NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cadangan Tutup MARACorp Khianati Agenda Bumiputera



Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, cadangan berkenaan dibuat tanpa mendapat konsultasi pertubuhan berkepentingan terlibat dalam pembangunan sosioekonomi Melayu.

Menurut beliau, MTEM memuji inisiatif dan rancangan untuk memulihkan kedudukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan memastikan pengurusan yang lebih baik tetapi takrif kejayaan Mara perlu diperhalusi berdasarkan belanjawan kerajaan.

“Mengikut Akta Mara, ia bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk menjalankan aktiviti yang akan menyokong pembangunan ekonomi Bumiputera dalam bidang keusahawanan selain meningkatkan sosioekonomi bumiputera.

“Jelas dalam dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, penguasaan bumiputera dalam ekonomi masih terhad di sektor korporat. Data kajian terdahulu juga menunjukkan kejayaan dalam pendidikan tidak cukup untuk memastikan penguasaan ekonomi bumiputera dalam negara.

“Pendekatan berdasarkan untung rugi semata-mata akan mengakibatkan banyak agensi dan inisiatif MARA yang memberi keuntungan menyeluruh kepada orang Melayu akan terpaksa ditutup,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, Mara perlu diberi masa dan sokongan untuk menjana pendapatan berdasarkan pelan perniagaan yang disokong kerajaan dan semua pemegang taruh agenda ekonomi bumiputera.

“Mara perlu mendapatkan kepakaran yang diperlukan dan bukan dengan mudah menjual apa yang sudah dibina. Ini boleh dilihat apabila MARACorp berjaya membalikkan kerugian berjumlah RM74 juta dan dijangka kembali menjana keuntungan pada masa depan,” katanya.

Justeru, kata Ahmad Yazid, MTEM berharap Mara dapat melihat semula cadangan atau keputusan berkenaan.

“Takut yang dikejar tak dapat, dikendong keciciran. Tersalah langkah, mungkin akan merencat kemajuan bangsa dan negara.

“Kita juga memohon Menteri Pembangunan Luar Bandar melihat visi MARA hari ini dan membetulkan jika menyimpang daripada yang sepatutnya,” katanya. – Sinar Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo