NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

NC wanita pertama UMT diarah bercuti


Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar diarah bercuti serta merta bermula bulan ini sehingga kontrak perkhidmatan beliau tamat pada April 2020.

Tindakan itu difahamkan mempunyai hubung kait dengan tindakan beliau yang dilihat kurang bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan yang mahu menggabungkan UMT dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Nor Aieni dilantik ke jawatan itu bermula 13 April 2015.

________________________
Naib Canselor Wanita Pertama UMT

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melantik Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar sebagai Naib Canselor baharu Universiti Malaysia Terengganu bagi menggantikan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo yang telah tamat tempoh lantikan setelah tiga tahun memegang jawatan tersebut. Pemilihan Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar sebagai Naib Canselor UMT adalah berasaskan kriteria yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan mengambil kira pengalaman kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kepakaran beliau.
Menelusuri pendidikan akademik beliau, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik dari State University of New York, Binghamton, New York, USA pada tahun 1980, dan mempunyai Sarjana dalam bidang Physics-ionization dari Universiti College of Swansea, UK dari tahun 1981 hingga 1983. Selain dari itu beliau juga telah menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang Physics-Laser Technology dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1992.

Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar mula berkhidmat dalam pentadbiran awam sebagai ahli akademik di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1980. Selain dari terlibat di dalam pengajaran Fizik di Fakulti Sains, Hidraulik dan Kejuruteraan Pantai di Fakulti Kejuruteraan Awam, beliau aktif di dalam penerbitan bahan ilmiah dan penyelidikan di mana beliau telah memperolehi paten dan memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa termasuk Anugerah Best Woman Inventor di Geneva, International Khwarizmi Award, Anugerah Diskoveri dan Inovasi UTM dan juga Anugerah Perekacipta Negara. Beliau merupakan Ahli Senat dan pernah menjadi pengurus penyelidikan di Institut Kejuruteraan Pantai dan Lepas Pantai, pengurus pengkomersilan R & D, Harta Intelek, Timbalan Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan, Biro Inovasi dan Perundingan bagi Pengkomersilan dan Tekno-ushawan.

Pada tahun 2008 beliau telah di beri kepercayaan memegang jawatan sebagai Pengarah dan Setiausaha Bahagian Direktorat Oseanografi Kebangsaan (NOD), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Beliau bertanggungjawab bagi Pembangunan dan Penyelarasan Penyelidikan Oseanografi dan Sains Marin Malaysia. Beliau telah mewakili Malaysia untuk rundingan kerjasama antarabangsa Bi-lateral dan Multi-lateral serta telah memenangi kerusi ahli majlis eksekutif Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC)-UNESCO, Naib Pengerusi dan Ahli Penasihat Saintifik IOC/WESTPAC dan ketua sekretariat nasional bagi Inisiatif Segitiga Terumbu Karang.

Antara sumbangan beliau termasuk penyediaan bersama pasukan NOD dan pemegang taruh di agensi dan kementerian serta pusat-pusat kecemerlangan marin universiti, Kajian National Ocean Policy, Pembangunan National Ocean Data Centre dan Kajian National Oceanography Institute. Justeru, hasil dari pengalaman, antara bidang kepakaran Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar ialah, pengionan Fizik Dan Teknologi Laser, Kejuruteraan kelautan dan pantai, instrumentasi, Computer dan Physical Modelling, Pengurusan Ekosistem dan Sumber Alam Sekitar, Sains Teknologi dan Inovasi, Dasar Lautan, pengurusan data Oseanografi & Biodiversiti Marin.

Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar dikurniakan dengan pelbagai anugerah kehormat antaranya, anugerah “Tokoh Wanita Terengganu” pada tahun 2008, Darjah Johan Setia Mahkota, J.S.M pada tahun 2010 oleh DYMM SPB YDP Agong, dan Darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) oleh DYMM Sultan Terengganu pada tahun 2012. Berikutan pengalaman luas beliau dalam bidang Osenografi di peringkat nasional dan antarabangsa serta pelbagai bidang lain, beliau juga telah dilantik untuk menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu. Kini, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar diberi sepenuh kepercayaan untuk menerajui tampuk kepimpinan universiti dengan memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu berkuat kuasa pada 13 April 2015 yang lepas.

Di kesempatan ini juga, UMT merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim bin Komoo, Mantan Naib Canselor UMT di atas segala jasa dan baktinya selama ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar, diharap beliau akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

Disediakan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
21030 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo