NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Kimanis: SPR sasar 70 peratus pengundi



SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mensasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berharap pengundi dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu nanti.

“SPR juga memohon semua pihak khususnya pihak media agar turut memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi nanti,” katanya ketika sidang media selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di Beaufort hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari@Jupry Etok mengumumkan PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, yang akan dicabar oleh calon BN Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Kimanis pada hari ini dan hari mengundi pada 18 Januari manakala hari pengundian awal pula 14 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pengundi itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 orang manakala DUN Membakut dengan 13,391 orang.

Sementara itu, Azhar berkata, sebarang bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) boleh menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

“Setiap ceramah perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit,” katanya.

Azhar berkata, SPR melantik 80 pemerhati pilihan raya daripada 14 organisasi membabitkan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berkelayakan untuk memantau perjalanan proses PRK Kimanis.

Beliau berkata, keputusan PRK Kimanis dijangka diumumkan sebelum 10.00 malam pada 18 Januari nanti.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo