NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembunuhan Qasim Soleimani: Fasa Baru Pertembungan Amerika Syarikat Dan Iran Di Timur Tengah


Bahagian (1)

Dunia dikejutkan dengan serangan drone milik tentera Amerika Syarikat dipinggir lapangan terbang Baghdad, Iraq pada pagi Jumaat 3 Januari lalu yang membunuh Jeneral Qasim Soleimani, seorang yang cukup berpengaruh di Iran dan sekutunya. Pembunuhan tersebut mencetuskan panik di seluruh dunia yang meramalkan bakal tercetusnya perang besar di Asia Barat dan mungkin merebak di seluruh dunia seterusnya kemungkinan akan berlaku perang dunia ketiga.

Pembunuhan tersebut menyebabkan Iran berikrar akan bertindakbalas terhadap Amerika Syarikat manakala Parlimen Iraq pula bersidang beberapa hari lalu meluluskan resolusi sebulat suara agar tentera Amerika Syarikat keluar daripada bumi Iraq. Malah Iran turut mengancam akan menyerang 35 sasaran milik Amerika Syarikat termasuk kapal perang dan Tel Aviv.

Donald Trump meminta Iraq membayar ganti rugi jika mahu tentera Amerika Syarikat keluar daripada Iraq malah turut mengancam Iraq akan menerima padah buruk jika menghalau tentera Amerika Syarikat keluar. Donald Trump turut membalas ancaman Iran dengan mengancam akan menyerang 52 sasaran di Iran termasuk tempat bersejarah.

Ancaman tersebut mendapat kecaman banyak pihak di seluruh dunia kerana melanggar Protokol Pertama Konvensyen Geneva 1949 Pindaan 1977 yang menyatakan adalah menyalahi undang – undang jika menyerang monumen atau tempat bersejarah, rumah ibadat dan tempat kebudayaan milik sesebuah negara. Terbaru, Iran bertindakbalas dengan melancarkan peluru berpandu balistik ke arah kedudukan tentera Amerika Syarikat di pengkalan tentera Ain Al Asad di Anbar dan Erbil Rabu lalu.

Perkembangan terbaru ini mencemaskan seluruh Iraq dengan majoriti rakyat dan pemimpin Iraq menggesa supaya tentera Amerika Syarikat keluar dari Iraq agar tidak berlaku pertembungan di bumi Iraq. 6 Januari, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengutus surat kepada Kerajaan Iraq memaklumkan bahawa Amerika Syarikat akan mengeluarkan tenteranya dari Iraq dalam masa terdekat berdasarkan permintaan parlimen Iraq. Namun kemudiannya Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Mark Esper mengatakan surat tersebut satu kesilapan dan menegaskan bahawa Amerika Syarikat tetap akan berada di Iraq.

Dengan polisi luar Amerika Syarikat yang kucar kacir dan tiada hala tuju, ramai penganalisa politik berpendapat bahawa mereka tidak nampak pertembungan ini akan reda malah keadaan akan menjadi bertambah buruk.

Di Sebalik Tabir Arahan Pembunuhan Qasim Soleimani.

Ramai mengetahui polisi luar Amerika Syarikat selepas perang dunia kedua. Sebagai kuasa besar dunia serta menguasai perjalanan geopolitik dunia, Amerika Syarikat bertindak mengikut kemahuannya dan menekan negara yang menentangnya hingga adakala mencetuskan perang dan pelbagai sekatan seperti sekatan ekonomi. Amerika Syarikat akan menggunakan pelbagai agensi dunia seperti PBB, Bank Dunia, IMF malah NATO untuk mencapai cita – cita terbabit.

Menariknya kali ini situasinya agak berlainan kerana Presiden Amerika Syarikat mengeluarkan arahan melancarkan serangan tersebut tanpa diketahui oleh sekutu rapatnya seperti Kesatuan Eropah atau Nato malah Kongres Amerika Syarikat sendiri tidak tahu mengenai serangan terbabit. Di sebalik serangan tersebut, terdapat beberapa sebab utama mengapa Donald Trump bertindak sedemikian.

1. Kegagalan Polisi Luar Amerika Syarikat di Asia Barat.

Semenjak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, polisi luar Amerika Syarikat dilihat kucar kacir dan tiada arah tujuan berbanding Presiden – Presiden sebelumnya. Di antara kegagalan besar polisi luar Amerika Syarikat ketika ini ialah hubungan dengan Korea Utara, konflik perdagangan dengan China, pendirIan Amerika Syarikat dengan sekutunya serta NATO dan yang paling gagal ialah polisi Asia Barat.

Bermula dengan kegagalan pelan damai Asia Barat yang diusahakan oleh Jared Kushner, Penasihat Rumah Putih yang juga menantunya dalam usaha untuk menstabilkan Asia Barat dan solusi kepada Palestin dan negara haram Israel, pelan tersebut juga gagal mendapat sokongan majoriti negara – negara Asia Barat seperti Qatar, Syria, Lubnan, Jordan, Kuwait dan beberapa negara lagi. Ia cuma mendapat sokongan sekutu kuat Amerika Syarikat seperi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Oman dan Mesir dan negara – negara inilah yang memulakan hubungan normalisasi dengan Israel.

Usaha Amerika Syarikat untuk terus menjadi kuasa utama Asia Barat juga gagal apabila Rusia mula memainkan peranan penting di Asia Barat serta diterima oleh negara – negara sekutu kuat Amerika Syarikat. Namun pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada sempadan Turki – Syria menerima tamparan hebat apabila Donald Trump menerima kecaman teruk daripada dalam Amerika Syarikat sendiri terutamanya Kongres dan Senat Amerika Syarikat termasuk sekutu kuatnya seperti Lindsay Graham, Mitch McConell, Ted Cruz malah dari ahli partinya sendiri.

Pengunduran tersebut juga menyebabkan majoriti ahli politik di Amerika Syarikat menempelak Donald Trump dan menyebabkan peratusan sokongan rakyat terhadapnya mula menurun kerana dilihat gagal mengutamakan kepentingan Amerika Syarikat di Asia Barat seperti Israel. Malah kumpulan pelobi besar Israel juga menempelak tindakan Donald Trump kerana bimbang tindakan terbabit akan membahayakan Israel kerana akan membuka ruang kepada musuh Israel untuk menyerangnya.

Dengan popularitinya semakin berkurangan dan hampirnya pilihanraya Presiden Amerika Syarikat, tindakan serangan terhadap Qasim Soleimani ini dilihat sebagai usaha untuk meraih sokongan terhadapnya dengan menggunakan ungkapan Qassim Soleimani mengancam kepentingan Amerika Syarikat dan rakyatnya samada di Iraq mahupun dunia. Ia juga dilihat sebagai tindakan Donald Trump akibat tekanan daripada Kongres, Senat dan ahli politik Amerika Syarikat supaya meneruskan kembali agenda asal polisi luar negara Amerika Syarikat sebagai kuasa terkuat di Asia Barat dalam usaha menghalang Rusia daripada bertapak kukuh di Asia Barat.

Dengan serangan yang menyebabkan terbunuhnya Qasim Soleimani, ia juga adalah amaran awal kepada Rusia agar tidak meneruskan usahanya untuk bertapak dan menjadi kuasa besar di Asia Barat kerana umum mengetahui Iran adalah sekutu kuat Rusia serta menerima sokongan, bantuan ketenteraan, senjata dan tekonolgi daripada Rusia.

2. Mengalihkan Pandangan Umum Daripada Perbicaaran Skandal Ukraine Donald Trump.

Skandal Ukraine telah menjejaskan kredibiliti Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat. Kongres Amerika Syarikat baru sahaja selesai proses siasatan serta melengkapkan kertas pertuduhan terhadap Donald Trump yang dituduh menyalahgunakan kuasa dan menghalang tugas Kongres . Speaker Kongres Nancy Pelosi seterusnya akan menyerahkan kertas pertuduhan kepada Senat untuk membicarakan Donald Trump. Perbicaraan di Senat Amerika Syarikat adalah penentu samada Donald Trump akan didapati bersalah atau tidak.

Jika didapati bersalah maka Donald Trump akan dipecat serta dilucutkan jawatan Presiden dan Donald Trump adalah Presiden kedua Amerika Syarikat yang melalui proses terbabit selepas Bill Clinton. Richard Nixon meletakkan jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat selepas terbongkarnya skandal Watergate ketika Kongres sedang menyiasat kes tersebut dan belum sepenuhnya melengkapkan siasatan di Kongres mahupun perbicaraan di Senat.

Donald Trump dituduh menyekat bantuan kepada Ukraine serta menekan negara tersebut untuk mencipta skandal terhadap musuh politik utamanya dan pendahulu calon Presiden untuk parti Demokrat yang juga bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden. Skandal tersebut benar – benar menjejaskan peluang DonaldTrump untuk memenangi piliharaya Presiden Amerika Syarikat yang dijangka berlangsung pada 3 November 2020.

Skandal tersebut juga menyebabkan lebih 50 peratus rakyat Amerika Syarikat menyokong Donald Trump dibicarakan serta lebih 50 peratus juga yang mempercayai Donald Trump bersalah menyalahgunakan kuasanya sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk kepentingan politiknya. Menurut penganalisa terkemuka politik Amerika Syarikat seperti Rachel Maddow, Chris Coumo, Joe Scarborough malah George Conway, suami kepada penasihat Donald Trump Kellyanne Conway turut meramalkan Donald Trump akan kalah pada pilihanraya Presiden akan datang.

Saksi – saksi yang memberikan keterangan di Kongres ketika proses siasatan seperti Kolonel Alexander Vindman, Dr. Fiona Hill, Gordan Sondland, Maria Yovanovitch dan William Taylor mendedahkan komplot dan bukti kukuh salahlaku Donald Trump yang dimulai oleh peguam peribadinya yang juga bekas Datuk Bandar New York Rudy Gulliani. Memburukkan keadaan, bayangan kekalahan pilihanraya akan datang mula dirasai setelah Republikan kalau teruk pada pilihanraya 2018 apabila Demokrat merampas Kongres dengan majoriti yang besar.

Disebabkan skandal besar yang bakal menjejaskan peluang Donald Trump memenangi pilihanraya Presiden akan datang dan besar kemungkinan Republikan akan tewas serta hilang majoriti dalam Senat kepada Demokrat, besar kemungkinan Donald Trump mengarahkan serangan terhadap Qasim Soleimani dan mengisytiharkan kejayaan membunuh beliau sebagai kejayaan Amerika Syarikat menghapuskan pengganas dan memerangi keganasan adalah untuk menyelamatkan karier politik dan partinya.

Oleh itu berdasarkan tindakan terbabit Donald Trump berharap rakyat Amerika Syarikat kembali menyokong beliau dan parti Republikan, membiarkan atau melupakan skandal terbabit serta mengurangkan pergeseran di kalangan ahli parti Republikan di Senat yang ketika perbicaraan hampir berlangsung.

3. Membantu Benjamin Netanyahu Dan Menjamin Keselamatan Israel.

Setelah selesai pilihanraya Israel, Benjamin Netanyahu tidak mampu membentuk kerajaan kerana tidak memperolehi majoriti dalam Knesset Israel. Karier politik Benjamin Netanyahu juga bagai hampir ke penghujung apabila berdepan dengan tuduhan pecah amanah, rasuah dan salahguna kuasa oleh Peguam Negara Israel. Jika didapati bersalah, Benjamin Netanyahu akan dilucutkan jawatan dan karier politiknya akan berakhir.

Benjamin Netanyahu adalah penyokong kuat Donald Trump dan semua polisi Donald Trump di Asia Barat memihak kepada Israel serta memberikan kelebihan politik kepada Benjamin Netanyahu. Pemindahan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Muqaddis, perluasan kawasan penempatan haram di tanah milik penduduk Palestin, menambah peruntukan dan bantuan ketenteraan untuk Israel, menyekat bantuan kewangan kepada Palestin, menggunakan kuasa veto untuk menghalang tindakan terhadap Israel di PBB dan banyak lagi tindakan Donald Trump yang menguntungkan Israel terutamanya Benjamin Netanyahu. Kebanyakkan penyokong kuat Donald Trump adalah pendokong dan penyumbang dana kepada Israel dan Benjamin Netanyahu. Penyokong, penyumbang dana politik serta pelobi kuat Donald Trump seperti Dr. Miriam Adelson dan suaminya Sheldon Adelson, billionaire dan pemilik rangkaian kasino berjenama Sands seperti Las Vegas Sands dan Marina Bay Sand di Singapura adalah pendokong kuat negara haram Israel.

Donald Trump juga memerlukan sokongan Benjamin Netanyahu untuk menarik pengundi berketurunan Yahudi pada pilihanraya akan datang sebagaimana yang dilakukan beliau ketika Trump memenangi pilihanraya Presiden 2016. Ketika ini, sokongan bangsa Yahudi di Amerika Syarikat turun dengan mendadak berikutan Donald Trump dikaitkan dengan kumpulan pelampau kulit putih White Nationalist yang menyasarkan bangsa Yahudi sebagai perosak dan pendatang. Malah terdapat banyak insiden di mana serangan terhadap biara Yahudi yang menyebabkan banyak nyawa terkorban turut menyebabkan bangsa Yahudi menolak Donald Trump kerana dilakukan oleh White Nationalist yang menyokong Donald Trump.

Maka dengan membunuh Qasim Soleimani, usaha Donald Trump itu dianggap menyelamatkan Israel daripada ancaman Iran, Maka tidak hairanlah setelah terbunuhnya Qasim Soleimani, hanya Benjamin Netanyahu saja yang memuji tindakan Donald Trump sebagai usaha menyelamatkan Israel dan disiarkan di semua akhbar utama serta stesyen televisyen dan radio Israel. Oleh itu tindakan tersebut bukan sahaja dilihat mampu menyelamatkan karier politik Benjamin Netanyahu, malah turut menyelamatkan karier politik Donald Trump sendiri.

Iraq Kembali Ke Kancah Kemusnahan Dan Peperangan.

Serangan sehingga terbunuhnya Qasim Soleimani seharusnya mengingatkan kita kembali ketika Amerika Syarikat menakluk Iraq pada 1 May 2003. Ketika itu sedang kuat gelombang slogan memerangi keganasan berikutan peristiwa 9/11 yang berlaku di New York, Amerika Syarikat. Iraq yang ketika itu diterajui oleh Saddam Hussien dituduh membantu serta menyembunyikan pimpinan Al Qaeda seterusnya membina senjata pemusnah secara besar – besaran yang diklasifikasikan sebagai weapon of mass destruction ( WMD ).

International Atomic Energy Agency ( IAEA ), badan kawal selia senjata pemusnah dan nuklear dunia telah mengesahkan dalam laporannya pada 14 Februari 2003 ketika Ketua Pengarahnya Dr. Mohamed El Baradei membentangkan kepada Majlis Keselamatan PBB ketika itu bahawa Iraq tidak mengeluarkan senjata pemusnah seperti yang didakwa. Ketua Penyiasat PBB Hans Blix yang turut sama menyiasat mengesahkan perkara terbabit dan menegaskan tiada bukti bahawa Iraq mengeluarkan senjata pemusnah seperti yang didakwa.

Sebelum pada itu pada 4 Februari, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Collin Powell dalam pembentangan kepada Majlis Keselamatan PBB mendesak agar tindakan ketenteraan diambil ke atas Iraq namun ditolak oleh negara anggota Majlis Keselamatan yang lain kecuali Britain yang menyokong. Pembentangan laporan penilaian oleh Hans Blix dan Dr. Mohamad El Baradei juga menolak bukti yang dikemukan oleh Collin Powell dan Amerika Syarikat.

Tanpa memperdulikan bukti dan saranan Setiausaha Agung PBB ketika itu Kofi Annan supaya langkah diplomasi harus diambil dalam menangani situasi di Iraq dan bukannya peperangan, Amerika Syarikat dan sekutunya tetap melancarkan serangan terhadap Iraq bermula 20 Mac 2003 walaupun hampir seluruh dunia menentang tindakan unilateral Amerika Syarikat dan sekutunya yang membelakangkan PBB dan masyarakat dunia.

Setelah Iraq ditakluk Amerika Syarikat, Saddam Hussien ditangkap dan dihukum, bumi Iraq hancur, ribuan nyawa yang tidak berdosa terkorban dan puluhan ribu lari meninggalkan kampong halaman. September 2003, Setiausaha Agung PBB mengisytiharkan bahawa tindakan Amerika Syarikat dan sekutunya tidak sah, menyalahi serta tidak mematuhi piagam PBB. Paling utama, selepas menakluk Iraq sehingga ke hari ini tiada satupun bukti menunjukkan Iraq terbabit dalam mengeluarkan senjata pemusnah ( WMD ) dan disahkan oleh pelbagai pertubuhan dan agensi antarabangsa.

Kali ini skrip yang sama diulangi oleh Donald Trump dan juga Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo. Qasim Soleimani dilaporkan mendatangkan bahaya dan dalam masa terdekat merancang untuk menyerang kedudukan tentera dan kepentingan Amerika Syarikat di Iraq dan Asia Barat. Maka oleh itu Qasim Soleimani perlu dihapuskan agar pelan serta tindakannnya dapat dibendung.

Namun kali ini tentangan terhadap tindakan Donald Trump itu bukan hanya datang dari luar Amerika Syarikat malah dari dalam Amerika Syarikat sendiri. Speaker Kongres Nancy Pelosi menempelak Donald Trump kerana tidak melaporkan kepada Kongres serangan terbabit serta meminta Donald Trump mengemukakan bukti yang Qasim Soleimani mendatangkan ancaman kepada Amerika Syarikat dan kepentingannya di Asia Barat dalam masa terdekat.

Calon – calon utama Presiden Amerika Syarikat dari parti Demokrat seperti Joe Biden, Elizabeth Warren dan Bernie Sanders turut mengutuk tindakan Donald Trump serta meminta dikemukan bukti. Namun lebih mengejutkan dalam laporan The New York Times, melalui sumber yang sahih daripada Pentagon dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menyatakan bahawa yang dikatakan ancaman oleh Qasim Soleimani daripada laporan perisikan oleh badan perisikan Amerika Syarikat peratusannya sangat rendah dan tidak munasabah untuk melancarkan serangan sebegitu.

Malah menurut akhbar yang sama, sebenarnya ketika taklimat sulit kepada Donald Trump oleh Pentagon dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat untuk menangani situasi di Iraq, Donald Trump diberi beberapa pilihan lain untuk menangani isu berkaitan yang lebih relevan namun Donald Trump memilih yang paling ekstrem iaitu membunuh Qasim Soleimani. Pemilihan tersebut memeranjatkan Ketua Turus Angkatan Tentera Amerika Syarikat, Jeneral – Jeneral dan Ketua Badan Perisikan yang hadir dalam taklimat sulit tersebut. Maka dengan pemilihan tersebut, terjadilah apa yang kita lihat hari ini.

Apabila Donald Trump, Setiausaha Negara Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan Mark Esper diasak wartawan untuk memberikan bukti laporan berkaitan Qasim Soleimani, tidak seorang pun daripada mereka memberikan jawapan yang konkrit malah cukup meragukan. Malah disaat ini telah bertebaran laporan bahawa tindakan Donald Trump hanya untuk meyelamatkan karier politiknya dan parti Republikan yang berada dalam keadaan tenat dan berkemungkinan kalah dalam pilihanraya akan datang berserta dengan untuk mengalihkan isu skandal Ukraine yang melanda Donald Trump, tidak lain dari itu.

Yang pastinya siapa pun Presiden Amerika Syarikat dan dari parti mana sekalipun polisinya tetap sama. Pengganas yang terbentang di depan mata iaitu Israel tidak pula tindakan diambil. Israel menjajah Palestin, menyeksa, merogol dan membunuh rakyat Palestin. Tidak cukup dengan itu, Israel merampas rumah dan tanah milik penduduk Palestin. Israel adalah pengganas yang sebenar, namun Amerika Syarikat mendiamkan diri malah menyokong Israel. Sayangnya, ada negara di kalangan Dunia Islam yang berselingkuh dengan pembunuh umat Islam diam – diam tanpa memikirkan masa depan Dunia Islam.

Dunia Islam harus sedar bahawa kebergantungan kepada kuasa asing khususnya yang mempunyai sejarah lampau memperdayakan, memusuhi dan menjajah Dunia Islam perlu dihindari. Iraq dan Afghanistan adalah contoh jelas bagaimana Dunia Islam dipermainkan dan dipergunakan untuk kepentingan musuh Islam. Lebih memburukkan lagi, Dunia Islam dilaga –lagakan untuk bermusuhan sesama sendiri dan musuh Islam akan mengambil kesempatan ini untuk melemahkan Dunia Islam, menjajah serta merampas apa sahaja yang ada di bumi Dunia Islam.

Puncanya ialah tiada perpaduan dan saling percaya – mempercayai di kalangan negara Dunia Islam. Perpecahan yang melanda Dunia Islam saat ini hingga mewujudkan kem di kalangan Dunia Islam diambil kesempatan oleh musuh Islam untuk melemahkan serta memporak – perandakan Dunia Islam. Sejarah membuktikan jika Dunia Islam bersatu padu dan berkerjasama, jelas Dunia Islam akan bertambah kuat dan tidak akan perlu bergantung kepada sesiapa kerana apabila Dunia Islam lemah dan bergantung kepada kuasa lain terutamanya musuh Islam, mereka akan memanipulasi dan mengambil kesempatan untuk melemahkan Dunia Islam.

Jelas apa yang berlaku hari ini adalah natijah daripada perpecahan Dunia Islam. Lihatlah sehingga hari ini, baik OIC mahupun Liga Arab tidak mengutuk tindakan Amerika Syarikat. Ini bukan soal Qasim Soleimani, Iraq mahupun Iran tetapi ini adalah soal survival Dunia Islam. Apabila keadaan menjadi genting lantas akan tercetusnya perang. Ribuan nyawa yang tidak berdosa akan terkorban, ratusan ribu akan kehilangan tempat tinggal, isteri kehilangan suami, anak kehilangan ibubapa dan mereka ini adalah umat Islam.

Sampai bila kita akan melihat Dunia Islam lemah sebegini ? Selagi tiada kesetiaan dan persaudaraan di kalangan Dunia Islam dan selagimana umat dan Dunia Islam menjauhi ajaran serta amalan Islam yang sebenar maka akan berterusanlah keadaan akan terus begini. Dunia Islam harus sedar dan bangkit, jangan terus dibuai dan leka dengan kemewahan dan kesenangan dunia.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo