NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sugarbook: Mohon ada tindakan daripada Jakim, menteri agama




BANGI, 23 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Aplikasi mencari pasangan dalam talian 'Sugarbook' yang mencetuskan kontroversi ketika ini, adalah strategi mempromosi jenayah maksiat yang melampau, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Zainur Rashid Zainuddin.

Bahkan, beliau berkata, iklan temu janji berunsur lucah yang mempromosikan amalan maksiat, Sugar Daddy dan Sugar Baby tidak seharusnya berlaku di negara ini.

"Satu demi satu 'bencana' menimpa. Saya bermohon agar akan ada tindakan daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) atau YB Menteri Agama, bolehkah?," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial, iklan perkhidmatan janji temu 'sugar daddy' menerusi papan iklan elektronik, di Bangsar dan Bukit Kiara.

Iklan berkenaan memaparkan wanita muda memeluk bahu seorang lelaki berusia dipercayai bagi mengiklankan aplikasi 'Sugarbook' yang boleh didapati di Google Play.

Sugarbook ialah aplikasi yang didakwa boleh menghubungkan 'sugar daddy' atau 'sugar mommy' dengan 'sugar baby' dari negara ini dan seluruh Asia.

Panggilan 'sugar daddy' atau 'sugar mommy' merujuk kepada lelaki atau wanita berusia lagi berharta yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda iaitu 'sugar baby' sebagai pertukaran kepada jalinan hubungan.

Kelmarin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan paparan iklan aplikasi 'dating' atas talian, SugarBook, ditarik balik dengan segera.

DBKL berkata, iklan LED aplikasi itu di papan iklan di Bangsar dan Mont Kiara tidak pernah mendapat kelulusan pihaknya mahupun Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Iklan tersebut turut mengundang reaksi negatif orang ramai sehingga menggesa aplikasi berkenaan diharamkan daripada terus beroperasi di negara ini.

Bagaimanapun, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sugarbook, Darren Chan pula menyifatkan gesaan orang ramai supaya aplikasi itu diharamkan adalah tidak adil.

Darren berkata, aplikasi itu diwujudkan bagi menyediakan platform temu janji untuk wanita memilih secara bebas apa yang dikehendaki dalam hubungan yang ideal tanpa dinilai.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/12/20/sugarbook-mohon-ada-tindakan-daripada-jakim-menteri-agama/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo