NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa Kesan Penurunan OPR Kepada Kehidupan Anda




MAZLI NOOR

Kadar Asas Semalaman (OPR) adalah peratusan kadar faedah yang digunakan dalam urusan pinjaman antara bank-bank, yang mana ianya ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Bagi pihak BNM pula, OPR digunakan sebagai alat untuk mengawal penggunaan dan bekalan wang dalam sistem ekonomi Malaysia dan menjadi tunjang kepada polisi kewangan negara. Oleh itu tanggungjawab untuk mengawal selia dan mengurus OPR adalah terletak di bawah Jawantankuasa Polisi Kewangan (MPC) BNM.

Baru-baru ini BNM telah mengejutkan pasaran dengan sekali lagi menurunkan OPR kepada 25 mata asas kepada 2.75% daripada 3.00%, penurunan kedua dalam tempoh tidak sampai enam bulan. Ini adalah penurunan OPR yang paling rendah dalam masa sembilan tahun. Bagaimanakah OPR boleh memberi kesan kepada kehidupan anda sebagai pengguna?

Selain digunakan sebagai asas kadar faedah pinjaman antara bank, OPR biasanya juga akan digunakan oleh bank-bank dalam menentukan kadar faedah asas pinjaman kepada pelanggan-pelanggan. Oleh itu sekiranya OPR turun kadar faedah pinjaman juga sepatutnya akan turun.

Hasilnya, anda pelanggan runcit dan juga pelanggan komersil, akan dapat membuat pinjaman dengan kadar faedah yang lebih rendah. Oleh dengan itu jumlah pembayaran balik juga akan menjadi lebih rendah. Ini menguntungkan anda sebagai pelanggan runcit dan juga pelanggan komersil. Sekiranya anda berhajat untuk membeli rumah atau kereta maka ini adalah masa yang terbaik.

OPR juga menjadi asas kepada bank dalam menentukan kadar faedah kepada simpanan. Jesteru sekiranya OPR turun maka kadar faedah simpanan sepatutnya juga turun. Oleh dengan itu bagi anda yang mempunyai simpanan atau simpanan tetap di bank, anda akan mendapat pulangan yang lebih rendah. Dalam situasi ini pelanggan runcit dan pelanggan komersil perlu untuk menilai semula strategi simpanan dan pelaburan mereka bagi memastikan pulangan yang lebih optimum.

Dari segi perdagangan pula, OPR juga boleh memberi kesan kepada ekspot atau impot sesebuah negara. Ini adalah kerana sekiranya OPR turun maka keinginan pelabur luar untuk melabur dalam pasaran Malaysia akan juga turun kerana mereka akan terkesan dengan mendapat pulangan yang lebih rendah. Ini selanjutnya akan memberi kesan kepada permintaan matawang ringgit yang seterusnya akan menurunkan nilainya di pasaran tukaran matawang.

Apabila nilai ringgit turun maka ekspot Malaysia akan menjadi lebih kukuh kerana barangan Malaysia akan menjadi lebih murah di pasaran antarabangsa. Ini akan seterusnya meningkatkan pengeluaran daripada pengusaha dan pengeluar di Malaysia yang seterusnya akan membuka peluang kepada wujudnya lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat seperti anda.

Dalam masa yang sama penurunan ringgit juga ada memberi kesan kepada impot yang mana barangan yang kita impot akan menjadi lebih mahal. Oleh itu harga barangan luar negara yang kita beli di Malaysia akan turut menjadi lebih mahal.

Ini secara langsung juga akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia kerana kebanyakkan pelaksanaan projek-projek mega negara masih amat bergantung kepada impot. Ini termasuk peralatan teknologi tinggi, bahan-bahan binaan, perkhidmatan perundingan dan sebagainya. Dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan maka risiko inflasi akan meningkat yang akhirnya akan menjejaskan kuasa beli anda sebagai pengguna.

Jesteru, sekiranya anda berhajat untuk bercuti ke luar negara, maka ini bukanlah waktu yang sesuai kerana anda perlu berbelanja lebih banyak disebabkan penurunan nilai ringgit. Sebagai alternatif anda boleh menukar strategi dengan bercuti di dalam negara untuk mendapatkan nilai yang lebih maksima daripada wang yang anda belanjakan.

Begitu juga dari segi perbelanjaan, cubalah seboleh mungkin membeli barangan buatan Malaysia dan mengelakkan barangan impot. Ini boleh membantu untuk mengelakkan anda daripada berbelanja lebih. Hasilnya, ianya juga akan membantu meningkatkan lagi kuasa beli anda.

Dari perspektif BNM, OPR juga merupakan alat yang efektif digunakan untuk mengawal tabiat berbelanja anda sebagai pengguna. Dalam suasana dimana ekonomi pesat membangun BNM selalunya akan menaikkan OPR bagi mencegah pengguna daripada berbelanja secara boros dan tidak berhemah. Pada regim OPR yang tinggi pengguna akan lebih sukar untuk mendapatkan pinjaman kerana kadar faedah yang tinggi. Ini akan menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dan berbelanja mengikut kemampuan masing-masing. Secara langsung, ini akan mencegah daripada berlakunya inflasi.

Begitu lah sebaliknya, sekiranya berlaku kelembapan kepada ekonomi, maka BNM akan selalunya menurunkan OPR bagi menggalakkan pengguna berbelanja dan seterusnya menyokong ekonomi untuk tumbuh. Di negara-negara maju menjadi kebiasaan di mana kadar faedah direndahkan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, Rezab Simpanan Persekutuan pernah menurunkan kadar faedah sehingga 0% dan melakukan suntikan tunai ke dalam sistem ekonomi (Quantitative Easing) bagi menyokong ekonomi.

Oleh itu, jadilah pengguna yang berhemah untuk kesejahteraan kita bersama.

MAZLI NOOR ialah Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

1 JamadilAkhir 1441H
27 Januari 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo