NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMMAH serah memorandum kepada kerajaan, pembangkang




Oleh Azrul Hakimie Anuer

KUALA LUMPUR, 8 Rabiulawal 1441H, Selasa – Bimbang ancaman ideologi kumpulan pengganas LTTE, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menghantar memorandum kepada pihak kerajaan dan parti politik pembangkang, sebagai desakan supaya tindakan diambil terhadap mereka yang terbabit.

Memorandum 'Selamatkan Malaysia Daripada Ancaman Pengganas' diserahkan sendiri oleh Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya di Parlimen, sebentar tadi.

Kerajaan pada awalnya mewakilkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun saat akhir digantikan dengan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul.

Manakala pembangkang pula, memorandum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.



Memorandum dua halaman itu antara lain mengharapkan tindakan tegas daripada kerajaan Pakatan Harapan bagi menghalang parti-parti tertentu campur tangan terhadap siasatan polis ke atas individu terbabit dengan LTTE.

Haji Aminuddin yang juga Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menegaskan, tindakan UMMAH merencana memorandum berkenaan tiada kaitan dengan agenda politik.

Sebaliknya, tegas beliau, tindakan berkenaan dibuat atas dasar rasa cinta dan sayangkan negara ini serta masa depan anak bangsa.



"(Memorandum ini) untuk menyatakan kebimbangan kita terhadap ancaman LTTE dan kita berharap tindakan tegas tanpa kompromi dilakukan dan tiada campur tangan politik dalam urusan PDRM (Polis Diraja Malaysia).



"Kita juga ucapkan tahniah kepada PDRM kerana berjaya lakukan tangkapan, jelas ini bukan isu parti, politik atau kaum," katanya.

Haji Aminuddin turut memberi amaran kepada Peguam Negara, Tommy Thomas untuk tidak campur tangan dalam kes LTTE.

"Kita mahu kerajaan ambil tindakan tegas, kita tidak teragak-agak untuk buat himpunan bantahan besar-besaran selepas ini jika wujud pendakwaan terpilih," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/11/05/ummah-serah-memorandum-kepada-kerajaan-pembangkang/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo