NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TM tawar data SIM berkelajuan tinggi tanpa had kepada pelancong


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) menjalin usaha sama dengan Tourism Malaysia bagi menawarkan pelan mudah alih khas unifi kepada pelancong antarabangsa yang melawat negara ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menerusi usaha sama itu, pelancong yang berdaftar untuk Travel Pass unifi TM, kad SIM pelancong, mereka boleh menikmati data berkelajuan tinggi tanpa had, sambungan WiFi dan tayangan TV pilihan.

"Pelancong boleh memilih sama ada Pas Tujuh Hari atau Pas 15 Hari pada RM60, kedua-duanya menawarkan data berkelajuan tinggi 4G/3G.

"Pas perjalanan unifi juga dilengkapi kredit masa udara prabayar untuk pelancong membuat panggilan keluar pada 20 sen seminit dan menghantar SMS pada 10 sen setiap SMS," kata TM dan Tourism Malaysia dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis menandatangani perjanjian TM-Tourism Malaysia yang disaksikan oleh Ketua Setiausaha Tourism Malaysia Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Pengerusi TM Rosli Man di sini pada Rabu.

Mengulas mengenai usaha sama itu, Rosli berkata TM, melalui produk dan penyelesaian inovatif dan komprehensifnya, akan terus memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan gaya hidup digital, perniagaan digital dan industri menegak selain kerajaan digital.

"Kerjasama ini bukan sahaja mencerminkan sokongan kami terhadap industri pelancongan Malaysia, malah sejajar dengan peranan kami untuk merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi Negara Digital," katanya.

Sementara itu, Noor Zari berkata beliau berharap kerjasama itu akan memainkan peranan penting dalam memajukan hasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unik dan budaya yang pelbagai untuk pelancong di seluruh dunia.

Dengan slogan "Visit Truly Asia Malaysia 2020", kempen Visit Malaysia 2020 bertujuan mencapai 30 juta ketibaan pelancong dengan perbelanjaan sebanyak RM100 bilion tahun ini.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo