NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kimanis mempunyai keunikan tersendiri, bakal jadi tumpuan


KIMANIS, 3 Jan -- Kimanis mempunyai keunikan tersendiri kerana pentadbirannya terletak dalam dua daerah berbeza, Beaufort serta Papar, dan dalam tempoh beberapa minggu ini kawasan parlimen itu bakal menjadi tumpuan negara berikutan akan berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK).

Parlimen Kimanis merangkumi pekan Kimanis dan Bongawan yang terletak di sebelah selatan daerah Papar, manakala kawasan Membakut dalam kawasan pedalaman Beaufort.

Pada masa sekarang, kawasan pekan Kimanis dan Bongawan lazimnya berurusan di Pejabat Daerah Papar, manakala kawasan pekan Membakut menjalankan urusan di Pejabat Daerah Beaufort.

Berikutan ketiadaan pusat pentadbiran sendiri, maka pada PRK kali ini, Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di Beaufort akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini, manakala penamaan calon pada 4 Jan dan pengundian awal pada 14 Jan.

Susulan PRK itu, suasana di kawasan ini berbeza daripada rutin pekan itu yang sebelum ini hanya dikunjungi penduduk setempat dan persinggahan bagi pengguna jalan raya yang melalui jalan utama antara Beaufort ke Kota Kinabalu.

PRK di kawasan parlimen itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Dis tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN, bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Mengenai kawasan Parlimen Kimanis, dari segi geografi, kawasan itu terletak antara kawasan pesisir pantai dan di kaki Banjaran Crocker yang sedikit sebanyak menyumbang pendapatan kepada segelintir penduduknya yang menanam tembikai di kawasan berpasir, manakala di kawasan berhampiran Banjaran Crocker, ada yang mengerjakan sawah padi.

Terdapat juga penduduk di kawasan Kimanis menjadikan penangkapan ikan bilis dan udang di laut berhampiran sebagai punca pendapatan dengan menjual hasil berkenaan di tepi jalan antara Kimanis ke Papar.

Kekayaan sumber alam dimiliki dari pantai berpasir bagi penanaman tembikai sehingga ke kawasan bukit untuk tanaman komoditi seperti getah dan sawit, semuanya digerakkan menjadi nadi ekonomi Kimanis.

Malah, pembangunan ekonomi di kawasan yang turut terkenal dengan senyuman manis serta keramahan rakyat pelbagai kaum dan budaya itu terus dipacu dengan projek Terminal Minyak dan Gas Sabah, mercu tanda ikonik sektor perindustrian negeri.

Limpahan pembangunan minyak dan gas di Kimanis juga menjadi pemangkin kepada perkembangan pekan baharu serta pusat perniagaan selain menjadi platform menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.

PRK Parlimen Kimanis sudah tentu dapat menambah pendapatan kepada penduduk setempat yang mengusahakan pelbagai perniagaan serta menjual hasil laut itu, namun tumpuan sudah tentu terarah kepada keputusan pilihan raya kecil itu pada 18 Jan ini.

Persaingan kali ini dijangka antara Parti Warisan Sabah (Warisan) mewakili parti pemerintah dengan pembangkang, UMNO-BN selain calon Bebas yang dikatakan akan mencuba nasib bagi menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Bagi Warisan yang diwakili Datuk Karim Bujang selaku Ketua Bahagian Warisan Kimanis, keputusan pada PRK ini menjadi kayu pengukur kepada prestasi kerajaan negeri Sabah baharu yang diterajui Warisan di bawah pimpinan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hampir memasuki dua tahun pemerintahan.

Bagi Barisan Nasional (BN) pula yang meletakkan Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin, keputusan pada PRK Parlimen Kimanis penting bagi menguji sokongan rakyat kepada parti itu di Sabah khususnya kepada UMNO selepas lapan wakil rakyatnya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika ini, Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan diwakili Dr Daud Yusof daripada Warisan dan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Bersatu) bagi DUN Membakut.

Bagi Karim, kemenangan pada PRK Parlimen Kimanis ini penting bagi meneruskan perjuangan politiknya menerusi Warisan.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan selama lima penggal dari 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet Sabah sebagai pembantu menteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, Karim kalah dengan majoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket BN.

Soal PRK Kimanis, barisan figura penuh aspirasi serta semangat memperjuangkan suara rakyat dan kelangsungan kemajuan kawasan itu akan diumumkan esok, maka selepas itu, secara rasmi gelanggang ‘pertarungan’ bagi menambat hati penduduknya bermula.

Siapakah antara mereka yang bakal dipilih menjadi wira di hati rakyat kawasan itu?

Kesemua ini akan ditentukan sendiri oleh 29,664 pemilih berdaftar di kawasan parlimen berkenaan pada 18 Jan ini.

Mereka terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 wanita, dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pengundi dan DUN Membakut 13,391 pemilih.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo