NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK 165 Tanjung Piai : Zahid bayang Umno bertanding


Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi bayangan parti itu bakal bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 Nov depan.

Berucap merasmikan Konvensyen Umno Johor, di Johor Bahru hari ini, Ahmad Zahid berkata pengundi Melayu di kawasan berkenaan mahukan perubahan di kawasan tersebut.

"Ya, kerusi tradisi adalah kerusi MCA. Kita tahu bahawa 56.9 peratus atau hampir 57 peratus daripada pengundi Tanjung Piai adalah orang Melayu.

"Umno dan orang Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan. Namun, MCA juga mahu mengekalkan tradisinya. Tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati, MCA dapat berlapang dada kan," katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk Ir Hasni Mohamad dan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong.

Ditanya pemberita maksud di sebalik MCA perlu berlapang dada itu selepas majlis perasmian berkenaan, Ahmad Zahid berkata: “MCA sentiasa berlapang dada sama seperti MIC di PRK Cameron Highlands.”

Ahmad Zahid dalam ucapannya, turut mengumumkan Hasni sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Tanjung Piai manakala Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Jefridin Atan sebagai pengarah operasi.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang merupakan PRK kesembilan selepas PRU ke-14 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas, berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU ke-14, Dr Md Farid yang merupakan seorang pakar bius dan timbalan ketua Bersatu Tanjung Piai memenangi kerusi parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

-Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo