Reformasi sistem pilihan raya boleh cetus ketegangan kaum


SHAH ALAM - Cadangan mereformasikan sistem pilihan raya oleh Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) dibimbangi mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Pakar undang-undang, Prof Datuk Salleh Buang berkata, cadangan penukaran sistem pilihan raya sedia ada kepada sistem perwakilan berkadar (PR) untuk kerusi Parlimen dibimbangi membawa kepada penguasaan kaum tertentu, sekali gus menimbulkan kegusaran dan ketegangan antara kaum.

Menurutnya, pihaknya juga tidak begitu terpesona dengan cadangan itu yang disifatkan sebagai satu pindaan radikal.

"Sekiranya pembahagian kerusi Parlimen di negara ini diberikan secara berkadar, sudah pasti kerusi Parlimen di kawasan-kawasan bandar akan dikuasai sepenuhnya pemimpin kaum tertentu.

"Pelaksanaannya juga perlu mengambil kira pelbagai elemen yang menjadi sistem pemberat dalam menentukan landskap politik negara seperti elemen keagamaan, perkauman dan sebagainya.

"Secara peribadi, saya tidak begitu terpesona kerana pelaksanaannya dibimbangi menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketegangan antara kaum," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan ERC akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia ada iaitu FPTP kepada sistem PR untuk kerusi Parlimen.

Pengerusi ERC, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, sistem PR disifatkan lebih adil dan demokratik, selain menggalakkan parti politik untuk melebihkan khidmat mereka kepada rakyat selain menjadikan mereka lebih bersatu-padu.

Salleh berkata, cadangan itu bagaimanapun perlu diserahkan kepada rakyat untuk diputuskan sama ada bersesuaian dengan amalan demokrasi negara berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan dan SPR tidak boleh membuat keputusan sendiri, Seandainya sistem PR hendak dilaksanakan sekalipun, saya fikir perkara itu sangat sukar dan mengambil masa lama kerana ianya akan turut melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sentimen sama turut dikongsi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohammad Fuad Othman yang menegaskan sebarang langkah mereformasikan sistem pilihan raya negara mesti mengekalkan ciri-ciri persempadan politik mengikut ras atau kaum.

Menurutnya, sistem persempadan politik di negara ini dilihat masih mengamalkan ciri-ciri pecahan mengikut ras atau kaum walaupun tidak melibatkan semua kawasan.

"Sama ada langkah memperkenalkan sistem PR memberi kesan positif atau sebaliknya bergantung kepada perspektif rakyat sendiri.

"Sekiranya mereka menyokong parti kerajaan, ianya pasti memberi kelebihan kepada parti-parti terlibat. Namun, perkara paling penting adalah inisatif persempadanan pilihan raya di negara ini masih perlu dikekalkan ciri-ciri tradisional mengikut ras atau kaum agar aspek keharmonian antara kaum terus terpelihara," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berpandangan pelaksanaan sistem PR akan menjejaskan amalan politik tradisional diguna pakai negara ini kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kegagalan sistem pemberat yang diguna pakai dalam persempadanan politik negara pula bakal menjadi satu bebanan drastik kepada landskap politik tanahair.

"Dalam Perlembagaan Persekutuan, ada disebutkan pengkadaran kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan luar bandar ditetapkan dalam kadar tertentu di mana ianya memberi kelebihan kepada kaum Melayu yang kebanyakan tinggal di kawasan itu.

"Sekiranya sistem PR diperkenalkan, sudah pasti kerusi Parlimen dan DUN di kawasan bandar akan ditambah dan memberi kelebihan kepada kaum lain pula.

"Senario ini pastinya akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang Melayu yang dijamin hak keistimewaannya, sekali gus menjejaskan sistem politik negara kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post