NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Presiden PAS dan politik Asia Barat


oleh: Abdul Muien Abadi

KETIKA ramai masih terperangkap dengan pemikiran sempit yang hanya melihat politik Asia Barat dengan pandangan hitam putih sahaja yang kaku, jumud dan rigid antara ‘Syiah vs Sunni’ semata-mata, Tuan Guru Abdul Hadi Awang jelas menegaskan sudut pandang kepentingan geopolitik Islam merentas negara-bangsa tertentu sahaja – bahkan bersifat fleksibel menurut keutamaan semasa.

Sejak 2017 lagi beliau mendokong gabungan Turki, Iran dan Rusia, serta Qatar yang sudah beralih kecenderungan bersama beberapa negara Arab yang lain tanpa mempedulikan kebanyakan negara teluk.

Ringkasnya, pendirian Tuan Guru Abdul Hadi adalah seperti berikut: antara Amerika dengan Rusia, umat Islam perlu menyokong Rusia. Antara Iran dengan Amerika, umat Islam perlu memberi sokongan kepada Iran.

Hal ini cukup jelas kerana Iran membantu perjuangan Hamas dan jihad Islam di Palestin di samping mengimbangi Zionis yang disokong Amerika di Lubnan melalui Hezbollah. Namun begitu, umat Islam tidak hanya 100 peratus bergantung pada Iran, tetapi juga perlu memberi sokongan kepada Turki dan Qatar serta negara-Islam lain yang menyokong perjuangan Islam. Apa yang pasti, sokongan tidak diberi kepada negara Arab yang bacul dan tunduk dengan imperialisme Amerika serta Israel.

Terbaru, kenyataan Tuan Guru merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Al-Marhum Jeneral Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan yang dilancarkan oleh pihak Amerika Syarikat di Baghdad dan mendoakan “semoga roh Al-Marhum Jeneral Qassem Soleimani ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan hamba-Nya yang soleh” telah menimbulkan kembali suara golongan yang hanya menyempitkan sudut pandangan mereka kepada isu perbezaan Syiah-Sunni semata-mata.

Tidak kurang juga yang menuduh kononnya Jeneral Qassem Soleimani sebagai arkitek peluasan kuasa Syiah untuk menghapuskan umat Islam Sunni di Syria, Iraq, Yaman, dan Lebanon. Hakikat bahawa tindakan Iran itu menghalang proksi Amerika seperti ISIS tidak disebut. Hakikat bahawa Iran membantu Hamas dan jihad Islam di Palestin daripada penyembelihan Zionis Israel – di saat negara Arab lain memilih untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel – tidak disebut sama sekali.Kerjasama

Pendokong teori yang menuduh bahawa Iran sebenarnya selama ini ‘berlakon’ untuk bermusuh dengan Amerika dan sebaliknya bekerjasama dengan Rusia (dan dengan Amerika di belakang tabir) untuk menumpahkan darah umat Islam Sunni di seluruh Asia Barat bagi membuka laluan kewujudan Israel Raya jelas mempunyai pelbagai ketempangan.

Tidak memahami sosiologi politik warga Iran yang cukup anti-Zionis dan anti-Amerika yang imperialis itu adalah salah satu daripadanya. Jutaan warga Iran yang turun berarak mengiringi jenazah Jeneral Qassem Soleimani sambil mengangkat bendera merah yang dihalakan kepada Amerika itu satu lagi bukti.

Wajib ditegaskan bahawa Iran bukan semudah itu untuk dijual beli – ketahanan mereka berdepan sekatan ekonomi Amerika jauh sama sekali berbeza dengan negara Arab lain yang lebih rela melihat umat Islam Palestin disembelih. Sokongan mereka kepada Hamas bukan lakonan. Hakikat bahawa jeneral Iran yang dibunuh, bukannya jeneral Arab Saudi, jelas membuktikan bahawa pertembungan Amerika-Israel vs Iran ini bukanlah ‘lakonan’ semata-mata.

Seperti mana Iran, Rusia juga memiliki kepentingan mereka yang tersendiri. Sokongan Rusia kepada Basyar al-Assad sebagai contoh, menimbulkan pelbagai perdebatan dalam kalangan para pejuang hak asasi manusia dan juga ulama Islam.

Pokoknya, umat Islam wajib menyedari bahawa dalam percaturan politik, perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah kepentingan umat Islam. Seterusnya, strategi politik yang dilakukan perlu mengambil kira kekuatan semasa di samping tidak jumud dengan menganggap hanya negara Sunni yang dianggap baik manakala negara bukan Sunni dianggap musuh.

Semoga ALLAH kurniakan kesihatan berterusan kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo