Antara PM muda dan PM tua


oleh: Zin Mahmud

Minggu lalu, Finland menarik perhatian dunia dengan memilih Sanna Mirella Marin, wanita berusia 34 tahun untuk menjadi perdana menteri negara itu.

Maka beliau kini adalah perdana menteri paling muda di dunia. Sebelum ini, Perdana Menteri New Zealand, Jacinta Adern berusia 39 tahun menyandang gelaran itu.

Sehari kemudiannya, perdana menteri paling tua dunia, Dr Mahathir Mohamad yang berusia 94 tahun mengulas mengenai pemilihan Marin. Beliau menyarankan supaya perdana menteri Finland itu meminta nasihat daripada orang tua.

Kenyataan Mahathir itu dibalas oleh Adern, yang berkata Marin tidak perlukan sebarang nasihat. Maksudnya, nasihat daripada orang tua.

Adern dan Marin adalah seideologi. Adern adalah dari Parti Buruh New Zealand. Marin dari Parti Demokrasi Sosial (SDP) Finland.

Kedua-duanya dari parti tengah kiri yang berfahaman demokrasi sosial.

Dalam sejarahnya, Parti Buruh New Zealand ditubuhkan dengan gabungan Parti Buruh Bersatu dan Parti Demokrasi Sosial New Zealand. Sementara nama asal SDP Finland adalah juga Parti Buruh.

Penulis pernah mengunjungi Finland pada 1985, tahun lahirnya Marin kerana membuat liputan lawatan rasmi perdana menteri ke negara Scandinavia.

Selain Finland, dalam rangka lawatan itu, Mahathir turut melawat Sweden, Norway dan Denmark.

Pada masa itu, Mahathir sudah berusia 60 tahun dan sedang berada di puncak kekuasaannya di Malaysia.

Barisan Nasional (BN) menang besar dalam pilihan raya 1982. Antara perkara yang turut menyumbang kepada kemenangan beliau ialah penyertaan Anwar Ibrahim yang ketika itu berusia 38 tahun.

Ketua pembangkang pada masa itu adalah Lim Kit Siang yang berusia 44 tahun.

Bagaimanapun cabaran paling besar pada 1985 sebenarnya datang daripada Joseph Pairin Kitingan melalui Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau ketika itu berusia 45 tahun.

Ketika dalam rangka lawatan Mahathir itu, PBS memenangi pilihan raya negeri Sabah dengan mengalahkan BN yang diketuai oleh Haris Salleh daripada Parti Berjaya.

Ketika kerajaan negeri PBS ditubuhkan, Mahathir berada di Stockholm, Sweden dan Musa Hitam yang memangku jawatan perdana menteri ketika itu bagi menangani cabaran tersebut. Musa pada waktu itu berusia 51 tahun.

Pada masa itu, Finland belum terkenal di Malaysia. Mahathir menemui perdana menterinya Kalevi Sorsa, seorang lelaki berusia 55 tahun di pejabatnya di Helsinki.

Malah ketika itu juga tiada pejabat kedutaan Malaysia di Helsinki. Hubungan diplomatik dengan Finland diuruskan dari kedutaan besar Malaysia di Moscow, Soviet Union.

Pegawai kedutaan yang penulis berurusan untuk tujuan lawatan itu datang dari Moscow dengan menaiki keretapi melalui Leningrad sebelum sampai ke Helsinki.

Kota itu berwarna putih dilitupi salji. Semua tasik dan sungai sedang menjadi ais.

Kini Leningrad dikenali sebagai St Petersburg. tetapi pada 1984, Perang Dingin antara Soviet Union dan Amerika Syarikat sedang berlangsung.

Helsinki sentiasa berhati-hati tentang hubungannya dengan Moscow. Pada bila-bila masa saja kereta kebal Soviet boleh muncul di Helsinki seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Pada zaman itu juga, Finland seperti banyak negara lain di Eropah Utara dan Timur tidak begitu dikenali di dunia luar, termasuk Malaysia.

Bukan saja Finland adalah negara kecil di pinggiran dunia, tetapi pada zaman itu maklumat sukar diperolehi. Bayangkan dunia tanpa internet dan laporan mengenai Finland sangat jarang boleh dibaca di Malaysia.

Ketika itu penulis lebih mengenali Finland sebagai negara yang menghasilkan reka bentuk unik dan indah. “Finnish Design” menjadi kandungan majalah reka bentuk yang penulis baca di perpustakaan British Council.

Dalam kunjungan itu, Mahathir melawat bangunan Parlimen dan juga sebuah sekolah rendah.

Pada masa itu sistem pendidikan Finland belum lagi terkenal dan menarik perhatian dunia, tetapi daripada pemerhatian penulis terhadap perabot di sana, memang benar reka bentuk industri Finland adalah unik dan indah.

Sebenarnya pertama kali penulis mengetahui mengenai Finland adalah pada 1973 ketika tingkatan 3 melalui pembacaan buku tulisan seorang tokoh penulisan, Harun Aminurashid.

Beliau yang bekerja seorang guru melawat banyak negara di dunia dan ia abadikannya dalam suatu siri buku travelog.

Antaranya ialah “Melawat Negara-negara Scandinavia” yang meliputi kunjungannya ke Finland.

Harun adalah juga penulis buku cereka sejarah, “Panglima Awang” dan “Anak Panglima Awang”. Pada masa itu amat sedikit sekali orang Malaysia yang sampai ke Finland.

Negara itu bagaimanapun menjadi terkenal pada 2000-an sebagai pengeluar telefon tangan berjenama Nokia yang menguasai pasaran dunia sebelum datangnya telefon pintar.

Selepas tahun 2010-an pula, Finland terkenal dengan sistem pendidikannya. Sistem Finland menghasilkan pelajar paling berjaya di dunia.

Pakar pendidikan dunia berpusu-pusu ke sana untuk meninjau sistem pendidikan Finland. Malah ada juga ahli pendidikannya diundang datang ke Malaysia untuk memberi nasihat.

Kini Finland tidak asing lagi kepada dunia termasuk Malaysia. Dari masa ke masa, ada saja laporan baik mengenai kehebatan Finland sebagai negara maju dan bagus. Pastinya sudah banyak rakyat Malaysia yang mengunjungi Finland.

Marin menjadi perdana menteri menggantikan Antti Juhani Rinne, lelaki berusia 57 tahun yang mengundurkan diri. Kedua-duanya dari SDP. Parti ini adalah terbesar dalam Parlimen Finland dengan 40 kerusi.

SDP adalah parti tertua aktif di Finland yang diasaskan pada 1899, iaitu 120 tahun. SDP mempunyai hubungan rapat dengan konfederasi kesatuan sekerja terbesar Finland, dan menjadi anggota Internasional Sosialis dan Parti Sosialis Eropah.

Marin mengetuai kerajaan campuran bersama Parti Tengah, Liga Hijau, Perikatan Kiri dan Parti Rakyat Sweden.

Finland adalah sebuah negara pelbagai kaum dengan Finn adalah etnik utama dan Sweden adalah minoriti besar. Walaupun negara utama kaum itu adalah Sweden yang juga merupakan jiran Finland.

Parti Tengah memainkan peranan menjatuhkan Rinne dengan undi tidak percaya hingga membuka ruang kepada pelantikan Marin.

Mereka tidak puas hati dengan cara Rinne menangani isu mogok pekerja pos. Perikatan Kiri pula adalah parti yang ditubuhkan oleh bekas ahli Parti Komunis Finland.

Banyak negara Eropah, terutama di bahagian utara khususnya negara Scandinavia mempunyai parti Demokrasi Sosial yang kuat dan sering menerajui kerajaan.

Dalam sejarah, mereka mempelopori gagasan Negara Kebajikan. Pada asasnya aliran Demokrasi Sosial ini adalah golongan kiri yang antikomunis.

Pengaruh fahaman demokrasi sosial di Malaysia datang dari Britain. Di negara itu, parti Demokrasi Sosial adalah Parti Buruh. Maka Malaya dan Singapura pernah mempunyai Parti Buruh yang terinspirasi dari Britain.

Kini di Malaysia, parti yang menyatakan dirinya pemegang fahaman Demokrasi Sosial adalah DAP. Parti ini adalah lanjutan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura.

Dari awal lagi mereka bersikap antikomunis. Itulah juga sifat parti Demokrasi Sosial seluruh dunia.

Namun naratif politik Malaysia tidak berorientasikan fahaman politik atau ideologi. Ada parti yang cuba bersifat ideologikal turut terperangkap dengan naratif kaum. Maka mereka lebih diwarnai kaum.

Orientasi kaum ini menghalang wacana bersifat ideologikal. Akibatnya Malaysia tidak dapat menyertai naratif yang bersifat lebih sejagat dan berminda manusiawi.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post