NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UniSZA lancar pelan strategik sebagai Universiti Islam Integrasi Kontemporari


Oleh Mohd Aizat Shamsuddin
mohdaizat@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal melancarkan pelan strategik 2020-2022 dengan visi baharu sebagai Universiti Islam Integrasi Kontemporari.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata menerusi pelan strategik ini misi universiti adalah untuk melahirkan insan holistik dengan nilai naseem melalui pendidikan cemerlang dan penyelidikan berimpak tinggi.

“Visi dan misi baharu ini pada hakikatnya bukanah sesuatu yang baharu kerana ia mendukung roh perjuangan UniSZA selama hampir 40 tahun, berteraskan lapan nilai teras yang terkandung lapan kelompok utama pada logo UniSZA.

“Kesemua nilai teras utama ini dinamakan Neseem yang memberi makna hembusan bayu yang lembut. Dalam bentuk metafora, hembusan bayu lembut tidak bermaksud lemah tapi nyaman dan dingin yang dapat dirasai kehadirannya.

“Seumpama Naseem, kehadiran UniSZA bersifat Rahmatan Lil Alamin, berupaya mendamai lingkungan, berperanan memberi manfaat dan meninggalkan dampak positif kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis Santapan Malam Sempena Majlis Idul Ilmi Konvensyen ke-11 UniSZA, yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Tuanku Canselor UniSZA.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada majlis sama , Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan hadiah kepada dua pelajar yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu Wan Alif Asyraf Wan Nor Ruddin dan Mohd Aswan Mohd Amin.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan menerima sumbangan tabung wakaf UniSZA daripada agensi kerajaan dan perbankan.

Hassan Basri berkata, menjadikan antara strategi universiti untuk memperkasakan wakaf kerana kebergantungan sepenuhnya kewangan kepada geran kerajaan sudah ditelan zaman.

“Realiti ini ternyata memacu universiti untuk menerokai pelbagai ruang strategi demi kelangsungan pendidikan tinggi dan usaha yang digerakkan hampir tiga tahun ini memanfaatkan hampir 3,000 penerima menerusi 70 aktiviti agihan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/10/617355/unisza-lancar-pelan-strategik-sebagai-universiti-islam-integrasi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo