NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada hak mutlak benarkan murtad




BANGI, 16 Jamadilawal 1441H, Ahad – Tiada hak mutlak diwujudkan bagi membenarkan seseorang untuk menukar agama.

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sebarang pertukaran agama hendaklah dilakukan mengikut agama itu sendiri dan juga undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, isu murtad tidak boleh dilihat secara berasingan daripada agenda menggasak agama Islam selain menumbangkan agama Persekutuan itu.

"Malah, beberapa tindakan berangkai sekarang ini seperti mempersoal undang-undang keluarga Islam, jenayah syariah dan kedudukan agama Islam boleh menjurus kepada menjauhkan umat Islam daripada sebarang bentuk tindakan atau organisasi agama di Malaysia.

"Lama-kelamaan umat Islam akan hidup jauh dari agama dan 'dibebaskan' dari Islam. Ketika itu amat mudahlah menjadi murtad," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas penjawat awam kanan, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Perkara itu merupakan laporan dalam kertas yang dibentangkan oleh pengerusi jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga wakil G25 bertajuk "Administration of Matters Pertaining to Islam".

Jelas G25 dalam laporan itu, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya, adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan tuhan.

Laporan itu juga mengatakan, undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

"Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, tiga hak yang berbeza iaitu hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

"Tidak ada asas yang dibenarkan Perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang," katanya.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, masalah murtad perlu ditangani secara bersepadu dan berhemah oleh semua pihak termasuk pihak berkuasa, keluarga, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekeliling.

Beliau berkata, pendekatan berhemah dan berterusan juga amat penting bagi keberkesanan dakwah dan mengelakkan orang Islam murtad.

"Pengukuhan akidah, ibadah dan akhlak boleh diterap kepada umat Islam melalui undang-undang dan pendidikan. Ini harus berjalan seiring bagi memastikan keberkesanan dakwah Islam.

"Bukan masanya lagi umat Islam bertelagah sebagai cara terbaik untuk mengekang gejala murtad. Lebih buruk lagi jika kita membuka ruang untuk orang Islam murtad secara bebas.

"Sekiranya orang Islam dibenarkan murtad secara bebas mungkin akan muncuk golongan yang murtad semasa bulan Ramadan kerana tidak mahu berpuasa, tetapi muslim semula ketika mahu berhari raya. Kekalutan seperti ini mestilah dielakkan dengan kerangka yang baik bagi mengekang gejala berkenaan," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/01/12/tiada-hak-mutlak-benarkan-murtad/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo