NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ADUN Tepoh Serah Bot Fiber Bantu Pengurusan Banjir




KUALA NERUS, 4 Disember- Kerajaan negeri menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menyumbangkan dua buah bot kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk memudahkan urusan membantu mangsa banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, dua bot jenis fiber itu diserahkan kepada MPKK Jeram Hulu dan MPKK Jeram Hilir sebagai keperluan yang dapat dimanfaatkan semasa bencana banjir, pada masa ini dan akan datang.



"Bantuan bot fiber ini merupakan sebahagian daripada apa yang disalurkan oleh kerajaan kepada penduduk yang terlibat banjir di negeri ini.

"Saya akui, kawasan kita tidak sebesar tempat lain. tetapi kita akan berusaha untuk menjaga kebajikan penduduk supaya masing-masing dapat pembelaan sepatutnya serta menyelia keadaan parit dan longkang-longkang dengan kemampuan yang kita ada," katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu menyampaikan bantuan di Kampung Pengkalan Gelugor yang terputus hubungan akibat banjir, hari ini.

Hishamuddin yang mengetuai misi bantuan banjir pusat khidmat DUN berkenaan turut menyampaikan bantuan berupa keperluan makanan kepada 22 buah keluarga di yang terjejas akibat limpahan air sungai Nerus yang terletak bersebelahan kampung tersebut.

"Saya berpuas hati dengan jentera yang disusun oleh kerajaan. Tidak kira samada kerajaan negeri atau Persekutuan.

"Antaranya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang memberi komitmen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat daerah melalui penghulu dan MPKK yang memainkan peranan," katanya.

Beliau juga menasihati penduduk supaya sentiasa berjaga-jaga dan menghubungi pihak pengurusan bencana jika berlaku situasi yang bahaya.

Banjir di Kuala Nerus semakin meningkat dengan pertambahan jumlah mangsa kepada 532 orang menjelang jam 8.00 malam ini, berdasarkan laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo