NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pejuang UEC rakus, nak untung tanpa ubah dasar: Kok Seong




Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 2 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Tiada gunanya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jika dasarnya tidak selari dan mengikut sistem pendidikan negara, kata Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, pejuang UEC akan terus mendesak sijil peperiksaan berkenaan diiktiraf tanpa sebarang syarat, bahkan mahu dikekalkan seperti sedia ada.

Beliau berkata, pengiktirafan terhadap UEC akan memberi isyarat tidak baik kepada sistem pendidikan negara kerana menerima dasar pendidikan luar yang bertentangan dengan kurikulum kebangsaan disebabkan daripada tekanan politik.

"Kita tidak mahu politik dicampur-adukkan dengan bidang semulia pendidikan. Jadi kita harap sangat UEC tidak diiktiraf kerana berada di luar sistem kita. Mereka pernah diberi kesempatan untuk masuk dalam sistem kita tetapi enggan.

"Jadi, apabila mereka mahu terus berada di luar sistem pendidikan negara, maka tak perlulah mohon atau desak dengan gunakan tekanan politik, janji manifesto supaya ia diiktiraf. Apabila diiktiraf pastinya ia tidak baik untuk sistem pendidikan negara," katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Prof Kok Seong berkata, rata-rata kaum Cina sama ada daripada MCA, DAP atau Gerakan sememangnya akan sehati sejiwa dalam perjuangan mengiktiraf sijil berkenaan.

"Semua kaum Cina memang mahu UEC diiktiraf, dan sebolehnya mereka mahukan ia diiktiraf tanpa syarat sehingga ada yang membuat permintaan melampau.

"Mahu UEC diiktiraf tanpa perlu diubah dasarnya, tetapi diberi kuota ke IPTA dan bekerja di sektor awam. Mereka ini hanya mahukan keuntungan sepanjang jalan. Betapa rakusnya permintaan pejuang-pejuang UEC ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan berkenaan terletak kepada Kabinet sama ada untuk UEC diiktiraf atau kekal menolaknya seperti yang diharapkan banyak pihak.

"Saya kira semua orang berpandangan bahawa keputusannya 50-50. Mungkin ia diiktiraf atau mungkin tidak. Kabinet sekarang terdiri daripada barisan yang bercampur-campur.

"Jadi ada pihak yang menjangkakan Kabinet akan mengiktiraf, tetapi kita berharap supaya ianya ditolak," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, laporan lengkap Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) berhubung pengiktirafan sijil itu dijangka diserah kepada kementeriannya, selewat-lewatnya hujung tahun ini sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk keputusan akhir.

"Laporan akan disusun bersama lampiran termasuk transkrip setiap temubual yang telah dilakukan. Setakat ini, pasukan itu telah berjaya menyiapkan 38 sesi transkrip daripada 48 sesi rakaman yang ada," kata Maszlee.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/11/29/pejuang-uec-rakus-nak-untung-tanpa-ubah-dasar-kok-seong-2/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo