Piala AFC 2020: Malaysia kalahkan Thailand 1-0, layak ke Uzbekistan


KUALA LUMPUR, 13 Rabiulawal 1441H, Ahad – Malaysia mengesahkan tempat ke pusingan akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 selepas mengalahkan Thailand 1-0 di Stadium Olimpik Nasional di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Kemenangan tipis itu membolehkan skuad B-18 negara berjaya mengekalkan rekod bersih untuk muncul juara Kumpulan G dengan mengutip maksimum 12 mata dalam empat perlawanan.

Malaysia hanya memerlukan keputusan seri ke atas Thailand, namun jaringan Muhammad Umar Hakim Suhar Redzuan pada minit ke-84 memberi tiket automatik kepada anak buah Brad Maloney ke pusingan akhir di Uzbekistan, Oktober tahun depan.

Selepas kedua-dua pasukan gagal menyudahkan banyak peluang walaupun sering melancarkan serangan berbalas tetapi Muhammad Umar akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan dengan menyudahkan hantaran lintang Muhammad Azman Murad.

"Saya berasa amat hebat untuk melakukan jaringan…namun ia adalah usaha pasukan. Setiap pemain memberi usaha 100 peratus. Kami teruja untuk layak dan Malaysia adalah pasukan yang hebat," katanya.

Malaysia memulakan kempen dengan mengalahkan tuan rumah Kemboja 5-4 pada 2 November lalu, membenam Brunei 11-0, Rabu lalu dan Kepulauan Mariana Utara 10-0, Jumaat lalu manakala Thailand menewaskan Brunei 9-0 dan membelasah Kepulauan Mariana Utara 21-0 sebelum kalah mengejut 2-1 kepada Kemboja.

Sementara itu, Maloney berkata, mereka tidak mengambil mudah untuk mengharapkan keputusan seri malah mahu meneruskan rentak permainan seperti dirancang dan memburu kemenangan ke atas Thailand.

"Saya amat gembira untuk layak serta pemain telah membuktikan kemampuan masing-masing. Jika pemain meneruskan seperti ini, maka masa depan bola sepak negara nampak cerah," kata jurulatih dari Australia itu pada sidang media selepas perlawanan itu.

Rakaman sidang media itu diperoleh Bernama daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam saingan kelayakan 48 pasukan itu, hanya 16 pasukan layak ke pada pusingan akhir iaitu tuan rumah, Uzbekistan, 11 juara kumpuan dan empat pasukan naib juara terbaik atau lima jika Uzbekistan muncul juara kumpulan. – Bernama
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget