NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manfaat teknologi secara bijak, elak ketagih siber



MEDIA sosial dan teknologi mengubah cara manusia berinteraksi. Kini jarak dan tempat tidak lagi menjadi halangan untuk berhubung.

Dengan hanya satu klik, jaringan interaksi sosial maya membolehkan anda terhubung dengan orang lain tanpa mengira waktu. Penggunaan teknologi moden mengubah persekitaran, termasuk dalam soal perkembangan anak.

Berbeza generasi terdahulu yang hanya mengenal gajet dan teknologi pada usia dewasa, anak kita mungkin terdedah penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer sejak usia setahun jagung lagi.

Pernahkah anda melihat situasi kanak-kanak dua tahun menangis terjerit-jerit meminta telefon bimbit atau gajet daripada ibu bapa atau adik-beradik lain? Rasanya ramai pernah mengalami situasi ini, terutama bagi ibu bapa muda.

Segelintir ibu bapa memberikan gajet kepada anak bagi mengelakkan mereka merengek. Situasi begini boleh dilihat di mana-mana saja. Malah ada kanak-kanak kecil sudah memiliki telefon sendiri, dibeli ibu atau bapa.

Manfaat teknologi secara bijak, elak ketagih siber

Senario ini sebenarnya membimbangkan. Benar gajet boleh ‘mendiamkan’ dan melekakan kanak-kanak, namun menyedihkan ia juga menyebabkan mereka tidak mengendahkan keadaan sekeliling.

Fenomena ini tidak sihat, namun sesetengah ibu bapa tidak kisah kerana gajet boleh membuatkan anak mereka duduk diam dan memudahkan ibu bapa melakukan kerja masing-masing. Malah, ada ibu bapa sendiri turut leka dengan gajet.

Pada zaman sekarang, bukan lagi pelik jika kanak-kanak atau remaja lebih mahir menggunakan gajet berbanding orang dewasa.

Mendedahkan anak kepada gajet dalam masa lama boleh mencetuskan bahaya, terutama kerosakan pada mata. Mereka juga kurang berhubungan dengan orang di sekeliling.

Ketaasuban kepada gajet dalam kalangan kanak-kanak ini turut disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bimbang dengan tabiat masyarakat yang terlalu bergantung kepada teknologi dan media sosial sehinggakan kanak-kanak seawal usia dua tahun sudah didedahkan dengan gajet seperti telefon pintar.

Kelekaan menggunakan teknologi akan mendorong masyarakat untuk tidak lagi bergantung kepada komunikasi alam nyata, sekali gus memberi kesan buruk terhadap hubungan antara individu terutama sesama anggota keluarga.

Kita sering melihat sekelompok remaja atau sekumpulan individu dewasa yang terdiri daripada rakan taulan atau satu keluarga yang duduk bersama-sama, tetapi tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

Mereka asyik menggunakan gajet dan peranti digital masing-masing. Amat merugikan apabila detik bermakna tidak dimanfaat sepenuhnya. Masing-masing buat hal sendiri.

Situasi sama juga sering dilihat di restoran atau kedai makan yang mana ahli keluarga duduk satu meja, tetapi sibuk melayan ‘sahabat maya’ masing-masing.

Individu yang menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan internet untuk sesuatu perkara tiada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran bakal mengundang pelbagai masalah.

Ibu bapa yang memberikan telefon pintar untuk mendiamkan anak kecil mereka berisiko menyebabkan si kecil ketagihan gajet pada masa akan datang.

Oleh itu, wajarlah kempen kawalan penggunaan gajet dan keluarga bijak siber diperluas bagi mengekang anak terdedah pelbagai perkara negatif yang boleh dicapai melalui sentuhan hujung jari ke skrin telefon atau tablet.

Memang kita tidak mahu anak ketinggalan dunia teknologi maklumat, tetapi berpada-pada. Jangan sudahnya ia mengundang padah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo