NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hormati prerogatif PM lantik Menteri Pendidikan baharu


KUALA LUMPUR: Pemilihan Menteri Pendidikan baharu tidak perlu dibuat melalui mesyuarat Pakatan Harapan (PH) kerana Perdana Menteri ada hak budi bicara untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Radzi Jidin, berkata tambahan pula, bekas penyandang jawatan itu adalah daripada parti berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, semua pihak perlu menghormati prerogatif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU, dalam melantik pengganti selepas Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan.

“BERSATU berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam apa jua keputusan beliau berhubung pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu demi kemajuan pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, menurut Perkara 43(2)(b) Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.

“Bukanlah menjadi keperluan untuk Perdana Menteri membincangkan pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus, melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian.

“Dalam konteks pelantikan baharu, yang mana penyandang sebelum ini adalah daripada BERSATU, tidak wujud keperluan bagi PH bermesyuarat memilih seorang pengganti daripada BERSATU,” katanya.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa semalam, sebelum Dr Mahathir memaklumkan akan melantik pengganti dalam masa terdekat.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo