NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sisa plastik jadi sumber tenaga baharu


KUALA TERENGGANU - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) berkolaborasi dengan penggiat industri minyak dan gas bagi menawarkan solusi baharu menggunakan teknologi terkini untuk menukar sisa bahan plastik kepada sumber tenaga baharu yang lebih berkualiti dengan pelbagai kegunaan.

Pengarah Urusan PCG Berhad, Datuk Sazali Hamzah berkata, jalinan kerjasama dilakukan bersama penggiat industri berpengalaman seperti Plastic Energy Ltd dan Cypark Resources Berhad.

“Kita melaksanakan kajian bersama Plastic Energy Ltd untuk membina loji memproses sisa plastik kepada tacoil iaitu bahan mentah yang terhasil daripada pemprosesan sisa plastik.

“Melalui kolaborasi ini, PCG akan menggunakan tacoil yang terhasil daripada loji tersebut sebagai bahan mentah untuk menghasilkan polimer berkualiti di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, kerjasama bersama Cypark Resources Berhad menilai potensi kerjasama dalam projek dengan menggunakan semula sisa-sisa yang telah dibuang bagi menghasilkan tenaga baharu termasuk penubuhan loji Waste-to-Energy (WTE) dan penubuhan sistem Pengambilan Semula dan Rawatan Bahan Sisa Pepejal Maju atau Solid-Waste Modular Advanced Recovery and Treatment (SMART) untuk melengkapi penyelesaian WTE dalam meningkatkan pengambilan semula plastik.

Beliau berkata, PCG terpanggil untuk mencari penyelesaian apabila pencemaran plastik menjadi satu epidemik bukan sahaja di negara ini bahkan merupakan isu besar di peringkat global.

“Beberapa langkah diambil dalam menerajui Ekonomi Plastik Baharu (NPE) bagi merealisasikan ekonomi sekular atau circular economy yang dipercayai boleh menjadi solusi baharu kepada pencemaran sisa plastik yang lebih lestari.

“Pendekatan yang diambil ini dikaji dan dinilai secara holistik termasuk keupayaan dan kesediaan fasiliti serta infrastruktur yang sesuai selain program pendidikan yang lebih berkesan dengan kerjasama beberapa pihak bagi pelaksanaan di peringkat masyarakat,” katanya.

Katanya, empat teras utama diberi tumpuan kepada bagi pengurusan sisa plastik iaitu pendidikan, pembersihan, infrastruktur dan inovasi.

“Kita yakin daripada empat teras yang diwujudkan ini, dua daripadanya iaitu pendidikan dan pembersihan mampu meningkatkan lebih kesedaran bagi pengurusan sisa plastik yang lebih sistematik di peringkat sekolah serta orang awam secara amnya,” katanya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/62300/EDISI/Terengganu/Sisa-plastik-jadi-sumber-tenaga-baharu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo