NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terkini: Saham Petronas Sabah & Sarawak


Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Reuters melaporkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bercadang untuk menjual saham Petronas kepada negeri-negeri yang mempunyai loji di mana syarikat minyak dan gas itu berada.

2. Ada pihak yang berpandangan bahawa langkah ini sebenarnya terpaksa diambil kerajaan susulan kegagalan Pakatan memenuhi manifesto pilihan raya umum mereka sendiri iaitu memberikan 20 peratus daripada hasil pengeluaran petroleum kepada negeri-negeri pengeluar petroleum.

3. Sememangnya ada dilaporkan bahawa permintaan Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan royalti boleh menyebabkan Petronas membayar sehingga AS$7 bilion (RM29.15 bilion) setahun.

4. Ada juga pihak yang berspekulasi bahawa langkah ini diambil semata-mata untuk mendapatkan sokongan ahli parlimen Sabah dan Sarawak bagi menghalang peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

5. Begitu juga ada yang berpendapat bahawa langkah ini diambil menjelang pilihan raya negeri Sarawak tidak berapa lama lagi.

6. Namun begitu, cadangan ini mempunyai potensi impak geopolitik yang positif – khususnya dalam konteks Sabah dan Sarawak.

5. Perlu diketahui bahawa sejak beberapa tahun yang lalu wujudnya gerakan pemisah – dikenali sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) – yang giat berusaha untuk memerdekakan kedua-dua negeri Borneo itu daripada Persekutuan Malaysia.

6. Dengan menggunakan sentimen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), mereka berusaha menyebarkan semangat anti-Malaya atau anti-Semenanjung dengan fitnah kononnya segala hak mereka telah ‘dirompak’.

7. Hakikatnya, nasib Sabah dan Sarawak jauh lebih baik berbanding dua negeri pengeluar Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan.

8. Berbeza dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang menerima royalti petroleum saban tahun, kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS dahulu telah disekat daripada menerima hak yang sama – bahkan kerajaan PAS Kelantan tidak menerimanya hinggalah kebelakangan ini selepas didesak hebat.

9. Namun begitu, data miskin dan miskin tegar di Sabah masih mencatatkan angka melebihi 40 ribu isi rumah – manakala melebihi 50 ribu di Sarawak.

10. Di sinilah ruang bahaya terdedah untuk dimanipulasi oleh gerakan pemisah SSKM.

11. Sarjana Profesor Michael L. Ross dari UCLA dalam karya beliau berjudul ‘The Oil Curse: How Petroleum Wealth Shapes the Development of Nations’ pada 2012 mendedahkan bagaimana antara tahun 1960 hingga 2010 sahaja terdapat 16 konflik puak pemisah meletus di wilayah yang kaya dengan minyak.

12. Bukan itu sahaja, Profesor Micheal L. Ross turut memberi amaran bahawa konflik puak pemisah di wilayah yang kaya dengan petroleum ini lebih mudah untuk meledak sekiranya ia dihuni oleh populasi minoriti yang tidak berkongsi keturunan kaum, etnik, atau ras yang sama dengan pihak yang berkuasa di ibu negara berkenaan.

13. Jelas, seperti mana berlakunya konflik di 16 wilayah pengeluar petroleum antara 1960 hingga 2010 – Sudan, Iran, Bangladesh, Rusia, Indonesia, Iraq, dan sebagainya – risiko tersebut juga boleh meletus di Sabah dan Sarawak kerana SSKM bukan sekadar memainkan sentimen ‘penjajahan ekonomi Malaya’, bahkan juga ‘penjajahan politik’ dan budaya.

14. Maka, langkah memberi saham Petronas kepada Sabah dan Sarawak bukan sahaja bakal menamatkan fitnah ‘Semenanjung rompak hasil bumi’ kedua-dua negeri berkenaan, bahkan juga mengukuhkan negara Persekutuan kita ini.

15. Selain itu, dari segi geo-ekonomi pula, langkah sedemikian turut memberi sebahagian daripada kuasa pengurusan Petronas – yang juga pengeksport gas asli cecair ketiga terbesar di dunia – kepada Sabah dan Sarawak.

16. Pemberian autonomi sebegini sememangnya bertepatan pula dengan status Sabah dan Sarawak sebagai dua negeri yang mempunyai rizab minyak dan gas yang paling produktif di Laut China Selatan.

17. Benar, Petronas atau Petroliam Nasional Bhd merupakan penjana wang utama untuk kerajaan persekutuan.

18. Namun tidak mustahil Petronas juga boleh dimanfaatkan sebagai wahana pengukuhan perpaduan nasional melalui agihan saham dan autonomi pengurusan yang relavan kepada Sabah dan Sarawak.

19. Paling tidak, penjualan sebahagian saham Petronas kepada kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak ini akan mengekalkan saham-saham itu di dalam Malaysia – bukannya dijual kepada pihak asing seperti mana nasib yang menimpa aset-aset negara yang lain sebelum ini.

Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo