NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu jawi: Dong Ziao Jong sakitkan hati rakyat



BANGI, 20 Rabiulakhir 1441H, Selasa – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan persidangan protes tulisan jawi yang mahu diadakan Dong Jiao Zong sebagai memalukan serta menghina seni tulisan, budaya orang Melayu dan Malaysia secara terbuka.

Beliau dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan itu, apabila pertubuhan rasis sempit Dong Jiao Zong itu sekali lagi meneruskan sikap kurang ajar mereka apabila mahu menganjurkan persidangan berkenaan.

"Tidakkah tindakan boleh diambil terhadap Dong Jiao Zong di atas tindakan mereka yang boleh menimbulkan sakit hati antara rakyat? Kita juga bimbang takut-takut ada tindak balas dari kalangan orang Melayu.

"Kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih lagi berpeluk tubuh sedangkan pertubuhan Dong Jiao Zong layak diharamkan? Masih layakkah PH mengemudi kerajaan? Setelah perpaduan di negara ini makin hari makin diuji," katanya hari ini.

Terdahulu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang secara gabungannya dikenali Dong Jiao Zong dilaporkan mahu mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini untuk membantah pelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Sinchew Daily melaporkan, selain mengajak semua pertubuhan Cina menghadiri persidangan itu, Dong Jiao Zong turut meminta lembaga pengelola dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) untuk memulangkan garis panduan pelajaran tulisan jawi kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda bantahan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan parti Gerakan yang mahu pembelajaran tulisan jawi tidak diajar di sekolah vernakular di seluruh negara pada November lalu kerana tanggapan mereka percaya pengajaran tulisan jawi boleh membawa persepsi Islam disebarkan kepada pelajar agama lain, seperti yang diajar dalam kelas Pengajian Islam adalah tidak relevan ditambah pula tulisan jawi adalah sebahagian daripada bahasa Malaysia, yang juga bahasa kebangsaan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan, tiada sebab kenapa tulisan jawi tidak boleh diperkenalkan di sekolah vernakular walhal garis panduan pelajaran tulisan jawi sudah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Diharap pihak polis hentikan persidangan mereka bagi memastikan keamanan negara ini dapat dikekalkan," katanya lagi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo