NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tahukah anda? Tunku Azizah wanita pertama dimasyhur Canselor UIAM




KUALA LUMPUR, 25 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak dapat menahan sebak, tatkala dimasyhurkan sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kedua.

Perasaan itu terzahir ketika Tunku Azizah bertitah, selepas dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pemasyhuran Raja Permaisuri Agong sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM, hari ini.

Tunku Azizah menjelaskan diri baginda sangat dekat dengan UIAM, sejak Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, yang pertama memegang jawatan itu sejak penubuhan universiti itu pada 1983.

"Beta amat tersentuh dan bersyukur untuk meneruskan legasi Almarhum Paduka Ayahanda, yang sebagaimana anda semua tahu adalah Ketua Perlembagaan UIAM selama 35 tahun.

"UIAM amat dekat dengan hati beta, sejak Almarhum Paduka Ayahanda memegang jawatan itu, beta telah mengikuti dengan dekat perkembangan dan kemajuan universiti unik dan istimewa ini – Taman Ilmu dan Akhlak," titah baginda.

Tunku Azizah yang kelihatan terharu turut meminta hadirin membacakan Al-Fatihah buat Almarhum Sultan Ahmad Shah, menjadikan Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM hening seketika.

Momen indah yang bersejarah itu turut disaksikan anakanda pasangan diraja iaitu Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Raja Puteri Iman Afzan and Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Pemashyuran bersejarah itu menjadikan Tunku Azizah sebagai wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam struktur organisasi pentadbiran UIAM.

Sebelum ini, jawatan tertinggi pernah dipegang wanita dalam pentadbiran UIAM adalah sebagai Rektor, yang disandang oleh Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin pada 2011.

Prof Zaleha, yang juga Rektor kelima, mengambil alih jawatan berkenaan menggantikan Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid yang tamat perkhidmatan pada tahun sama.

Pada istiadat pemasyhuran itu, Tunku Azizah menyarung jubah diperbuat dari kain tenun Pahang Diraja, yang direka khas dengan corak dilakar oleh baginda sendiri

Berwarna ungu, material tenunan jubah yang dihasilkan sendiri oleh penghuni Penjara Penor, Pahang itu turut mendapat sentuhan magis jahitan pereka fesyen kegemaran Tunku Azizah iaitu Datuk Rizalman Ibrahim.

Tunku Azizah, 59, berkenan menerima watikah pengisytiharan sebagai Ketua Perlembagaan UIAM daripada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik di Istana Negara pada Jun lepas.

Tunku Azizah dilantik memegang jawatan itu tempoh lima tahun berkuat kuasa 12 April 2019. -Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo