NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kampung Baru: Kisah pengorbanan Sultan Selangor untuk orang Melayu




Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Rabiulawal 1441H, Khamis – Perkampungan Melayu tradisional seperti Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah hutan konkrit Kuala Lumpur perlu dipelihara keasliannya supaya kekal dalam lipatan sejarah negara.

Felo Penyelidikan Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Seni & Sains Sosial, Universiti Melaya (UM), Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali berkata, tanah berkenaan yang dikurniakan oleh Sultan Selangor, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Syah pada tahun 1899 mempunyai makna besar kepada orang Melayu, selain merupakan tinggalan warisan untuk generasi akan datang.

Bukan itu sahaja, kata beliau lagi, Kampung Baru juga menjadi tarikan kepada pelancong asing yang berminat untuk mengetahui sejarah negara ini.

"Kalau diperhatikan di sesetengah negara luar, di tengah-tengah kota mereka ada kampung, kampung tradisional, ia dibangun dengan sangat cantik.

"Tujuan dia adalah untuk pelancongan, katakan anda pergi ke luar negara, sudah tentu anda berminat nak tengok kampung tradisionalnya, nak tahu sejarahnya. Bukan lihat bangunan batu-bata semata-mata," katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Abdullah Zakaria berkata, bahkan Kampung Baru ini merupakan satu-satunya kampung Melayu dalam Kuala Lumpur sebelum ia berdepan dengan pembangunan pesat.

Justeru, beliau berkata, kerajaan sewajarnya memelihara Kampung Baru tanpa melenyapkan warisan lama miliknya demi memenuhi keperluan pembangunan.

Tanah Kampung Baru diwartakan pada 12 Januari 1900 dan kemudiannya ditadbir melalui enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) 1950.

Kampung Baru meliputi tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Wilayah Persekutuan memerlukan dana sehingga RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di kampung itu untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan bersepadu masyarakat Melayu di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, dana sebanyak itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Bagaimanapun, cadangan Khalid ditentang ramai pihak termasuk MAS sendiri yang tidak mahu tanah pemilik dan pewaris dijual untuk pembangunan yang tidak jelas hala tujunya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/11/21/kampung-baru-kisah-pengorbanan-sultan-selangor-untuk-orang-melayu/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo