Peperangan Di Sempadan Turki-Syria: Apa di Sebaliknya ?


oleh:  YB Muhammad Khalil Abdul Hadi

Ketika artikel ini ditulis, Amerika Syarikat dan Turki baru sahaja memeteraikan ‘perjanjian gencatan senjata’ antara tentera Turki dan tentera pemberontak Kurdis ( YPG ) selama 120 jam bagi memberi laluan kepada YPG untuk berundur setelah seminggu meriam-meriam tentera Turki membedil kedudukan YPG di sempadan Turki – Syria. Objektif utama tentera Turki dalam operasi ketenteraan ini ialah untuk menguasai sekurang-kurangnya 30km bumi Syria yang berada di sepanjang garis sempadan Turki dan 480km memanjang dari Manbaj, sebuah bandar di Timur Laut Aleppo sehingga ke sempadan Iraq. Perang sudah pun memasuki minggu kedua namun masih belum menemui jalan penyelesaian.

Sebelum diulas dengan lebih lanjut konflik yang sedang berlaku ini, ianya perlu dilihat dalam kerangka yang luas dan mendalam. Bukan sahaja ianya pertelingkahan antara Turki dan pemberontak YPG, lebih jauh lagi pertembungan antara Sunni dan Syiah malah ianya lebih daripada itu.

Syria menjadi medan pertembungan kuasa-kuasa besar dunia dan rantau Asia Barat yang masing - masing mempunyai kepentingan tersendiri. Amerika Syarikat mempunyai kepentingan untuk menjaga keselamatan Israel serta sumber minyak dan gas melalui ‘sokongan’ kepada ISIS diperingkat awalnya, namun akhirnya memakan diri dan seterusnya berpakat dengan pemberontak YPG untuk menghapuskan ISIS. Iran pula menyokong regim Basyar Al-Asad, matlamatnya untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria hanyalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang menjadi sekutunya dan menjadi jambatan antaranya dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menentang Israel.

Russia juga menyokong regim Basyar Al -Asad, matlamatnya untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat. Setakat ini strategi Russia begitu berjaya sekali apabila diberikan keizinan membuka pengkalan tentera lautnya yang dibina di Tortuz, Syria ( Satu - satunya pengkalan tentera laut Russia yang berada di laut lepas di Asia Barat). Manakala Turki pula matlamatnya ialah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdish, namun berada dalam keadaan serba salah. Peringkat awalnya Turki menyokong perjuangan untuk menjatuhkan regim Basyar Al -Asad yang selari dengan kehendak Amerika Syarikat dan Israel, namun lama kelamaan Turki menyedari permainan jahat Amerika Syarikat dan Israel yang menikamnya dari belakang dengan menyokong YPG. Dari situlah bermulanya halatuju baru Turki hingga tercetusnya perang yang berlaku sekarang.

Siapa YPG ?

Bangsa Kurdis tidak mempunyai negara yang khusus, mereka hidup di sempadan Iran, Iraq, Syria dan Turki. Kebanyakan mereka diterima sebagai rakyat dan hidup dalam masyarakat majmuk di negara-negara yang tersebut di atas. Namun begitu terdapat perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara merdeka untuk bangsa Kurdis samada dengan jalan demokrasi mahupun persenjataan. Sempadannya daripada Turki di Utara sehingga Iran di Selatan. Justeru itu terbentuklah rangkaian pejuang-pejuang Kurdis dengan nama-nama yang berbeza mengikut negara-negara yang diduduki oleh mereka. PKK ( Kurdistan Workers Party ) yang bertapak di Turki mengambil pendekatan persenjataan manakala PYD ( Democratic Unity Party ) pula bertapak di Syria menjadi sayap politik dan sayap tenteranya ialah YPG. Adapun di Iraq ditubuhkan KRG ( Kurdis Regional Government ) yang menjadi kerajaan di wilayah Kurdistan Iraq. Manakala di Iran pula, pengaruh pejuang-pejuang Kurdis tidak sekuat di Iraq, Syria dan Turki. Kesemua kumpulan-kumpulan Kurdis ini adalah berfahaman nasionalis sekular dan sebahagiannya bertunjangkan kepada ideologi Maxist-Leninist khususnya PKK, PYD dan YPG.

Pengunduran Tentera AS Dari Syria

Kegawatan geopolitik di Asia Barat memasuki fasa baru minggu lalu selepas Amerika Syarikat mengundurkan saki baki tenteranya yang berada di antara sempadan Turki – Syria yang di kawal oleh Syrian Democratic Force ( SDF ) yang mana YPG menjadi tulang belakangnya. Pengunduran tentera Amerika Syarikat yang diarahkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan kemarahan sekutunya iaitu NATO dan Kesatuan Eropah serta majoriti ahli Dewan Senat dan Kongres Amerika Syarikat.

Alasan mereka menentang pengunduran tersebut termasuk oleh sekutu kuat Donald Trump di Dewan Senat Amerika seperti Senator daripada South Carolina Lindsay Graham dan Ketua Majoriti Dewan Senat Mitch McConnell ialah mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat di rantau tersebut, tentera Turki akan membalas dendam ke atas YPG, ISIS akan bangkit kembali setelah pengunduran tersebut dan Russia akan menguasai geopolitik rantau Asia Barat.

Keputusan Donald Trump mengundurkan tentera Amerika Syarikat menyebabkan Speaker Kongres, Nancy Pelosi dan Senator Lindsay Graham selaku Senate Judiciary Committee Chairman, Dewan Senat Amerika Syarikat sedang merangka resolusi bersama di antara Kongres dan Dewan Senat Amerika Syarikat untuk menentang serta menolak keputusan Donald Trump dan mengembalikan tentera Amerika Syarikat ke sempadan Syria – Turki tersebut.

Lebih menimbulkan kemarahan mereka, pengunduran tersebut bukanlah untuk membawa pulang baki 1,000 anggota tentera ke Amerika Syarikat seperti yang dijanjikan oleh Donald Trump tetapi menghantar kesemua anggota tentera tersebut ke Arab Saudi untuk membantu Arab Saudi menjaga aset industri minyak dan gas agar tidak berlaku lagi serangan sebagaimana baru – baru ini. Tidak cukup dengan anggota tentera yang ada, Donald Trump mengarahkan anggota tentera tambahan seramai 2,500 orang lagi dihantar ke Arab Saudi yang menambahkan lagi kemarahan baik di kalangan anggota Kongres dan Dewan Senat Amerika Syarikat.

Persoalan yang timbul, mengapa secara tiba – tiba Donald Trump mengarahkan pengunduran tersebut tanpa dipersetujui oleh Pentagon, Dewan Senat dan Kongres Amerika Syarikat malah turut juga ditentang oleh sekutu mereka seperti NATO dan Kesatuan Eropah ? Ramai penganalisa geopolitik Asia Barat dan penganalisa daripada rangkaian ternama seperti CNN, BBC, Al – Jazeera dan Al Arabiya memberikan pandangan mengikut kepentingan negara masing – masing namun secara ringkasnya Iran, Turki dan Russia telah berjaya dalam strategi mereka memberikan tekanan serta menghalang Amerika Syarikat daripada menjadi kuasa tunggal dan hampir berjaya menghalau Amerika Syarikat keluar daripada Asia Barat.

Israel serta Kepentingan Industri Minyak dan Gas Asia Barat.

Peranan sebenar Amerika Syarikat di Asia Barat adalah untuk melindungi Israel dan menjaga kepentingan mereka dalam sektor industri minyak dan gas yang dikawal oleh gergasi minyak dan gas dunia milik syarikat multinasional Amerika Syarikat seperti Exxon Mobil. Israel sebagaimana diketahui umum adalah sekutu rapat Amerika Syarikat dan semenjak tertubuhnya Amerika Syarikat, ramai di kalangan pemimpin kanan Amerika Syarikat dan usahawan ternama adalah dari kalangan Yahudi berfahaman Zionist yang memperjuangkan penubuhan negara haram Israel di tanah Palestin sebagaimana yang kita lihat hari ini.

Apa yang berlaku di Asia Barat hari ini seperti kehancuran Iraq, Libya, Yemen dan Syria adalah akibat daripada polisi dan dasar Amerika Syarikat terhadap Israel serta monopoli industri minyak dan gas. ISIS, perang saudara mahupun pemberontakan yang berlaku di Iraq, Syria, Libya dan Yemen atau perang menentang keganasan dan senjata pemusnah hanyalah untuk mewujudkan ketidakstabilan di Asia Barat yang memberikan kelebihan untuk Israel untuk melindungi tanah jajahan mereka, merampas lebih banyak tanah air milik rakyat Palestin dan menguasai kepentingan industri minyak dan gas di rantau terbabit.

Apa Di Sebalik Operasi Ketenteraan Turki Di Syria?

Namun apa yang berlaku di sempadan Syria – Turki adalah berlainan dan lari daripada agenda asal Amerika Syarikat untuk menguasai dan menjadi kuasa tunggal di Asia Barat. Semuanya bermula ketika Perang Teluk di mana Amerika Syarikat dan sekutunya menyerang Iraq untuk menjatuhkan Saddam Hussien yang dituduh melindungi Al – Qaeda dan mengeluarkan senjata pemusnah yang berbahaya. Sebab utama Amerika Syarikat dan sekutunya menyerang Iraq adalah kerana pada ketika itu Iraq adalah ancaman utama dan terbesar kepada Israel di mana Saddam Hussien adalah penentang kuat ke atas kekejaman dan penjajahan Israel ke atas Palestin selain Iran. Malah Saddam Hussien acapkali mengancam untuk menyerang Israel jika berterusan merampas tanah air milik rakyat Palestin.

Pada ketika itu, tentera pemberontak Kurdis sedang berkonfrantasi dengan pemerintah di Iraq, Turki mahupun Syria untuk menuntut sebuah negara merdeka bagi bangsa Kurdis namun ditentang oleh negara – negara terbabit kerana majoriti bangsa Kurdis yang lain mampu hidup dengan bangsa Arab di negara – negara terbabit dengan aman sebagai sebuah masyarakat.

Maka selepas Amerika Syarikat dan sekutunya berjaya menawan Iraq dan menumpaskan Saddam Hussien, Amerika Syarikat dan sekutunya berhempas pulas pula cuba menghapuskan pemberontakan menentang Amerika Syarikat dan sekutunya di serata Iraq akibat daripada penakhlukan tersebut.

Di kalangan banyak kumpulan pemberontak yang melancarkan peperangan terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya ini, ada antaranya yang benar – benar menentang penjajahan Amerika Syarikat ke atas Iraq tanpa ideologi dan fahaman yang ekstrim. Namun di kalangan kumpulan pemberontak ini, ada antara mereka telah diserapi ideologi dan fahaman yang ekstrim lalu mewujudkan gabungan kumpulan pemberontak yang besar dinamakan ISIS. Dipercayai ISIS sengaja diwujudkan oleh Amerika Syarikat untuk menentang kumpulan pemberontak yang menentang penjajahan Amerika Syarikat dan sekutunya di Iraq kerana ISIS lebih arif tentang Iraq dan keadah peperangan yang sesuai menentang pemberontakan tersebut.

Setelah berjaya menghapuskan pemberontakan, ISIS menjadi semakin besar dan tidak mampu dikawal oleh Amerika Syarikat. ISIS terus mengganas, menawan bandar – bandar di sekitar Iraq dan di sempadan Syria – Turki serta membunuh penduduk tempatan yang tidak berdosa. Akibat daripada itu, Amerika Syarikat meminta bantuan YPG untuk menghapuskan ISIS dengan memberikan bantuan senjata, kewangan dan lojistik namun Amerika Syarikat harus memenuhi syarat mereka iaitu memberikan kebebasan kepada mereka untuk memilih tempat untuk mendirikan sebuah negara merdeka untuk bangsa Kurdis.

YPG setelah bersetuju dengan Amerika Syarikat memulakan operasi mereka menghapuskan ISIS. Amerika Syarikat bersama YPG dalam masa 4-5 tahun berjaya menghapuskan ISIS dan saki baki pejuangnya. Bandar – bandar yang di takluki ISIS berjaya dirampas kembali dan ISIS berjaya dihapuskan dan saki baki pejuangnya berkubu di bandar – bandar di sempadan Iraq dan Syria – Turki. YPG meneruskan tindakan mereka memerangi ISIS di bandar – bandar sempadan terbabit namun seperti juga ISIS, YPG menakhluki pula bandar – bandar terbabit.

Penaklukan YPG ke atas bandar – bandar di sempadan Syria – Turki dan Iraq pula mencetuskan krisis kemanusiaan yang besar. Penduduk – penduduk berbangsa Arab samada dihalau atau lari meninggalkan kampung halaman mereka kerana dituduh melindungi mahupun menyokong ISIS. Jutaan penduduk lari ke Turki dan negara – negara Eropah. Dianggarkan hampir 3.5 juta orang lari meninggalkan bandar – bandar terbabit dan Iraq akibat daripada penaklukan YPG. Yang tidak berjaya melarikan diri ditangkap dan dituduh sebagai talibarut ISIS dan dipenjarakan. Dianggarkan hampir 15,000 orang dipenjarakan termasuk warga emas, wanita dan kanak – kanak oleh YPG dipenjara sekitar bandar di sempadan Syria – Turki.

Setelah berjaya menghapuskan ISIS, Amerika Syarikat menduduki Iraq beberapa tahun dan mentadbir Iraq bersama pemimpin tempatan pilihan mereka. Setelah keadaan Iraq stabil, Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya secara berperingkat – peringkat dan kemudian menyerahkan kembali kuasa mentadbir Iraq kepada pemimpin tempatan. Baki anggota tentera Amerika Syarikat yang ada di Iraq di kerahkan berundur ke kawasan yang ditadbir YPG di bandar – bandar di sempadan Turki – Syria seperti di Ras Al Ain.

Maka apabila Donald Trump mengarahkan saki baki tentera Amerika Syarikat berundur daripada bandar di sempadan Turki – Syria ke Arab Saudi dan menyerahkan kawalan ke atas bandar - bandar terbabit kepada Turki setelah Donald Trump berunding dengan Recep Tayeb Edrogan, Presiden Turki, dunia menerimanya sebagai kejutan besar seolah – olah Amerika Syarikat melepaskan kekuasaannya terutamanya kepada Russia dan Iran. Pengunduran tersebut memberikan tamparan hebat kepada sekutu kuat Amerika Syarikat seperti Israel, Kesatuan Eropah dan NATO serta memberikan kejutan kepada pimpinan Amerika Syarikat sendiri di kalangan Republikan mahupun Demokrat.

Setelah tentera Amerika Syarikat berundur, tentera Turki terus menuju ke sempadan dan mengambil alih kawalan bandar terbabit walau ditentang hebat oleh YPG. Tidak jauh dari kawasan pertempuran di antara 50 – 100km di dalam kawasan Turki, terdapat beberapa kem – kem besar pelarian yang merupakan penduduk asal bandar – bandar terbabit. Rata – rata menaruh harapan agar dapat pulang semula ke kampung halaman mereka walau musnah kediaman mereka.


Russia, Iran dan Turki Bakal Merubah Geopolitik Asia Barat.

Pengunduran baki tentera Amerika Syarikat di Asia Barat ke Arab Saudi oleh Donald Trump menandakan Amerika Syarikat sudah mula kehilangan pengaruh dan kekuasaan di Asia Barat. Rata – rata pemimpin utama Asia Barat sudah mula berbaik – baik dengan Russia dan China. Di saat saya menulis artikel ini, Presiden Russia Vladimir Putin berada di Arab Saudi untuk lawatan rasmi yang boleh dianggap satu lawatan bersejarah terutamanya sejak pengunduran tentera Amerika Syarikat. Lawatan tersebut adalah yang pertama untuk Vladimir Putin sejak tahun 2007 yang menyaksikan Russia menandatangani perjanjian persefahaman untuk industri minyak dan gas serta membincangkan pergolakan serta geopolitik Asia Barat.

Kehadiran Russia sebagai kuasa baru di Asia Barat bakal menyaksikan Amerika Syarikat kehilangan kekuasaan dan pengaruh di Asia Barat. Kehadiran Russia sebagai “ Power Broker “ baru dijangka mampu meredakan ketegangan di Asia Barat terutamanya diantara Iran dan Arab Saudi. Iran yang dilihat sebagai sekutu kuat Russia oleh dunia, begitu juga Syria yang dipimpin oleh Basyar Al Assad dilihat menggunakan pengaruh Vladimir Putin untuk menundukkan Arab Saudi dan negara sekutunya di Asia Barat seperti UAE, Bahrain dan Oman, tidak terkecuali Amerika Syarikat.

Turki baru – baru ini mencetuskan kemarahan Amerika Syarikat dan NATO apabila membeli sistem peluru berpandu S – 400 daripada Russia dilihat condong kepada Russia oleh masyarakat dunia. Maka apabila Amerika Syarikat mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Turki kelmarin akibat tindakan Turki tidak menepati perjanjian dengan Donald Trump dengan menyerang ke kawasan yang tidak ada dalam persetujuan ketika perbincangan baru – baru ini, Edrogan mengancam untuk meneruskan serangan dengan lebih agresif untuk menghapuskan YPG. Ancaman Amerika Syarikat nampaknya sudah tidak memberikan impak kepada Turki malah boleh dikatakan bahawa Amerika Syarikat sudah mula tidak dipercayai dan diyakini di kalangan Dunia Islam.

Sudah tentunya selepas Arab Saudi, saya percaya negara – negara teluk yang lain seperti UAE, Oman dan Bahrain akan mengikuti jejak langkah Arab Saudi untuk berbaik – baik dengan Russia. Diyakini tidak lama lagi China akan turut sama mengembangkan sayapnya ke rantau Asia Barat untuk meluaskan pengaruh dan kekuasaannya setelah hilangnya pengaruh Amerika Syarikat. Pengaruh Russia juga dirasakan mampu menghentikan serangan Arab Saudi dan UAE ke atas Yemen malah menghentikan peperangan tersebut. Konfrantasi Qatar dengan negara – negara Teluk di bawah pengaruh Arab Saudi juga dipercayai mampu diredakan dengan kehadiran Russia. Apa yang pasti, satu naratif baru untuk Asia Barat bakal menanti dunia dengan kehadiran Russia sebagai “ Power Broker “ baru di rantau ini.

Ternyata strategi Russia, Iran dan Turki untuk melemahkan pengaruh Amerika Syarikat di Asia Barat berjaya dan menjadi kenyataan. Yang paling rugi dan berada dalam keadaan getir sudah tentunya Israel. Lemahnya pengaruh Amerika Syarikat di Asia Barat bermakna Israel akan berada dalam situasi yang cemas kerana pelindung dan pendokong kuatnya sudah tidak mampu lagi menjadi bentengnya. Hubungan Israel dengan Russia juga tidak begitu baik dan berada dalam keadaan tegang apatah lagi Russia memberi amaran kepada Israel agar tidak lagi menyerang kedudukan strategik tentera Syria dan Iran. Kehadiran Russia dijangka mampu memberikan tekanan kuat kepada Israel, siapa tahu tekanan tersebut akan membawa kepada pengunduran sepenuhnya Zionist daripada bumi Palestin di masa akan datang.

Harapan saya agar rantau Asia Barat mampu mencapai keamanan yang berkekalan selepas ini. Yang paling utama ialah kesatuan di antara negara – negara Islam mesti diperkukuhkan dan dieratkan. Dunia Islam seharus tidak bergantung kepada mana – mana kuasa besar untuk mencapai kegemilangan dan kemajuan kerana Dunia Islam sendiri mampu membentuk kekuatan sendiri untuk kepentingan Islam dan umatnya. Sejarah membuktikan Dunia Islam pernah menjadi kuasa besar dan peneraju dunia, cuma persengketaan sesama negara – negara Islam dan umatnya memusnahkan legasi tersebut. Sama – sama kita kembalikan kegemilangan Dunia Islam agar Islam tidak pudar ditelan zaman dan terus pupus dimamah oleh kemajuan dunia.

*YB Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Hal Ehwal Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Burok.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget