NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TSIS: Ke mana pelancong hilang?


Oleh : Muna ‘Adila Binti Che Rime (Felow Kluster Pentadbiran, Demokrasi & Perlembagaan)
Warganegara asing yang masuk ke Malaysia atas kapasiti pelancong
dikhuatiri telah memanipulasi kemudahan visa yang ditawarkan kerajaan
untuk bermastautin di Malaysia. Kemasukan warganegara asing yang
menetap secara haram di Malaysia bukan sahaja akan menjejaskan
kedaulatan negara, malah kes-kes terkini menunjukkan penglibatan mereka
dalam jenayah-jenayah yang menjejaskan ketenteraman awam seperti
sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri dan sindiket penipuan
internet. Dalam keadaan begitu banyak jenayah dan sindiket yang masih
tidak dapat diselesaikan, kerajaan perlu membuat keputusan tegas dengan
menarik balik begitu banyak kemudahan-kemudahan visa yang telah
diberikan kepada warganegara China khususnya.
Laporan Audit yang Mengejutkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 mendedahkan bahawa 76,258 orang pelancong asing dari China dan 41,243 dari India tidak keluar dari Malaysia. 

Tahun ini pula, terdapat seramai 6,101 orang telah melakukan kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh pas atau permit yang dikeluarkan iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

Paling tinggi dalam senarai adalah warganegara Bangladesh seramai 707 orang, India seramai 409 orang dan China seramai 165 orang. 

Warganegara asing yang masuk ke Malaysia atas kapasiti pelancong ini dikhuatiri telah memanipulasi kemudahan visa yang ditawarkan kerajaan untuk bermastautin di Malaysia. 

Hal ini kerana laporan audit yang sama juga menunjukkan wujud kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) ketika proses di pintu masuk pelancong. 

Kemasukan warganegara asing yang menetap secara haram di Malaysia bukan sahaja akan menjejaskan kedaulatan negara, malah kes-kes terkini menunjukkan penglibatan mereka dalam jenayah-jenayah yang menjejaskan ketenteraman awam. 

Manipulasi Kemudahan Visa yang Ditawarkan Pada waktu ini, pelancong dari negara China telah diberi pelbagai kemudahan untuk melawat Malaysia. 

Berbanding dengan rakyat negara lain yang mahu datang ke Malaysia, sekurang-kurangnya terdapat empat jenis kemudahan visa yang ditawarkan khusus kepada rakyat negara China. 

Antara kemudahan yang diberikan termasuklah Program Pengecualian Visa (eNTRI), Visa Semasa Ketibaan (VOA), Visa dengan Kemasukan Berulang Kali (MEV) dan Permohonan Visa Atas Talian (eVisa). 

Jika dilihat kepada semua kemudahan visa yang diberikan kepada pelancong dari negara China ini, tidak hairanlah mereka boleh keluar dan masuk ke dalam Malaysia dengan begitu mudah sekali. Bahkan, melalui program eNTRI, pengecualian visa diberikan bagi tempoh keberadaan 15 hari di Malaysia. Pendaftaran hanya dilakukan secara atas talian dan tiada kelulusan diperlukan. 

Pelancong yang menggunakan kemudahan eNTRI juga boleh masuk ke Malaysia melalui 15 pintu masuk seluruh negara melibatkan sembilan pintu masuk udara dan enam pintu masuk darat. 

Kerajaan telah membuat 3 Jabatan Kajian Politik Nasional & Antarabangsa, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) keputusan untuk melanjutkan lagi kemudahan eNTRI ini sehingga 31 Disember 2019. Seterusnya, Visa Semasa Ketibaan (VOA) memberi keistimewaan kepada pelancong negara China dan India yang memasuki Malaysia melalui Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand untuk mendapatkan visa di pintu masuk semasa ketibaan, tanpa perlu memohon terlebih dahulu untuk masuk ke Malaysia. 

VOA yang asalnya diperkenalkan pada tahun 2002 (sebelum dimansuhkan pada tahun 2010), telah diperkenalkan semula pada tahun 2013, bagi membenarkan wargenegara asing mendapatkan visa di pintu masuk negara untuk tujuan sosial seperti melancong, menghadiri seminar, mesyuarat dan lain-lain. 

Bermula 15 Julai 2019, enam lagi pintu masuk tambahan turut dibenarkan untuk mengeluarkan VOA.

Rakyat negara China yang ingin masuk ke Malaysia terutamanya untuk tujuan perniagaan pula boleh memohon Visa dengan Kemasukan Berulangkali (MEV). 

Pemegang visa MEV ini boleh keluar masuk Malaysia dengan bebas untuk tempoh maksimum satu hingga lima tahun dengan sekali permohonan sahaja. 

Tempoh keberadaan di Malaysia pula adalah tidak melebihi 30 hari menjadikan pemegang visa ini mempunyai ruang untuk melakukan pelbagai aktiviti di sini dalam tempoh yang lama. 

Permohonan Visa Atas Talian (eVisa) pula membolehkan pelancong dari negara China dan 10 buah negara lain memperoleh visa dalam tempoh 48 jam waktu bekerja untuk tempoh keberadaan selama 30 hari di Malaysia. 

Semua visa yang ditawarkan kerajaan kepada pelancong China ini dilihat terlampau longgar sehingga membuka ruang untuk manipulasi bagi tujuan bermastautin di negara ini. 

Dengan menggunakan “tiket” sebagai pelancong, kedaulatan negara terancam dengan kebanjiran warganegara asing yang kemudiannya terlibat dengan pelbagai jenis jenayah di Malaysia. 

Jenayah yang Melibatkan “Pelancong” yang Hilang Pelancong asing yang tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan mengikut sesuatu Pas atau Permit yang dikeluarkan kepadanya adalah dikategorikan sebagai Pendatang Tanpa Izin (PATI). 

Keselamatan negara terancam dengan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh PATI termasuklah yang melibatkan sindiket penjualan kad pengenalan, pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat. 

Dalam hal ini juga, umum mengetahui bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mendedahkan wujudnya sindiket mendapatkan dokumen perjalanan (pasport) dan dokumen pengenalan diri (MyKad) secara fraud. 

Dalam operasi yang dijalankan, dikatakan sejumlah 20 individu termasuklah pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, ejen, orang tengah, penganjur dan pemilik kad pengenalan, sijil lahir serta pasport Malaysia secara fraud telah ditahan. 

Seorang ahli perniagaan China telah mengaku membeli MyKad dan passport Malaysia dengan harga RM400,000.00. 

Sindiket ini juga dipercayai masih belum tumpas sepenuhnya memandangkan ia membabitkan ramai kakitangan kerajaan yang berjawatan tinggi. Baru-baru ini, tangkapan 680 warganegara China di Cyberjaya yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan internet pula telah menggemparkan negara. Tidak hairanlah begitu banyak kes-kes “scammer” seperti Macau Scammer, Love Scammer dan tawaran pinjaman yang tidak wujud berleluasa di Malaysia sejak akhir-akhir ini. 

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tempoh 2018 sehingga Mei 2019, sebanyak 8,489 kes “scammer” telah dilaporkan dengan nilai kerugian yang direkodkan sebanyak RM410.68 juta. 

Laporan yang menyeluruh perlu dikeluarkan oleh kerajaan untuk menjelaskan bagaimana sindiket yang begitu besar boleh beroperasi di Malaysia. Persoalanpersoalan seperti bagaimanakah warganegara China ini boleh masuk, berkumpul dan kemudiannya menjadikan Cyberjaya sebagai pusat operasi jenayah perlu dijelaskan oleh kerajaan. 

Rakyat mahu tahu sama ada kemudahan-kemudahan visa yang dikeluarkan kepada rakyat Negara China ini telah disalah guna untuk tujuan jenayah. 

Kesimpulan Semua kemudahan visa ini dikatakan telah diperkenalkan bagi tujuan menggalakkan lebih ramai pelancong asing masuk ke Malaysia terutamanya bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang mensasarkan pelancong seramai 30 juta orang. 

Namun, keselamatan negara tidak wajar digadaikan demi keuntungan yang disasarkan daripada kedatangan pelancong asing. 

Tambahan pula, kerajaan juga terpaksa menanggung kos yang besar bagi penyediaan makan dan minum tahanan depot dan kos-kos mengurus yang lain. 

Kerajaan perlu membuat keputusan tegas dengan menarik balik begitu banyak kemudahan-kemudahan visa yang telah diberikan kepada warganegara China khususnya dalam keadaan begitu banyak jenayah dan sindiket yang masih tidak dapat diselesaikan. 

Strategi untuk mencari pelancong-pelancong dari negara China yang “hilang” ini juga perlu diperkemaskan dan perlu dimasukkan dalam Pelan Holistik Penguatkuasaan PATI yang masih lagi dalam perangkaan.

( Hide )
  1. evisa tu bukan utk china sahaja. org gi umrah pun guna yg sama.

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo