Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong


KUALA LUMPUR – Tibanya hari cuti, kawasan hadapan Kompleks Sogo lazimnya meriah dengan persembahan buskers dan dipenuhi pengunjung dari dalam dan luar negara.

Permulaan tahun 2020, suasana tetap sama namun petang tadi, ia dimeriahkan lagi dengan kehadiran peserta Himpunan Bangkit Pertahan Jawi Haramkan Dong Zong.

Menariknya, ketika beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil PAS berucap, tidak kedengaran sebarang alunan muzik dari buskers di hadapan kompleks berkenaan.

Situasi itu seolah-olah menunjukkan mereka menghormati himpunan yang diadakan malah memberi laluan kepada ucapan disampaikan beberapa pemimpin NGO.


Tinjauan Sinar Harian juga mendapati beberapa pengunjung yang berada berhampiran memberikan tumpuan kepada ucapan peserta ketika buskers berhenti seketika.


Mereka menghentikan alunan muzik ketika penghujung ucapan Timbalan Pengerusi Gerakan Warisan Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa sebelum berhenti sepenuhnya ketika ucapan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nazir Helmi.

Selepas ketiga-tiganya selesai berucap, alunan muzik mula kedengaran sebelum peserta himpunan perlahan-lahan meninggalkan kawasan berkenaan.

Himpunan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi atau insiden tidak diingini dan kelihatan beberapa anggota polis berada di kawasan berhampiran bagi memantau keadaan.


Secara keseluruhan, ucapan pemimpin dalam himpunan itu banyak membicarakan perihal perlunya orang Melayu bangkit mempertahankan tulisan jawi.

Selain itu, mereka juga mendesak kerajaan mengharamkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang menentang pelaksanaan tulisan jawi. – Sinar Harian

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post