

Anak-anak muda di Semenanjung telah segera melakukan perubahan dengan menghantar isyarat jelas bermula di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

"Kimanis akan menjadi medan untuk mewakili anak-anak muda seluruh Sabah menuntut PH-Warisan menunaikan janji-janji mereka.

"Kelembapan kemajuan di Sabah di bawah pemerintahan Warisan amat jelas dirasai. Antaranya pembangunan lebuhraya Pan-Borneo yang amat diharapkan oleh rakyat di Sabah sebagai medium perhubungan untuk memacu ekonomi mereka," ujarnya.

PRK Kimanis pada 18 Januari ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH- Warisan dan BN.

Dua calon terbabit ialah calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48 tahun dan Datuk Karim Bujang dari Warisan, 66 tahun.

Sumber:

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo