NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tribut Buat Surihati Ustaz Harun Taib: Ustazah Fatimah Ibrahim.



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Kelmarin baru sahaja mendapat perkhabaran Ustazah Fatimah atau Zainab Ibrahim berada dalam keadaan uzur di hospital melalui status FB menantu beliau, Ustaz Amni dan pagi ini alam siber berdecak dengan berita kematian mantan Ketua Dewan Muslimah PAS Pusat yang juga mantan Ketua Muslimah PAS Terengganu. Kesedihan tak dapat disembunyikan dengan euforia syahdu dengan berita berita yang berjangkit dengan pantas itu. Ustazah Fatimah adalah surihati almarhum Ustaz Harun Taib, mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Kedua tokoh ilmuan ini adalah jantung hati jemaah yang disayangi dan sentiasa didoakan oleh para abnaul harakah selama ini, keduanya juga sepasang suami isteri yang telah mewakafkan diri untuk perjuangan Islam dan rumah mereka adalah Markas Tarbiah Kubang Lembek yang menjadi perkampongan ilmu, daripada PASTI, sekolah rendah Islam dan Kolej Universiti. Sejak sedekad terakhir ini kondisi kesihatan agak sederhana, namun jasadnya sentiasa muncul dalam program-pgram PAS terutama di Terengganu.

Saya menerima mesej telefon yang ringkas daripada Haji Razali Kontraktor tahfiz An Nur, yang juga mantan pembantu Ustaz Harun Taib, mengkhabarkan kepulangan isteri Tuan Guru Ustaz Dato Harun Taib ke rahmatullah seperti percikan petir yang mengoncang sukma. Mereka sepasang suami isteri adalah sosok besar gerakan Islam semenjak pulang dari Ardhul kinanah pada tahun 1981 itu tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Almarhum Ustaz Harun adalah anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Almarhum berkahwin dengan Ustazah Fatimah dalam tempoh pengajian di Mesir dan hidup secara sederhana dalam menghabiskan ijazah MA dan menyambung pengajian keperingkat PhD (tak sempat habis kerana dipanggil pulang untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum 1982).

Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat, beliau dan suaminya secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam. Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa aktif dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin PAS. Ustazah Fatimah tangan kanan yang sentiasa cakna keperluan suami, saya teringatkan kisah almarhum saat mula membangunkan markas Kubang Lembik dengan cuaca panas siang hari yang menyengat ubun-ubun, tangisan anak-anak yang kepanasan.

Dengan sijil dan kualifikasi yang ada memilih keduanya untuk berjuang Islam dalam keadaan susah dikampong juga menjadi bahan sindiran masyarakat. Ustazah tak peduli!, hidup bukan sekadar untuk bermegah dengan kemewahan. Terbayang saat Ustazah menyeka airmata apabila mengenang awal kehidupan bersama almarhum suami tercinta membangunkan Markas Tarbiah Kubang Lembik. Saya menemuramah beliau untuk buku " Tribut Dwi Murabbi: ustaz Harun Taib Dan Ustaz Abu Bakar Chik", Ustazah adalah sumber primer tulisan saya selain Cikgu Zaitun, isteri almarhum ustaz ABC.

Bersama teman- teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu,suaminya telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS termasuk anak-anak Ustazah Fatimah sendiri. Kedua pasangan ini sangat tegas dalam bab perkaderan, ini disaksikan apabila tiada buah hati mereka dan menantu diasuh selain daripada sistem tajnid PAS.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek Manir sehingga terbangunnya markas tarbiah, sekolah rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan DUN Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya, Ustaz Hilmi Harun mewakili konstitusi tersebut.

Murabbiah ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami. Semangatnya seperti api menjulang, Ustazah Zainab atau Fatimah Ibrahim pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS, juga puterinya Ustazah Hamidah Harun juga aktif dalam kerja jamaah. Yang paling penting mereka melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembik, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sepasang suami isteri ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid (perkaderan dakwah).

Peranan paling besar almarhum Ustaz Harun ialah apabila dilantik menjadi Exco kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu. Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan. Sosok yang menjadi inspirasi kepada beliau ialah sang isteri yang tak pernah lelah membantu perjuangan. Ustazah juga pernah menjadi Ketua Dewan Muslimah PAS Hulu Terengganu dalam tempoh yang panjang, selain menjadi Ketua Muslimah Terengganu.

Selamat jalan Ustazah Kak Nab atau ustazah Fatimah sang pendidik ummah, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata- kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini...alfatihah.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo