NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Langkah Berani GPMS Dan MAPPIM Membawa Isu Sjkc Dan Sjkt Ke Mahkamah

oleh: Dr Kamarul

Sungguh saya teruja dengan GPMS dan MAPPIM kerana membuat satu inisiatif berani bagi menentukan keabsahan sekolah vernakular di sudut undang-undang negara.

Begitu ramai yang bersuara mengenai pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh sekolah vernakular, terutamanya kepada perpaduan dan keharmonian negara, malangnya tidak ada yang berani membuat sesuatu bagi menyelesaikannya.

Tidak perlu dimarah kepada GPMS dan MAPPIM di atas tindakan mereka ini, sebaliknya ucapan tahniah perlu diberi kepada mereka atas keberanian mereka menggunakan hak sah mereka di sisi undang-undang.

Diharapkan saman ini akan membantu menyelesaikan isu yang melingkari negara kita sejak sekian lama, ekoran ketiadaan 'political will' pemimpin terdahulu untuk menyelesaikannya.

Jika pihak mereka boleh mendesak apa sahaja untuk golongan mereka, malah mencabar hak kita juga, tidaklah salah pula untuk pihak kita menentukan hak mereka melalui cara yang dibenarkan oleh undang-undang.

Hidup GPMS dan MAPPIM!

SAMAN TERHADAP MENTERI PENDIDIKAN DAN KERAJAAN MALAYSIA BAGI MENGISYTIHARKAN SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA DAN TAMIL SEBAGAI BERCANGGAH DAN TIDAK SAH DI SISI PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

16 DISEMBER 2019

1. Baru sebentar tadi (16 Disember 2019, jam 5:39pm), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) telah secara bersesama memfailkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, melalui Peguamcaranya, Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil. Saman tersebut menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai Defendan, dan difailkan bagi mendapatkan pengisytiharan oleh Mahkamah bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah dengan kedudukan bahasa kebangsaan di bawah Fasal 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

2. Pemfailan saman ini adalah susulan dari keputusan Mahkamah Persekutuan pada 11.11.2019 yang telah menolak permohonan seorang peguam, Mohd Khairul Azam bin Abdul Aziz, bagi mencabar keabsahan kewujudan Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di Malaysia, kerana menurut Mahkamah Persekutuan, permohonan tersebut sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi, dan bukan di Mahkamah Persekutuan.

3. Justeru, atas keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, kedua-dua GPMS dan MAPPIM telah mengambil inisiatif bagi memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi, supaya persoalan penting tentang keabsahan kewujudan sekolah-sekolah aliran vernakular adalah sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan dapat diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

4. Antara perkara yang dipohon oleh GPMS dan MAPPIM adalah untuk perintah-perintah antara lainnya seperti berikut:-

(a) suatu pengisytiharan bahawa seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), setakat mana peruntukan-peruntukan itu membenarkan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar masing-masing, adalah bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan oleh yang demikian adalah tidak sah dan terbatal setakat percanggahan itu;

(b) suatu pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil telah secara lanjutannya, turut menyebabkan satu keadaan yang bercanggah dengan Perkara 5 (hak terhadap kehidupan yang bermaruah), perkara 8 (hak kesaksamaan), perkara 10 (hak berekspresi), Perkara 11 (kebebasan beragama), dan perkara 12 (hak terhadap pendidikan);

(c) suatu perintah bahawa Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia hendaklah mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang sedia ada di Malaysia hendaklah diselarikan dengan peruntukan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan, dalam tempoh enam (6) tahun daripada tarikh Mahkamah memberikan penghakiman.

5. GPMS dan MAPPIM telah mengarahkan kami, selaku peguamcaranya, untuk melantik peguam kanan, Tuan Haji Haniff Khatri Abdulla, sebagai kaunsel utama bagi mewakili MAPPIM dan GPMS ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah kelak.

6. Kami juga telah diarahkan untuk menegaskan bahawa kedua-dua GPMS dan MAPPIM menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga, sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran, tetapi menolak mana-mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.

Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil
Peguamcara bagi GPMS dan MAPPIM

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo