NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan tidak seharusnya mansuh hukuman mati mandatori - Keluarga mangsa



PUTRAJAYA: "Kerajaan tidak tahu macam mana sakit dan sengsaranya kami keluarga mangsa yang dibunuh."

Itu luahan Tan Siew Lin, 57 tahun ibu kepada Annie Kok Yin Cheng mangsa rogol dan bunuh pada tahun 2009.

Jelasnya, kerajaan perlu mempertimbangkan semula langkah pemansuhan perkataan mandatori dalam hukuman mati kerana ia memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

"Kita (keluarga) cakap memang kita tidak setuju dia (kerajaan) buat macam ini, mereka tidak tahu berapa sakitnya kita.

"Kalau diteruskan, kita mesti cari orang bising dekat sana (terus memberi tekanan)," katanya sambil mengesat air mata.

Ahli Jawatankuasa Khas Kajian hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori di Bahagian Unit Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.
Wong Hie Huong, 50 (kiri) bersama suaminya Siew kok Wee, 63 mengesat air mata ketika ditemui media di Unit Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa. Gambar: Astro AWANI

Annie, 17, dirogol dan dibunuh oleh Rabidin, 43, di Kampung Ketari Bentong, Pahang antara 11.30 malam pada 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009.

Sementara itu, nada sama diluahkan Wong Hie Huong, 50, kakak kepada pegawai bank yang dibunuh kejam Wong Jing Kui lapan tahun lalu.

Wong berkata, orang yang membunuh adik saya perlu menerima balasan setimpal daripada tindakannya.

"Orang bunuh orang, mesti kena gantung dan mesti mati untuk beri keadilan kepada keluarga kami.

"Kalau kerajaan mansuh juga hukuman mati mandatori itu, ia sangat tidak adil dan pembunuh itu tidak boleh dibiarkan terlepas. Jadi sesiapa boleh bunuh orang di luar, sesiapa saja boleh buat jahat dan tidak perlu bertanggungjawab.

"Hukuman mati adalah untuk pelaku itu bertanggungjawab, kami bukan balas dendam," katanya.

Jing Kui ditemui mati di dalam bilik tidurnya dengan lebih 20 kesan tikaman di badannya di Sibu, Sarawak pada 14 Jun 2012.

Isteri mendiang didapati bersalah bersubahat membunuh mangsa dan dijatuhi hukuman mati mandatori.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Khas Bagi Pemansuhan Hukuman Mati menggesa kerajaan agar tidak memansuhkan perkataan mandatori dalam hukuman mati.

Menurut jurucakapnya, Christina Tang, jika keputusan itu dicapai hanya akan membuka ruang kepada penjenayah untuk terlepas daripada hukuman setimpal.

Lebih malang, tiada keadilan kepada keluarga mangsa.

"Bagaimana dengan keluarga mangsa? Bagaimana dengan kita sebagai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai suara?

"Mangsa ini mungkin kamu atau kami, dan boleh terjadi kepada keluarga kita. Ramai golongan belia sekarang kata, kita seharusnya memaafkan dan berikan peluang kedua.

"Tetapi kita mesti kena fikir mengenai keluarga mangsa ini, anda letakkan diri anda di tempat mereka. Adakah anda tidak kisah pembunuh keluarga anda terlepas selepas dipenjarakan?

"Atau anda tidak kisah duit rakyat digunakan untuk menyara banduan ini di penjara. Ini sangat serius.

"Kalau kerajaan hendak tukar undang-undang, kena buat referendum, bukan membuat keputusan antara pihak kamu (kerajaan) sahaja," katanya.

Terdahulu, beliau bersama lima lagi peguam Jawatankuasa Khas Bagi Pemansuhan Hukuman Mati mengadakan perbincangan selama satu jam tiga puluh minit bersama Ahli Jawatankuasa Khas Kajian hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori di Bahagian Unit Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Selasa.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo