Teks penuh ucapan YB Ahmad Fadhli Bin Shaari (Kluster Agama) di Kongres Maruah Melayu.


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Sang rerama terbangnya rapat
Hinggap di huma di tengah sawah
Kluster Agama Mengambil tempat
Kerana Agama Melayu Bermaruah

RESOLUSI KLUSTER AGAMA

ISLAM SEBAGAI AGAMA BAGI PERSEKUTUAN



Saya akan membacakan resolusi kluster agama Persidangan Meja Bulat pada 23 dan 24 September 2019 di Hotel Tenera Bangi dihadiri oleh pelbagai NGO Islam dan figura Muslim yang dihormati.

Bahawasanya kami para peserta Persidangan Meja Bulat “Islam Agama Bagi Persekutuan” menyampaikan resolusi ini dengan penuh keinsafan bahawa agama kami, iaitu agama Islam di tanahair kami ini semakin hari semakin diancam dan diperkotak-katikkan oleh pelbagai pihak. Resolusi kami ini mengambil kira bahawa:

Pertama, Agama Islam telah sekian lama, berabad-abad lamanya, menjadi panduan dan cara hidup bernegara di tanahair kita ini;

Kedua, Agama Islam telah diangkat sebagai Agama bagi Persekutuan dan menjadi sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan;

Ketiga, Islam adalah agama bagi negeri-negeri dan diisytiharkan di dalam hampir semua Undang-Undang Tubuh Negeri;

Keempat, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah berhak dan bertanggungjawab, pada setiap masa, memelihara agama Islam sebagaimana dimasyhurkan dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh negeri masing-masing;

Kelima, Kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah komuniti lain adalah termaktub dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan;

Keenam, Kemuliaan dan kedudukan tinggi Raja-Raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong sebagai Kuasa Eksekutif sebenar (Perkara 39), Ketua Agama Islam (Perkara 3), Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera (Perkara 41) di dalam mempertahankan kedudukan agama Islam di Malaysia;

JUSTERU, berteraskan kepada jatidiri yang kukuh, tegas dan benar serta bertaqwa, dengan petunjuk dari Rasullullah SAW sepertimana yang terdapat di dalam Al Quran dan Al Sunnah serta sumber lain yang muktabar,

MAKA Kami dengan tegas mendesak pemimpin tanahair ini, secara khusus, serta umat Islam, secara keseluruhannya, supaya bersikap proaktif dalam segala hal melibatkan Islam; tidak sekadar bersikap reaktif terhadap isu-isu Islam yang dibangkitkan oleh orang lain. Kerajaan juga hendaklah bertindak mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama negara dan menjadikan Islam sebagai cara hidup bernegara.

Pihak Kerajaan dan umat Islam hendaklah membina swadaya bangsa Melayu berteraskan Islam ahli sunnah wal jamaah yang sudah menjadi jatidiri negara sejak sekian lama. Adapun fahaman-fahaman yang merosakkan seperti Syiah dan lain-lain adalah fahaman yang perlu dielakkan dari disebarkan dan dianuti terutamanya oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi di negara ini.

Hak yang telah dijamin dan dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi lambang kemerdekaan dan kedaulatan tanahair ini MESTI dipertahankan!

Membujur lalu melintang patah, di mana bumi dipijak, di situ Islam dijunjung.

JUSTERU, kami dengan ini mendesak dan menuntut supaya kerajaan bertindak tegas dalam perkara-perkara berikut:

1. Meminda Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan mengisytiharkan bahawa “Islam bermazhab Ahli Sunnah wal-Jama’ah adalah doktrin dan kepercayaan bagi Persekutuan”

2. Memasukkan Perkara 3(1A) dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan bahawa “Islam bermazhab Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah satu-satunya cara hidup bernegara dan semua polisi, undang-undang dan amalan hendaklah berasaskan kepada fahaman Ahli Sunnah wal-Jamaáh.

3. Jawatan utama kepemimpinan negara dan negeri, iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, serta kementerian penting seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri hendaklah diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam serta beraliran ahli Sunnah wal-Jama’ah. Begitu jugalah jawatan penting lain seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan lain-lain jawatan strategik hendaklah digalas oleh muslim beraliran ahli Sunnah wal-Jama’ah.

4. Menteri yang dilantik bagi menjaga hal ehwal agama Islam dan Ahli Mesyuarat Negeri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama bagi negeri hendaklah dari kalangan orang Islam yang dihormati, berilmu dan menuruti fahaman ahl Sunnah wal-Jama’ah, mempunyai prestasi cemerlang serta tidak terpengaruh dengan doktrin/fahaman yang mengelirukan dan terpesong ataupun bersikap apologetik kepada orang bukan Islam yang tidak menghormati agama Islam serta golongan liberal agama.

5. Institusi Islam hendaklah diperkasa sehingga menjadi institusi yang cekap dan amanah serta dianggotai oleh orang Islam yang benar-benar layak serta dipantau oleh pemimpin Muslim yang dihormati dari kalangan alim ulama muktabar serta tokoh Muslim yang disegani.

6. Memartabatkan Mahkamah Syariah dengan memasukkan penubuhan dan organisasi Mahkamah Syariah di dalam Undang-Undang Tubuh semua negeri, mempunyai hirerki sama seperti Mahkamah Sivil dan memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dari segi hukuman dan agama pihak-pihak. Seterusnya, kebebasan Mahkamah Syariah hendaklah dijamin oleh Undang-Undang Tubuh di negeri-negeri. Saraan Hakim di Mahkamah Syariah hendaklah juga sebagaimana dinikmati oleh Hakim Mahkamah Sivil.

7. Mendesak SUHAKAM, Majlis Peguam, NGO liberal dan badan lain tidak mencampuri urusan agama Islam dengan bertopengkan kepada hak asasi manusia.

8. Memastikan kepercayaan dan doktrin yang bertentangan dengan Islam termasuk liberalisme dan pluralisme agama serta sekularisme dan hedonisme disekat sepenuhnya dari disebar kepada orang Islam. Tiada kompromi lagi kepada mereka yang menghina agama Islam ataupun bagi mereka yang tidak menghormati agama Islam.

9. JAKIM hendaklah memperbetulkan konsep rahmatan lil alamin dan hifz ad din dengan mengambilkira pandangan ulama yang muktabar dari kalangan ahli Sunnah wal jamaah.

10. Memperkukuh institusi fatwa di bawah naungan raja-raja menerusi Majlis Raja-Raja dengan mempastikan para mufti serta Jawatankuasa Fatwa negeri-negeri semuanya mencapai persetujuan sehingga dapat menyeragamkan, terutamanya fatwa-fatwa yang mempunyai kepentingan nasional.

11. Mengkaji semula dengan tujuan memperkasa pendidikan Islam pada semua peringkat; peringkat awal, menengah dan peringkat tinggi. Pendidikan Islam hendaklah memberikan pendedahan pendidikan awal kepada pelajar beragama Islam berkaitan akidah, serta pengukuhan keimanan – pendidikan Islam walaubagaimana pun bukan sahaja amalan ritual seperti solat, qurban dan makanan halal tetapi pendidikan Islam hendaklah menekankan ilmu Islam yang dapat dijiwai oleh umat Islam pada semua peringkat, sama ada kanak-kanak, remaja atau belia dan dewasa.

12. Membenarkan anutan dan amalan agama lain dilakukan oleh orang bukan Islam selagi mana ia tidak menjejaskan aman dan harmoni kepada negara sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta tidak mencabar sensitiviti agama umat Islam;

13. Menyedari tentang kesyumulan Islam, Kerajaan hendaklah memberi perhatian dalam memaju dan mengukuh kedudukan umat Islam bukan Melayu. Kerajaan hendaklah menyokong penubuhan masjid-masjid atau pusat-pusat komuniti beridentitikan komuniti tersebut untuk pemerkasaan agama Islam.

14. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai satu-satunya medium rasmi Kerajaan serta menghapuskan istilah Bahasa Malaysia dan kembali kepada penggunaan istilah Bahasa Melayu sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

15. Memperluaskan peranan masjid sebagai pusat ukhuwah umat Islam, pusat ekonomi dan pendidikan serta sosial dengan mendekatkan golongan remaja/belia, wanita dan orang tua ke masjid.

16. Membenarkan amalan perubatan Islam diberi tempat dan ruang di Hospital Kerajaan berdasarkan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) sepertimana rawatan tradisional dan komplementari yang lain.

PENUTUP

Setelah menelusuri semua isu dan ancaman terhadap agama Islam, walaupun disebut sebagai agama bagi Persekutuan, Pihak Kerajaan digesa supaya mengambil tindakan-tindakan segera dan tuntas bagi memastikan makna Islam sebagai agama Persekutuan itu dilaksanakan sepenuhnya. Kerajaan hendaklah, pada setiap masa mempertahankan agama Islam dalam segala aspek, dari segi akidah, Syariah - ajaran serta amalan dan juga syiarnya secara menyeluruh. Kerana sesungguhnya hanya Islam yang menjadi penyelesai kepada segala kemelut yang dihadapi oleh manusia, firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 59 :

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Kupu malam di dahan mengkudu
Buah mempelam jual di kuala
Dengan Islam kita berpadu
Tanpa Islam tenggelamlah segala

Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget