'KPM kaji dahulu sebelum mansuh sains, sastera'


ALOR SETAR - PAS meminta kerajaan supaya menangguhkan syor pemansuhan aliran sains dan sastera membabitkan pelajar tingkatan empat sehingga kajian terperinci dilakukan.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melakukan kajian rintis mengenai syor terbabit bagi mendapatkan respons dan data meliputi keperluan jumlah guru terlatih, bilangan kaunselor berpengalaman, agihan waktu jadual mata pelajaran serta perkara berkaitan.

Menurutnya, ini termasuk pelaksanaan kajian khusus bersama agensi berkaitan, antaranya kajian jangkaan kesan sistem pendidikan masa depan dengan menyasarkan anggaran peratusan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu atau keperluan tenaga mahir bagi sektor penting negara.

“Ini kerana sebarang perubahan polisi pendidikan akan memberi impak besar pada masa hadapan, tentunya perubahan itu hendaklah selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.

Ahmad Fakhruddin berkata, sekiranya KPM terdesak mahu memperlihatkan kehebatan mengetengahkan idea baharu, mereka sewajarnya mewujudkan beberapa buah sekolah khas tanpa aliran tingkatan empat kerana kewujudan sekolah berkenaan bukan perkara baharu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“Syor pemansuhan aliran tingkatan empat sebenarnya adalah satu keputusan cukup besar. Biarlah ia dilaksanakan selepas memperolehi data lengkap daripada maklum balas dan maklumat semua aspek,” katanya.

Tegasnya, PAS bukan anti modenisasi, sebaliknya isu terbabit perlu diteliti sebelum melakukan perubahan.

Ahmad Fakhruddin turut membidas sikap gelojoh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang didakwa mendahului Menterinya, Dr Maszlee Malik dalam menggubal dasar pendidikan.

“Keputusan KPM edar surat pemansuhan ke sekolah seperti dinyatakan Nie Ching memperlihatkan sikap gelojoh beliau mengumumkan sesuatu keputusan dasar yang menyentuh hala tuju pendidikan negara.

Kenyataan beliau, membiarkan pihak sekolah mengambil keputusan ‘mengikut keupayaan atau pertimbangan setiap sekolah’ jelas menggambarkan KPM tidak serius dalam isu pendidikan,” katanya.

Menurutnya, banyak aspek teknikal pengurusan pendidikan di sekolah perlu disemak dan diperhalusi pentadbiran sekolah seperti penjadualan mata pelajaran, persediaan bilik darjah, kepakaran guru terlatih serta kelengkapan Alat Bantu Mengajar (ABM).

“Apakah Timbalan Menteri DAP ini faham kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran sekolah? Atau hanya berlagak seperti bos dan pandai mengarah sahaja tetapi tidak tahu apa yang diarahkan?,” katanya sinis.

Ahmad Fakhruddin berkata, sekiranya KPM boleh membentuk jawatankuasa khas bagi isu melibatkan komuniti kecil seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) inikan pula perubahan dasar melibatkan sebahagian besar pelajar dan sistem.

“Amat wajar KPM tubuhkan segera jawatankuasa dan lakukan kajian mendalam,” katanya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/58329/BERITA/Nasional/KPM-kaji-dahulu-sebelum-mansuh-sains-sastera
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget