NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMMAH hantar memorandum jika masih tak pecat Tommy




BANGI, 2 Safar 1441H, Selasa – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sekali lagi mendesak Tommy Thomas meletak jawatan, selepas kredibilitinya sebagai Peguam Negara tercalar.

Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya berkata, sekiranya Tommy gagal berbuat demikian, maka sewajarnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Peguam Negara itu.

"Kita akan hantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja jika masih tiada tindakan daripada kerajaan. Dalam kes ini kita mahu kerajaan bertindak serius.. ini satu tragedi.

"Kalau kerajaan tidak ambil tindakan, kredibiliti mereka akan terjejas teruk," katanya ketika sidang media di ibu negara, hari ini.

Selain itu, Aminuddin yang juga Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, terlalu banyak kelemahan Tommy yang menjadi punca beliau perlu meletakkan jawatan.

Ia termasuk mencampuri urusan mahkamah, apabila mengemukakan afidavit yang akhirnya terbukti bertentangan dengan keputusan inkues.

Katanya, tuduhan terhadap Tommy adalah kali pertama dalam sejarah apabila Peguam Negara telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mengganggu inkues.

"Campur tangan Tommy juga membuktikan seolah-olah ada niat jahat dari pihak beliau, di mana beliau ingin memastikan keputusan inkues akan memihak kepada pandangan beliau.

"…seperti yang terkandung dalam afidavit yang dikemukakan iaitu dengan mendakwa bahawa kematian Adib akibat dilanggar kenderaan, bukan disebabkan oleh pembunuhan atau criminal act," katanya.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, pembabitan Tommmy di dalam prosiding inkues membuktikan lagi bahawa beliau bukanlah seorang yang kompeten untuk mengendalikan kes-kes jenayah.

"Ini seterusnya mengakibatkan kes Adib terpaksa mengalami proses inkues yang begitu lama dan menjadi trauma kepada keluarga Allahyarham Adib.

"Rakyat juga bimbang dengan ketidakcekapan beliau akan mengakibatkan banyak lagi kes-kes jenayah yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya.

Selain itu, katanya, hakim telah mengarahkan Peguam Negara dan polis untuk mengambil tindakan selepas keputusan inkues dikeluarkan kerana terdapat unsur-unsur jenayah dalam kematian Adib.

"Namun, keberadaan Tommy dalam jawatan berkenaan dibimbangi itu tidak akan mendapat keadilan sewajarnya.

"Jika sebelum ini beliau pernah mencampuri proses inkues, maka kemungkinan besar beliau juga akan menganggu gugat ketika proses pendakwaan kelak," katanya.

27 Ogos lalu, keluarga Adib memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadap Tommy Thomas berhubung punca kematian anggota bomba itu tahun lalu.

Koroner, Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan oleh ayah Adib, Mohd Kassim.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, mahkamah mendapati wujud prima facie atas imbangan keberangkatan.

"Inkues berkenaan boleh sahaja dianggap sebagai hanya satu lakonan atau permainan wayang dan satu proses 'rubber stamping' sahaja kepada kedudukan yang telah diambil oleh Peguam Negara," kata Rofiah.

Tommy didakwa membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Dia juga didakwa telah campur tangan salah dalam pelaksanaan keadilan ('unlawful interference in the cause of justice').

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/10/01/ummah-hantar-memorandum-jika-masih-tak-pecat-tommy/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo