Kongres Muafakat NGO Terengganu: Apa guna teknologi tinggi jika tidak kenal Ilahi



TEKS UCAPAN KLUSTER MEDIA
KONGRES MUAFAKAT NGO TERENGGANU
17 OKTOBER 2019



Bismillahirrahmanirrahim

Tweet tweet si burung tempua,
Tweet tweet di alam maya,
Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera,
Izinkan Kluster MEDIA membuka bicara.

1. Media merupakan platform kepada komunikasi, penyebaran maklumat, propaganda dan sebagainya. Apatah lagi pada abad ini, kemunculan media baru dianggap lebih mainstream atau dominan berbanding media konvensional.

2. Dalam sektor media, kita berhadapan dengan dua cabaran terbesar, iaitu Revolusi Industri 4.0 dan Post-Truth atau Pasca-Fakta yang sedang rancak diperkata.

3. Revolusi Industri 4.0 mencabar kita memanfaatkan teknologi digital dalam semua bidang yang mendorong automasi dan pertukaran data selari berkembangnya Artificial Intelligence, Internet of Things (IoT), Dataraya, Human-Machine Interface, Mobile Technology (5G), Robotik dan Bioteknologi.

4. Begitu juga, kemunculan Data Raya meletakkan siapa pemilik data terbesar, dialah menguasai dunia.

5. Artificial Intelligence (AI), menjadi antara cabaran besar kepada media. Malaysia merupakan negara ke-9 paling aktif dalam penggunaan media sosial, negara kelima paling ramai menggunakan e-dagang dan menyumbang 79 peratus atau 25 juta pengguna internet.
(Data ini adalah hasil laporan digital 2018 yang dikeluarkan oleh Hootsuit dan We Are Social.)

6. Justeru di kesempatan ini kami mengucapkan TAHNIAH buat Kerajaan Negeri Terengganu di atas usaha meneraju kerajaan digital.

7. Saya mengambil peluang ini memuji kerajaan negeri menempatkan pegawai-pegawai media di setiap DUN dan Parlimen. Ini membuktikan kerajaan memahami pentingnya media.

8. Walau bagaimanapun kemahiran dan latihan berterusan mesti digerakkan bagi memastikan mereka terus berfungsi secara efektif.

9. Melihat besarnya peranan ini, Kluster Media telah sebulat suara membuat gesaan kepada kerajaan, sebagaimana berikut.

Komponen Kerajaan Negeri

Pertama
1. Kerajaan Negeri digesa agar mewujudkan pusat sehenti maklumat rasmi kerajaan yang boleh dijadikan rujukan cepat dan tepat secara fizikal dan maya.

2. Justeru, pemerkasaan media baru dalam memberi respon harus dilakukan. Media elektronik seperti Instagram, YouTube, Facebook, Twitter, e-mail, TV Maya dan e-Majalah perlu diperkasa seiring dengan media cetak seperti akhbar, buletin, buku dan majalah.

3. Dalam era Pasca Fakta (Post Truth) yang diiktiraf oleh Kamus Oxford sebagai Word of The Year pada tahun 2016 sebagai fenomena atau bencana kepada rasionaliti manusia. Kegagalan penyampaian maklumat yang tepat dibimbangi membangkitkan isu-isu tular yang seterusnya menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan.

4. Penyediaan infrastruktur, platform dan software juga perlu. Revolusi Industri 4.0 dipacukan oleh teknologi pintar, koneksi berkepantasan tinggi, pengkomputeran awanan, Internet of Things dan sebagainya, maka kepantasan capaian harus mencukupi.

5. Sebagai contoh, dalam kita berbicara tentang jalur lebar 5G, masih ada daerah-daerah di terengganu yang belum mempunyai hatta 1G. Kawasan-kawasan pulau misalnya yang merupakan kawasan pelancongan, memberi ketidakselesaan kepada pelancong, bimbang mencipta riak-riak gelombang post truth.

6. Apatah lagi, dalam era ini, emosi mengatasi fakta. Lebih parah, akar kepada Post-Truth adalah popularisme yang datang dalam pakej media baru. Berita palsu yang menyentuh emosi mudah disebar dan dipercaya, bahkan lebih teruk, menatijahkan keputusan yang silap.


Kedua

1. Pihak kerajaan perlu mengambil sikap progresif dan responsif di dalam hal ehwal pengurusan. Banyak rungutan daripada masyarakat berkait kegagalan agensi kerajaan menyelaras permohonan-permohonan rakyat.

2. Bukan setakat status terima atau tolak yang rakyat perlu tahu, status perjalanan permohonan juga harus transparent dan boleh dikesan samada berada di stesen mana.

3. Pembinaan aplikasi-aplikasi berasaskan teknologi pintar terhadap prosedur dan perjalanan ini justeru harus digiatkan.

Ketiga

1. Kami juga menyarankan agar kerajaan turut membangunkan ekosistem inovasi sebagai salah satu langkah strategik dalam mengimplementasi Revolusi Industri 4.0.

2. Untuk itu, cara kerja yang kohesif melibatkan kolaborasi antara jaringan kerajaan, ahli akademik dan pemain industri perlu dibangunkan.

3. Penyelidikan saintifik, inovasi, pembangunan paten, pembinaan aplikasi-aplikasi hingga ke peringkat komersialisasi harus dilakukan bersama-sama secara sinergistik dan pintar.

4. Justeru penyediaan ekosistem triple helix sebegini mampu membangun inovasi serta ekonomi yang memberi faedah buat rakyat terbanyak.

Keempat

1. Kerajaan disaran agar membangunkan sikap dan karakter mulia, jatidiri, pengetahuan dan kemampuan beradaptasi pada rakyat. Perkara seperti ini takkan terganti oleh mesin ataupun robot.

2. Rakyat harus mampu mengurus diri menjadi pelaku perubahan, bukan objek perubahan, pengguna cerdas teknologi, bukan korban teknologi.

3. Penerimaan berita pasca benar Post truth, melayani laman-laman jijik pornografi dan mensia-siakan waktu dengan bermain games, melawati laman-laman sosial serta kandungan-kandungan media yang tidak berkualiti yang adiktif, sebenarnya meninggalkan pesan-pesan tentang bias kognitif.

4. Justeru, kerajaan disaran agar meningkatkan kadar literasi dan literasi digital rakyat bagi menyongsong arus teknologi yang deras.

5. Wacana-wacana ilmu bersifat fizikal mahupun maya perlu diaktifkan yang mana akan meningkatkan kecerdasan dan mentaliti rakyat seterusnya memacu peradaban dan ketamadunan bangsa.

6. Janganlah kita menjadi umpama tikus-tikus yang membina bangunan. Apabila siap sahaja bangunan dibina oleh tikus-tikus, tikus-tikus itu jualah yang menggigit dan seterusnya runtuhlah bangunan tersebut.

7. Sistem e-learning yang menjadikan rakyat sebagai pelanggan ilmu yang boleh mengakses mana-mana perpustakaan di seluruh dunia mampu meningkatkan kompetensi diri, bahkan memicu kemajuan negara.

8. Namun, jangan dilupa pada agama. Tanpa agama, pincanglah segala.

9. Intervensi dan afirmasi Al-Quran, solat serta ritual dan spiritual agama perlu diintegrasikan dengan teknologi digital melalui aplikasi-aplikasi dan sebagainya.

10. Lantunan irama Al-Quran yang bertindak sebagai ‘enriched environment’ dalam meningkatkan daya intelektual, konsentrasi, kebolehan berfikir, motivasi, proses membuat keputusan dan merancang di samping memberi ketenangan dari ribut informasi diyakini mampu meningkatkan upaya menapis berita-berita pasca fakta.

11. Sekaligus memacu rakyat menjadi pengemudi teknologi pintar.

12. Ritma Al-Quran mampu mengalih kesan adiktif teknologi kepada rindu aras tinggi kepada Allah s.w.t jika kempen-kempen dilaksana dengan sinergistik menghubungkan ahli agama, media dan kerajaan.

13. Justeru kita berharap, wawasan Terengganu Maju Berkat Sejahtera serta kerajaan digital terengganu mampu tercapai.


Komponen NGO

1. NGO mesti membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasarnya dengan menyampaikan informasi melalui media yang dinamis dan kreatif.

2. Video pendek misalnya, dapat memberi penerangan yang ringkas dan menarik mengenai perlaksanaan sesuatu dasar kerajaan.

3. Di samping itu, NGO perlu tampil menyampaikan suara-suara rakyat dalam segmen masing-masing kepada kerajaan.

4. Kesepaduan yang baik dan saling memberi antara kerajaan dan NGO mampu mendokong proses adaptasi rakyat berdepan Revolusi Industri 4.0.

Ketiga, Rakyat

1. Sebagai rakyat, kebijaksanaan media menuntut rakyat beradaptasi secara pantas. Rakyat juga perlu menebalkan iman serta jatidiri supaya tidak mudah melatah apabila menerima sebarang maklumat. Berita yang diterima harus dinilai dengan bijaksana.

2. Rakyat perlu bersedia secara mental dan fizikal supaya teknologi pintar ini memberi nilai buat diri, keluarga dan negara.


Penutup

Sebagai penutup, saya mewakili Kluster Media, dengan ini menegaskan serta mengharapkan sokongan dan tindakan dari komponen-komponen terlibat untuk bersama-sama memperkasakan Negeri Terengganu Darul Iman.

Apa guna Facebook dan ICT,
Jika tiada infra dan Unifi,
Apa guna berteknologi tinggi,
Jika tidak kenal Ilahi.


Aqulu qauli haza wa astaghfirullahal azhim.
Assalamualaikum wbt.

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget