Dunia Islam : Afghanistan Tanah Perkuburan Imperialis



oleh: YB Muhammad Khalil Abdul Hadi 

“ Graveyard of Empires” , inilah gelaran yang menjadi jolokan kepada negara Afghanistan yang menyebabkan mana-mana kuasa besar terpaksa berfikir dua kali untuk menyerang mahupun menakluknya. Afghanistan ialah sebuah negara yang terpencil di Dunia Islam kerana kemunduran dan kemiskinannya, akan tetapi menjadi kebanggaan kepada umat Islam kerana kemuliaan, semangat dan jati diri rakyatnya yang tidak tunduk kepada mana – mana pihak dan berkorban menentang setiap penceroboh yang cuba untuk menakluknya.

Afghanistan adalah sebuah negara unik dengan permukaan buminya yang bergunung – ganang dan sebahagian daripadanya adalah dataran kering yang luas serta menjadi igauan ngeri kepada penakluk-penakluknya yang bercita – cita besar dan dalam masa yang sama, keunikan penduduknya yang mempunyai latar belakang qabilah dan puak yang pelbagai menyukarkan lagi kuasa-kuasa penakluk untuk menyatupadukan mereka mahupun menakluki tanah air mereka.

Dalam sejarahnya yang panjang, hanya Islam yang berjaya menyatukan mereka sebagai satu ummah iaitu Iskandar Zulkarnain, seorang penguasa Islam yang adil sebelum zaman Nabi Muhammad SAW yang mana kisahnya diceritakan oleh Allah dalam Surah Al-Kahfi dan dan Saidina Umar Al-Khattab yang memulakan operasi pembukaan Khurasan ( Afghanistan, Iran dan Turkistan ).

Begitu juga dengan kisah bagaimana Islam mula bertapak pada akhir kurun ke lapan di bumi Afghanistan, bagaimana pedagang – pedagang Arab dan Islam daripada Parsi mula menyebarkan Islam ketika itu dari timur hingga ke barat negara tersebut yang memakan masa hampir 200 tahun untuk menjadikan Afghanistan sebagai sebahagian daripada Dunia Islam. Akhirnya pada ketika itu Yaqub ibnu Al Layth, seorang pedagang Parsi berjaya melengkapkan Afghanistan sebagai Dunia Islam apabila Kabul berjaya dibuka dan penduduknya diIslamkan.

Sejarah Afghanistan menyaksikan buminya menjadi tanah perkuburan imperialis British dan Soviet Union. Begitu juga di zaman dahulu, Afghanistan menjadi kubur kepada beberapa empayar seperti empayar Mongul dan empayar Safavid daripada Parsi. Sekarang ini bumi Afghanistan berada dalam jajahan Amerika Syarikat, adakah Amerika Syarikat akan menerima nasib yang sama sepertimana penjajah imperialis mahupun empayar terdahulu ? Sama – sama kita tunggu dan lihat bagaimana kesudahannya.

Afghanistan sebagai Tapak Perluasan Kuasa Di Asia Tengah dan Selatan.

Pada kurun ke 19, berlaku pertembungan di antara dua empayar besar dunia ketika itu iaitu di antara British dan Russia untuk meluaskan pengaruh diplomatik dan kekuasaan mereka di Asia Tengah dan Selatan. British yang ketika itu menjadi kuasa pemerintah di India dan juga bercita – cita meluaskan kekuasaannya ke Asia Selatan berusaha menghalang Russia dalam cubaannya untuk menakluk India dan memperluaskan kekuasaannya hingga ke Asia Tengah. Halangan British berjaya menyebabkan Russia terpaksa mencari kaedah lain untuk mencapai misinya.

British berjaya menghidu cubaan Russia untuk menyusup masuk ke Afghanistan dengan menggunakan negara tersebut sebagai tapak permulaan baru perluasaan kuasa mereka. Russia berjaya membuka serta mengadakan hubungan diplomatik dengan Dost Muhammad yang menjadi pemerintah Afghanistan ketika itu seterusnya membuka laluan kepada mereka dalam meneruskan agenda mereka. Tindakan Russia dan Afghanistan itu tidak disenangi oleh British dan menyebabkan berlakunya Perang Anglo – Afghan di antara British dan Afghanistan pada tahun 1839 – 1842.

Afghanistan era British

Pada 1839, British melancarkan serangan ke atas Afghanistan bagi melebarkan empayarnya di sebelah Asia Selatan yang berpusat di India dan dalam masa yang sama untuk menyekat kemaraan Russia. Seramai tidak kurang 20 ribu tentera British dan Gurkha India dihantar untuk melaksanakan misi tersebut. Setelah melalui perjalanan yang sukar di kawasan pergunungan, akhirnya mereka berjaya menakluk ibu kota Kabul tanpa sebarang tentangan. Dost Muhammad yang memerintah Afghanistan ketika itu digulingkan dan dilantik Shah Shuja, proksi British sebagai ketua kerajaan. Oleh kerana kerajaan pimpinan Shah Shuja tidak mempunyai pengaruh maka pihak British menggunakan alasan ini untuk mengekalkan dua briged tenteranya di Kabul di samping dua orang pegawai pentadbirnya iaitu Sir William McNaghten and Sir Alexander Burnes untuk membantu kerajaan Shah Shuja.

Tidak berapa lama selepas itu umat Islam Afghanistan bangkit dengan semangat jihad menghalau tentera British sehingga meletusnya kebangkitan pada tahun 1841 yang menyaksikan terbunuhnya Sir Alexander Burnes dan akhirnya British membuat keputusan untuk keluar dari Afghanistan. Ianya tidak terhenti di situ, bahkan tentera British diburu dan dibunuh satu persatu dan sebahagiannya mati akibat cuaca sejuk melampau. Apa yang menarik, daripada 16 ribu tentera British yang menakluk bumi Afghanistan itu, hanya seorang sahaja yang terselamat iaitu Dr. William Brydon yang dibiarkan hidup untuk pulang supaya menceritakan penderitaan tentera British yang dihalau keluar dari bumi Afghanistan.

Afghanistan era Soviet Union

Pada era Perang Dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union, Afghanistan menjadi medan utama pertembungan dua kuasa besar tersebut. Ia bermula apabila Soviet Union membuat keputusan untuk menakluk Afghanistan, bertujuan untuk menguasai laut lepas di samping faktor-faktor lain lagi bagi mengimbangi kuasa hegomoni Amerika Syarikat. Strategi ini tidak dapat dijayakan melainkan dengan menakluk Afghanistan dan diikuti seterusnya Pakistan sebagai jalan masuk untuk menguasai Lautan Hindi. Akhirnya pada tahun 1979 Soviet Union menghantar bala tenteranya ke Afghanistan dan dengan mudah menguasai ibu negara Kabul dengan bantuan proksi-proksinya dari kalangan pendokong komunisma.

Setelah berjaya menakluk Afghanistan, Soviet Union melantik Babrak Kamal seorang pendokong kuat komunis dan Russia sebagai pemerintah Afghanistan. Tindakan Russia menakhluk Afghanistan mendapat kecaman hebat OIC yang mengadakan resolusi menuntut tindakan segera supaya Soviet Union keluar dari Afghanistan tanpa sebarang syarat. PBB dalam masa sama mengadakan resolusi mengecam tidakan Soviet Union serta mengenakan sekatan ekonomi dan diplomatik diatas penaklukan tersebut. Tindakan tersebut menyebabkan Soviet Union memboikot Sukan Olimpik di Amerika Syarikat pada tahun 1984.

AS yang menyedari strategi ini bertindak menyekat kemaraan Soviet Union dengan mewujudkan proksi-proksinya di Pakistan yang antara lain mengambil langkah menyokong dan membantu kumpulan-kumpulan penentang Soviet Union yang menjadikan bandar Peshawar, Pakistan sebagai pengkalan. Kumpulan penentang yang menamakan diri mereka mujahidin bersama dengan tentera ketua puak dan qabilah akhirnya berjaya menumpaskan tentera Soviet Union setelah menentang habis – habisan penjajahan tersebut.

Soviet Union yang ketika itu dipimpin oleh Mikhail Gorbachev mengumumkan bahawa Soviet Union akan mengundurkan tentera mereka setelah berunding dengan kerajaan Afghansiatan. Akhirnya selepas 10 tahun menakluk Afghanistan dengan hampir dua juta rakyat Afghanistan terkorban dan jutaan lagi lari meninggalkan negara mereka, Soviet Union keluar dengan penuh hina pada bulan Februari 1989. Tindakan Soviet Union menakluk Afghanistan juga adalah penyebab utama keruntuhan kerajaan komunis Soviet Union serta berakhirnya juga “ cold war “ diantara Amerika Syarikat dan Soviet Union.

Afghanistan era Amerika Syarikat

Sudah genap 18 tahun Amerika Syarikat menakluk bumi Afghanistan dalam kempen Perang Menentang Keganasan yang diisytiharkan oleh George W. Bush sebagai respon kepada serangan pengganas ke atas World Trade Centre, New York dan bangunan Pentagon dalam peristiwa yang dikenali sebagai 9/11. Amerika Syarikat menuduh Osama bin Laden dan kumpulan Al-Qaeda miliknya bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Osama bin Laden yang pada ketika itu dilindungi oleh kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan menjadi buruan nombor satu kepada kuasa besar dunia Amerika Syarikat.
Amerika Syarikat menuntut supaya Osama bin Laden diserahkan dan kem-kem latihannya di Afghanistan ditutup, namun Taliban meletakkan syarat supaya dikemukakan bukti-bukti yang kukuh penglibatan Osama dan Al-Qaeda dalam serangan 9/11 tersebut. Amerika Syarikat menolak permintaan ini dengan alasan taktikal untuk melambatkan penyerahan bukti. Akhirnya pada tanggal 7 Oktober 2001, Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Afghanistan dalam operasi yang dinamakan Operation Enduring Freedom bertujuan untuk menghancurkan Osama bin Laden, Al-Qaeda dan Taliban.

Peperangan tersebut sebenarnya amat mudah sekali buat Amerika Syarikat kerana Taliban mahupun Al Qaeda tidak mampu menyaingi kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutunya yang mempunyai senjata peperangan yang moden dan terkini berbanding Taliban mahupun Al Qaeda yang yang rata – rata mereka mengguna senjata buatan Soviet Union yang di rampas ketika perang Afghanistan – Soviet Union pada tahun 1980an. Akhirnya kerajaan Taliban berjaya digulingkan, Osama bin Laden berjaya dibunuh setelah bertahun-tahun memburunya dan kumpulan Al-Qaeda dihapuskan.

Taliban yang memerintah Afghanistan ketika itu adalah kerajaan yang paling tidak berkemampuan di dunia dalam segenap sudut dan Afghanistan pula adalah di negara antara yang paling miskin dan terkebelakang di dunia berbanding Amerika Syarikat yang merupakan negara yang terkuat di dunia samada dari sudut ketenteraan, ekonomi dan teknologi. Namun begitu Taliban terus menghantui Amerika Syarikat walaupun Osama bin Laden telah dibunuh dan kumpulan Al-Qaeeda dihancurkan. Ia menjadi perang paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat dengan kos perbelanjaan yang cukup besar, kadar kematian tentera Amerika Syarikat yang cukup tinggi, strategi ketenteraan yang kucar kacir serta polisi peperangan dan luar negara yang menghancurkan reputasi Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia.

Sekarang Amerika Syarikat sedang berusaha untuk berunding dengan Taliban sebagai strategi jalan keluar Amerika Syarikat daripada konflik Afghanistan dan menutup kegagalan polisi mahupun strategi mereka. Beberapa minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengumumkan bahawa akan diadakan satu majlis menandatangi penjanjian damai di antara Amerika Syarikat, Taliban dan Kerajaan Afghanistan di Camp David, Maryland, Amerika Syarikat. Rata – rata sekutu Amerika Syarikat mahupun penyokong Donald Trump seperti sudah nampak jelas Amerika Syarikat telah temui jalan keluar dari Afghanistan.

Antara kandungan terma-terma kedua-dua pihak dalam perundingan itu ialah Amerika Syarikat hendaklah mengundurkan kesemua tenteranya dari bumi Afghanistan dan Taliban pula mesti berjanji untuk tidak melindungi dan menempatkan kumpulan-kumpulan jihad yang memusuhi Amerika Syarikat. Amerika Syarikat bersetuju dengan terma ini tetapi meletakkan syarat untuk mengekalkan beberapa pengkalan tenteranya bagi memastikan Taliban melaksanakan janjinya namun Taliban menolak syarat yang diletakkan Amerika Syarikat .

Donald Trump akhirnya membatalkan cadangan perjanjian damai tersebut dan memecat Penasihat Keselamatan Negara, John R. Bolton setelah bercanggah pendapat dengan beliau dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo berkenaan pelan damai Amerika Syarikat dan Taliban. Jelasnya, Amerika Syarikat telah gagal di Afghanistan, begitu juga dengan Soviet Union dahulu ketika berimpian untuk berperang seterusnya menakhluki Afghanistan. Afghanistan sebenarnya menjadi iguan ngeri kuasa – kuasa besar dunia di mana Amerika Syarikat menjadi kuasa besar terbaru yang bakal tumbang dan berkubur di sana insyaallah.

Sejurus Donald Trump mengumumkan pembatalan tersebut, Taliban kembali menyerang kedudukan tentera Amerika Syarikat dan Kabul. Angka korban tentera Amerika Syarikat kembali meningkat dan ternyata Amerika Syarikat gagal dalam menilai polisi geopolitik antarabangsa dan peperangan tersebut dalam jangka masa panjang. Amerika Syarikat telah tidak lagi dipandang sebagai kuasa besar dunia malah sudah tidak lagi dihormati mahupun digeruni. Apa yang pasti, peperangan tersebut telah menghancurkan Afghanistan samada dari sudut ekonomi, infrastruktur dan masa depan rakyatnya.

Ketika inilah sepatutnya Dunia Islam harus mengambil tanggungjawab dan inisiatif dalam menyelesaikan kemelut di Afghanistan yang telah berlarutan sejak sekian lama. Dunia Islam seharusnya mengambil peranan yang aktif dalam mendamaikan pihak yang berseteru di Afghanistan serta membantu membangunkan kembali Afghanistan. Dunia Islam perlu berubah dalam mendepani cabaran global dan geopolitik terkini. Islam wajar diangkat kembali sebagai asas kehidupan dan persaudaraan dan jika itu mampu dilakukan maka tidak mustahil Dunia Islam akan kembali bersinar dan gemilang.

Islam Memimpin.

*YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget