NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M dan abu mayat Chin Peng


oleh: Ab Jalil Backer

TINDAKAN membawa pulang abu mayat ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia dan menaburnya di hutan banjaran Titiwangsa pada 16 September lalu ialah satu agenda mencabar catatan sejarah negara secara biadab dan bernafas komunisme.

Sejak tahun 2013, kerajaan membuat keputusan tidak memberi kebenaran kepada pesimpati komunis membawa pulang abu mayat Chin Peng kerana beliau bukan warganegara Malaysia lagi.

Proses kepulangan bekas anggota PKM ke Malaysia ialah berdasarkan tawaran one-off di bawah perjanjian menghentikan peperangan di antara kerajaan Malaysia dengan PKM yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di Hat Yai, Thailand.

Di bawah perjanjian tersebut, mana-mana ahli PKM yang ingin kembali ke Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat seperti (a) memaklumkan hasrat untuk kembali ke Malaysia kepada pihak berkuasa dalam tempoh tidak lebih setahun dari tarikh perjanjian ditandatangani, (b) mengemukakan butir-butir berkaitan pemohon dan (c) menjalani proses temu duga serta dokumentasi.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya pada 2013, Chin Peng tidak pernah memohon untuk pulang ke Malaysia, justeru tidak sewajarnya abu mayat beliau dibawa pulang.

"It is important to remember that Chin Peng never made any effort to register as a Malaysian citizen. He has therefore forfeited all rights as a Malaysian citizen. But it is entirely possible for his leftist supporters to try and rally around his burial place as a symbol for the resurgence of the MCP in Malaysia."

Dr Mahathir sendiri menyedari bahawa usaha membawa pulang abu mayat Chin Peng ialah satu usaha menghidupkan semula PKM.

Anehnya, Dr Mahathir pada tahun 2013 sebagai negarawan sudah berubah dengan dirinya sebagai Perdana Menteri ketujuh yang perlukan sokongan DAP.


Beberapa hari lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata: “Benda macam ini yang nak bangkitkan untuk nak puaskan hati siapa? Nak pergi kutip abu dia? Benda kecil macam ini habis nak dikorek sebab nak memburukkan kerajaan. Benda ini berlaku macam masa (zaman) Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dulu tetapi tiada apa. Sekarang semua berbalik kepada PH.”

Ternyata pandangan Dr Mahathir pada tahun 2013 tepat sekali kerana selepas kejayaan membawa pulang abu tersebut, satu himpunan mengenang dan mengubah sejarah PKM diadakan.

Kira-kira 300 orang hadir bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai antara Malaysia dan PKM.

Media melaporkan kenyataan bekas ahli PKM, Tan Yi Yu sebagai berkata: “Perhimpunan adalah untuk memulihkan kebenaran yang diputarbelitkan dan memperbetulkan persepsi salah orang ramai terhadap sejarah kita. Perjuangan PKM ialah perang antipenjajahan dan antiimperialisme untuk kemerdekaan negara, demokrasi, kebebasan dan kedamaian."

Bukankah aneh komunis mendakwa memperjuangkan demokrasi, kebebasan dan kedamaian?

Ia bukan sahaja bertentangan dengan realiti ideologi komunis malah langsung tidak mencerminkan hasrat tersebut dalam puluhan tahun gerakan bersenjata mereka di Tanah Melayu dan Malaysia.

Sejak dua dekad terakhir ini, wujud usaha melegitimasikan PKM sebagai antara pejuang kemerdekaan negara.

Faktanya PKM tidak ditubuhkan pada 1930 untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British tetapi adalah sebahagian gerakan ideologi komunis Tanah Besar China.

Reng Pek Koon dalam kertas akademik Chinese Responses to Malay Hegemony in Peninsular Malaysia 1957-96 menyatakan, “Chinese nationalist activities emerged at the turn of the twentieth century. There were three major nationalist streams. The first two, the Kuomintang Malaya (KMTM, formed in 1913) and the Malayan Communist Party (MCP, formed in 1930) appealed to the well spring of China centred patriotism to gain the support of the Chinese community in Malaya.”

Ia berbeza dengan nasionalis pribumi yang dari awal menentang penjajahan Belanda, Portugis dan British kerana mahukan kebebasan dan pemerintahan watan.Generasi baharu yang tidak terdedah dengan sejarah PKM dan tindakan ganas selepas merdeka mungkin akan terpengaruh.

Faktanya PKM tidak ditubuhkan pada 1930 untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British tetapi adalah sebahagian gerakan ideologi komunis Tanah Besar China."

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) dan penulis buku Dilema Mahathir

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo